Ruangan Carian Isu Lepas dan Terkini Harakah Online

Harakah Online || Harakah Daily || Harakah Online Malaysia

Dapatkan berita berkaitan isu politik terkini Harakah Online TERUS KE INBOX emel anda TANPA HALANGAN!!:

Disediakan khas oleh Harakah Online Info dan Google FeedBurner

Oh Sukan : Pusat Lepak Peminat Berita Sukan

Harakah Online Preview: ALI HASHIM: Ellias atau Salleh YDP baru MAIPP 2010?

2010 akan menyaksikan kebenaran dakwaan bekas Yang Dipertua(YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang(MAIPP)Shabudin Yahaya samada Ellias Zakaria yang juga bekas Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang atau Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Permatang Pasir, Mohd Salleh Man akan menggantikan tempat kosong yang ditinggalkan beliau tepat pada tanggal 31 Disember 2009.

Isu kekosongan jawatan YDP MAIPP telah menjadi isu politik yang begitu besar di Pulau Pinang sejak Pakatan Rakyat(PR)memegang tampuk pemerintahan negeri pada Mac 2008.

Ketika itu desas-desus yang mengatakan samada Adun Permatang Pasir, Allahyarham Datuk Hamdan Abdul Rahman atau Adun Sungei Bakap, Maktar Shapee akan dilantik menjadi YDP.

Tetapi ia tetap tidak menjadi realiti apabila Shabudin yang meletakkan jawatan sebagai YDP MAIPP membawa bukti bahawa tempoh pelantikan beliau telah disambung dan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong untuk disambung semula sehingga 31 Disember 2009.

Tidak setakat itu isu YDP MAIPP ini sekali lagi dimainkan oleh Umno dan Barisan Nasional(BN).Apabila menjelangnya pilihan raya kecil Dun Bukit Pinang sekali lagi Shabudin menimbulkan isu ini dengan mendakwa PR tidak bercakap benar apabila meuar-uarkan nama Adun Permatang Pasir, Mohd Salleh sebagai penggantinya sedangkan nama Ellias sudah pun mendapat perkenan sebagaimana yang didakwa.

Exco Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim tetap tidak dapat memberi kesahihan berita tersebut.Begitu juga dengan Timbalan Ketua Menteri I, Dr. Mansor Othman tidak dapat memberi satu keputusan mengenai isu tersebut.

Dari perspektif yang lain masyarakat melihat Shabudin mempunyai kekebalan kerana berjaya mempertahankan kedudukan beliau sehingga akhir tempoh walaupun PR menerajui Pulau Pinang.

Manakala dari sudut yang lain pula pendokong PR melihat Shabudin dari satu sudut yang berbeza apabila beliau cuba mempolemikkan isu ini sehingga berjaya mempertahankan institusi masjid yang merupakan satu-satunya pengaruh yang masih ada dan dikuasai oleh BN jika dibezakan dengan agensi kerajaan negeri yang lain di negeri ini.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: SU Akhbar Nik Aziz minta Berita Harian mohon maaf


Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Saiba Yaacob meminta akhbar Berita Harian memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan kenyataan yang dianggap tidak tepat mengenai dirinya.

Malah katanya, wartawan akhbar berkenaan tidak pernah menemuinya sebelum menyiarkan kenyataan dianggap panjang lebar berkaitan dirinya.

“Beberapa laporan yang terdapat dalam akhbar berkenaan semalam bukan sahaja tidak betul, bahkan tidak pernah menghubungi saya untuk mendapatkan sebarang penjelasan.

“Laporan itu kata saya merancang untuk mengajar di Kias tak betul, nak melanjutkan pengajian di Kuis pun tak betul, sebaliknya saya akan menyambung pengajian di peringkat PhD di UM,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Akhbar terbabit semalam menyebut Mohd Saiba sudah lama merancang menjadi pensyarah di Kias sambil melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Kuis.

Laporan tersebut juga memberitahu beberapa pihak mempersoalkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Annual Bakri Harun kerana gagal memberi nasihat yang betul kepada Menteri Besar.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Husam sekali lagi nafi akan letak jawatan

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa, hari ini menafikan beliau akan meletakkan semua jawatannya termasuk sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor.

Katanya, tidak ada sebab kenapa beliau harus berbuat demikian sedangkan pada masa yang sama beliau lebih menumpukan tuntutan royalti minyak dari Kerajaan Pusat.

“Lainlah kalau dah dapat royalti besok tuan-tuan buat rumous macam tu,”ujarnya sambil ketawa.

Katanya, akibat khabar angin sebagaimana yang didakwa dalam blog atau media itulah yang menyebabkan beliau membuat tuntutan saman dari pihak yang menyebarkan berita tidak benar.

Setakat ini beliau telah mengemukakan saman terhadap satu blog berhubung kes yang mendakwanya akan menerima wang dari Datuk Tamrin sebanyak RM15juta.

“Saya dah hantar surat saman kira-kira lebih sebulan lalu pada alamat di Klang, walaupun penulis blog terbabit orang Kelantan dan peguam saya memang dah saman dia. Dan dia ni kita dapati ‘cybers troopers Umno’,”ujarnya.

Beliau juga memberitahu, media seharusnya tidak menjadikan laman web atau blog tertentu khususnya yang didalangi pihak Umno sebagai bahan berita untuk siaran media.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Dari Kelab ke Himpunan Penyokong PAS



HAJI Ahmad Fuad semasa menjadi Yang Dipertua Agung PAS sebelum merdeka dulu ada menyebutkan keperluan memikirkan penyertaan penduduk bukan Islam dalam PAS.

Perhatiannya itu dipercayai betapa tidak dapat dimungkiri, masyarakat bukan Islam akan menjadi sebahagian dari rakyat Tanah Melayu yang merdeka dan jika pentadbiran selepas merdeka mengikut lunas demokrasi, pemimpin dan kerajaan ditentukan oleh rakyat, peranan itu akan dimainkan sama oleh rakyat bukan Melayu dan bukan Islam.

Prof. Zulkifli Mohamad, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS terbunuh dalam kecelakaan jalan raya di Gambang, Pahang sehari selepas Pilihan Raya Umum 1964, pernah mencadangkan kepada Kongres, panggilan Muktamar PAS pada masa itu, supaya dibuka keahlian PAS kepada masyarakat bukan Islam.

Sebagai permulaan, keahlian itu dalam bentuk ahli bersekutu.

Kongres belum bersedia menimbangkan pandangan pimpinan PAS yang sehebatnya yang belum ada gantinya. Rekod tentang cadangannya itu tidak ada dan orang yang benar-benar ingat tentang perkara itu pun sudah tidak ada.

Haji Yusof Rawa dulu ingat-ingat lupa cadangan Prof. Zul itu dan begitu juga Ustaz Fadzil. Mereka sendiri pun sudah tidak ada.

Semasa pimpinan Ustaz Fadzil Noor, cadangan Prof. Zulkifli Mohamad itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Ustaz Fadzil bersetuju supaya cadangan itu dikaji.

Masa itulah Ustaz Fadzil menyebut beliau ingat isu itu tetapi ingat-ingat lupa persoalan yang dicetuskan oleh Prof. Zul itu. Sejak ia saya bangkitkan dalam Jawatankuasa PAS Pusat itu, keahlian bukan Islam dalam PAS mulai menjadi percakapan.

Wakil dari PAS Wilayah Persekutuan hampir setiap tahun membangkitkannya dalam perbahasan ucapan dasar di Muktamar. Ustaz Azhar Yaakub antara wakil PAS Wilayah yang pernah memberi hujah menarik dari sudut politik dan agama. Ia juga disentuh oleh perwakilan lain.

Sepanjang saya menyertai muktamar lebih dari 30 kali, saya tidak pernah mendengar perwakilan menentangnya.

Ada anggota PAS yang berhati-hati bimbang ia ditolak oleh ahli-ahli PAS. Tetapi mereka yang menyatakan kebimbangannya itu pula menolaknya secara peribadi.

Dalam satu ijtimak PAS Wilayah Persekutuan menjelang muktamar telah membuat ketetapan untuk membuka keahlian PAS kepada rakyat bukan Islam.

Ada reaksi positif dari masyarakat bukan Islam. Mereka menunggu bila resolusi PAS Wilayah Persekutuan itu dapat dilaksanakan.

Dalam satu forum berbelas-belas tahun dulu, anjuran DAP di Dewan Perhimpunan Cina di Kuala Lumpur yang penalisnya dari parti-parti pembangkang, jika saya tidak silap mewakili DAP ialah Dr. Tan Sing Giaw. Saya mewakili PAS. Lim Kit Siang juga hadir.

Seorang pemuda Cina yang wajahnya seperti Speaker Negeri Selangor sekarang bangkit bertanya di depan pemimpin-pemimpin DAP itu. Dia mengaku tidak menganggotai mana-mana parti politik. Parti politik yang diminatinya ialah PAS. Malangnya PAS tidak membuka keahliannya kapada orang bukan Islam.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kelab Penyokong PAS diiktiraf sebagai Dewan



PAS menempa satu lagi sejarah dalam perjuangan dakwah dan politiknya apabila kini Kelab Penyokong PAS akan diserap menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS bertaraf sayap parti.

Dasar-dasar yang telah diderafkan sebagai legitimasi kepada dewan ini memberi kelansungan kepada sinar politik dan pengharapan masyarakat bukan Islam dalam meneruskan sokongan kepada PAS.

Mengupas tajuk ini, Wartawan Kanan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB menemubual Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa pada 23 Disember lalu.

Ikuti bingkisan wawancara tersebut.

Soalan: Assalamualaikum Dr Mujahid, boleh Dr jelaskan bila terbentuknya keputusan mengenai Himpunan Penyokong PAS, diperingkat pusat, dan bagaimana ia dipertimbangkan hingga terbentuknya dewan yang bersejarah ini?

Dr Mujahid: Waalaikumsalam..Terima kasih kepada pihak Harakan, ingin saya maklumkan bahawa ia bermula dengan pembentangan awal draf ini pada 'retreat' PAS Pusat Jun tahun 2009 di Alior Setar.

Kemudiannya kali kedua setelah kita buat selepas kita selesai beberapa pilihan raya kecil PRK, dalama dua tiga bulan yang sudah, kemudiannya mesyuarat terakhir baru-baru ini dibentang sekali lagi, bermakna dah tiga kali draf ini dibentang.

Draf ini yang membawa makna ia legitimasi kepada undang-undang yang membawa kewujudan kelab inilah, contohnya dia ada punya struktur sendiri, keahliannya, disiplinnya dan hak keperwakilannya ke adalam muktamar atau mesyuarat-mesyuarat PAS Pusat, negeri, hingga ke kawasan.

Ia juga ada syarat-syarat keanggotaan dan sebagainya.

Draf tersebut telah dibentang tiga kali dan pada mesyuarat terakhir kita di peringkat pusat telah bersetuju dari segi dasar yang bagi saya hampir selesai, cuma pembetulan dari segi teknikal bahasa sahaja, iaitu kita akan siapkan sebelum mesyuarat akan datang iaiatu 10 Januari 2010.

Dari segi dasar tiada masalah bahkan pada mesyuarat lalu mereka mahu namanya diberi sedikit kekuatan dengan diberi nama Dewan Perhimpunan Penyokong PAS supaya dilihat ia sayap yang berperanan penting seperti dewan lain, itu drafnya kita telah sediakan di mana bekas senator Haji Hassan Shukri selaku pengerusi.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Nik Aziz nafi: Husam letak jawatan dan dua pegawainya dipecat

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak dakwaan dua pegawainya dipecat di samping menafikan exconya, Datuk Husam Musa meletakkan jawatan.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di kediaman Menteri Besar hari ini, beliau memberitahu niat setiausaha politiknya, Anual Bakhri Haroun untuk meletakkan jawatan sudah lama dinyatakan.

Ianya dibuat atas sebab Anual mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat beliau dan juga atas masalah kesihatan anak bongsunya yang harus deberi penumpuan.

------------------------------------------------------------

(Gambar: Nik Aziz dalam sidang medianya petang ini. Di kiri dan kanan beliau adalah Datuk Mohamad Daud-ketua dewan Ulama megeri dan Nik Amar - Timbalan Pesuruhjaya III)

-----------------------------------------------------------

Manakala setiausaha akhbarnya pula, Mohd Saiba Yaakob akan habis kontrak hujung bulan ini.

Apa yang berlaku katanya bukan rombakan tetapi prosedur biasa lantikan politik apabila seseorang itu tamat kontrak.

Anual Bakhri mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1999 selepas Datuk Husam Musa mengosongkan jawatan berkenaan untuk bertanding dalam pilihanraya umum tahun berkenaan bagi mewakili Parlimen Kubang Kerian.

Manakala Mohd Saiba pula mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 2003.

Nik Aziz juga menolak spekulasi kononnya Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa akan meletakkan jawatannya ekoran rombakan dalam pentadbiran pejabat menteri besar.

untuk berita lanjut,sila klik disini

Harakah Online Preview: Koordinator BANTAH dakwa diugut


Beberapa penggerak utama Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) didakwa menerima ugutan dari pihak yang tidak dikenali ekoran beberapa tindakan gabungan itu yang mahu sistem undian elektronik atau e-voting pada Pilihan Raya Kampus (PRK) akan datang, dibatalkan.

Terbaru dua pemimpin mereka didakwa menerima surat layang dan sms mengandungi ugutan untuk 'mengganggu' program terdekat gabungan itu iaitu forum terbuka yang akan diadakan pada 1 Januari 2010 bertempat di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Pengerusinya, Mohd Aizat Salleh ketika dihubungi Harakahdaily mengesahkan perkara itu.

"Dua orang koordinator BANTAH, Rafie dan Ridzuan menerima surat layang mengugut mereka membatalkan penganjuran forum Jumaat ini.

"Jika tidak, menurut surat layang terbut 'sesuatu' akan berlaku," katanya ketika dihubungi.

Forum terbuka bertajuk 'E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus' akan menampilkan tiga orang panel iaitu Pensyarah fakulti undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, bekas aktivis mahasiswa, Chang Lih Kang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, dan seorang lagi pensyarah kejuruteraan perisian dari Universiti Malaya (UM), Dr Chiew Thiam Kian.

Bagaimanapun, Dr Chiew Thiam Kian dimaklumkan telah menarik diri dari menyertai forum tersebut.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Hasan dan Khalid belum diputuskan bersalah - Tuan Ibrahim

Keputusan Jawatankuasa disiplin PAS untuk memanggil Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali dan Pesuruhjaya PAS Shah Alam, Khalid Samad merupakan proses biasa untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak, kata Pengerusinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS berkata, pihak jawatankuasa telah meneliti dokumen mengenai kedua-dua individu terbabit yang diserahkan kepada jawatankuasa berkenaan.

"Setelah bermesyuarat pada Sabtu lalu, pihak jawatankuasa mendapati ada satu keperluan untuk memanggil kedua-dua pihak bagi mendengar keterangan mereka. Ini adalah proses biasa dalam parti," katanya ketika dihubungi Harkahdaily petang tadi.

Beliau meminta pihak media tidak membuat laporan yang menggambarkan seolah-olah Hasan dan Khalid sudah dibuktikan bersalah kerana pihak jawatankuasa belum membuat apa-apa keputusan berhubung perkara itu.

"Buat masa sekarang, pihak jawatankuasa tidak boleh cakap mereka bersalah atau tidak sebab belum mendengar keterangan daripada mereka.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: PAS akan siasat dalang disebalik demonstrasi

PAS telah mengarahkan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor menyiasat dalang disebalik sekumpulan pemuda yang mengadakan himpunan di hadapan pejabat perhubungan parti itu dibangunan Worldwide Shah Alam tengahari tadi.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily ketika beliau diminta mengulas perkembangan terbaru itu.

"Saya telah arahkan setiausaha perhubungan PAS Selangor untuk buat siasatan penuh siapakah dibelakang demo ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily lewat petang tadi.

Beliau juga diminta mengulas sama ada kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gerakan penyokong dan pengundi PAS itu benar-benar dari PAS atau tajaan pihak tertentu.

Menurutnya,maklumat awal yang diperolehi mendapati tiada ahli atau mana-mana unit serta cawangan PAS terlibat dalam himpunan tersebut.

"Maklumat awal saya diberitahu tidak seorang pun ahli PAS, atau mana-mana unit atau cawangan PAS terlibat dalm demo ini," katanya lagi.

Pagi tadi 21 pemuda berkumpul di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor bagi menyerahkan memorandum mendesak PAS mengakaji semula kedudukan mereka dalam pakatan rakyat Selangor.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kaji semula keselamatan bas dua tingkat-Mahfuz

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyarankan kerajaan mengkaji semula tahap keselamatan bas dua tingkat yang digunakan untuk perjalanan jarak jauh.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, setiap kali berlakunya kemalangan membabitkan bas ekspress dua tingkat, penumpang yang duduk di tingkat bawah selalunya menerima kesan yang teruk dan menyebabkan kehilangan nyawa.

"Kemalangan awal pagi semalam membabitkan bas dua tingkat dan boleh dikatakan setiap kali kemalangan berlaku, yang menerima kesan teruk ialah penumpang di bahagian bawah.

"Isunya adakah bas ekspress dua tingkat ini selamat digunakan di lebuh raya di Malaysia ini?Apakah ada jaminan dari segi tahap keselamatannya," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdalily pagi tadi.



Mahfuz turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan melibatkan bas dua tingkat milik Sani Express Sdn. Bhd. di KM 272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan awal pagi semalam.

"Saya ucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan awal pagi semalam, dan saya harap semoga keluarga mangsa bersabar dan redha menerima ujian ini," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok sena.

Berikutan kemalangan maut itu, Mahfuz menyarankan agar kerajaan membentuk satu Suruhanjaya Diraja yang diselia oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya malaysia (MIROS) dan dianggota pelbagai pihak yang berpengalaman dalam aspek keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam di peringkat antarabangsa.

"Saya cadang kepada kerajaan untuk bentuk satu Suruhanjaa Diraja untuk melihat soal sistem pengangkutan awam di negara ini termasuk infranstruktur jalan dan sebagainya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kartika Saridewi terharu temui Nik Aziz


Bekas model sambilan, Kartika Saridewi Shukarnor yang pernah mencetus polemik berhubung hukuman sebat atas kesalahan minum arak, hari ini menemui Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau bersama anggota keluarga dan rombongan dari Pusat Pendidikan Al Baroqah, Manjor, Ipoh mengunjungi Menteri Besar Kelnatan itu di kediaman rasmi di JKR 10.

Turut bersama anak bongsunya, Kaitlynn Saridewi, 5 tahun.

Kartika ketika ditemui menyatakan beliau sudah lama menyimpan hasrat menemui ulama terbabit.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman ke atasnya pada 20 Julai lalu selepas beliau mengaku bersalah minum arak. Hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 dikenakan.

Bagaimanapun hukuman sebatan tersebut masih ditangguh sehingga sekarang biar pun Kartika beriya-iya menjalani hukuman tersebut.

Bagaimanapun ramai pemimpin wanita Umno dan beberapa badan bukan kerajaan mahu Kartika tidak menjalani hukuman tersebut, yang dianggap mereka bertentangan dengan hak asasi manusia.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Enjin F-5E-lagi desakan menteri kabinet letak jawatan

Berikutan tragedi kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kelab Penyokong PAS Kelantan (BBC) mendesak seluruh menteri kabinet pula meletak jawatan.

Timbalan presidennya, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata tragedi tersebut menggambarkan betapa rapuhnya sistem keselamatan negara di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, kelalaian mengurus tadbir perkara tersebut seolah-olah cuba menghancurkan pertahanan negara sendiri.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia tragedi amat memalukan ini. Bukan sahaja negara, malah ia menjadi bahan tertawa dunia.

“Desakan ini bukan satu cadangan sinis tetapi tindakan serius berasaskan rasionaliti, realiti yang berlaku memang wajar kerajaan pemerintah sekarang melepaskan jawatannya” katanya yang masih berada di Madinah ketika menghubungi wakil Harakah semalam.

Sebelum ini beberapa desakan sudah disuarakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib meletak jawatan ekoran insiden yang memalukan itu berlaku sewaktu beliau menjadi Menteri Pertahanan.

Baru-baru ini tragedi kehilangan dua enjin jet tersebut mendapat liputan meluas media tempatan dan menjadi perhatian masyarakat dunia.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Cabaran Tun Mahathir, apa lagi kerajaan mahu tunggu?

Kerajaan digesa segera bertindak menubuhkan suruhanjaya bebas seperti dicabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyiasat dirinya dan juga seorang lagi mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tun Mahathir dan Tun Abdullah kini dipalitkan dengan dakwaan masing-masing RM100 bilion dan RM270 bilion lesap akibat rasuah dan pembaziran di zaman pemerintahan mereka.

Naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan tidak perlu menunggu lebih lama lagi, memandangkan Tun Mahathir sendiri mempersoal penggantinya Tun Abdullah sewaktu menjadi Perdana Menteri.

"Apa lagi kerajaan nak tunggu, perkara itu diakui oleh bekas PM sendiri, kerajaan perlu bertindak segera, sama ada tubuh Suruhanjaya Di Raja ataupun Jawatankuasa Khas di bawah Parlimen menyiasat dakwaan ini", katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pendedahan buku tersebut juga tidak mustahil benar memandangkan institusi negara katanya telah rosak dan sesiapa pun menjadi perdana menteri, perkara sama tetap akan berlaku.

"Memang kerajaan ni korup dan penuh dengan penyelewengan. Zaman Najib sekarang pun sama, PKFZ la enjin jet hilang la, selagi tiada perubahan dalam institusi, siapa naik jadi PM pun perkara sama tetap akan berlaku", katanya lagi.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Hilang enjin, tubuh segera Suruhanjaya Diraja - Anwar

Kerajaan digesa untuk menubuhkan dengan segera Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kehilangan dua buah enjin kapal terbang tempur F-5E milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Hal ini ditegaskan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenai isu tersebut di majlis jamuan Hi-Tea sempena Krismas anjuran The Mar Thoma Syrian Church of Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Anwar skandal kehilangan enjin pesawat merupakan suatu perkara yang sangat serius dan tidak sepatutnya dipandang ringan.

Sehubungan itu beliau dan parti-parti pembangkang menuntut penubuhan satu Suruhanjaya diRaja untuk menanganinya.

"Kita menuntut satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera untuk menyiasat skandal ini," tegasnya ketika ditanya wartawan.

Sebelum ini,Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini.

Beliau melahirkan kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula untuk diseludup ke luar negara.

“Kalau sampai dua enjin pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh hilangkannya tetapi yang menjaga keselamatan negara boleh hilangkan, ini satu gambaran runtuhnya iklim moral yang besar.

“Kita bimbang jika tidak diberi kesedaran tentang perlunya menjaga iklim moral dan integriti di kalangan generasi muda, negara ini akan rosak dan runtuh,” tegas Dr Anwar lagi dalam majlis meraikan beliau sebagai Sasterawan Negara ke-10 oleh Lembaga Muzium Selangor dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato' Mhafuz Omar pula persoalkan kredibiliti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di atas kegagalan agensi itu menyelesaikan siasatan berhubung kes kehilangan enjin jet pemintas F-5E seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Mahfuz yang ditemui selepas Majlis Sumbangan Peralatan Sekolah di Pejabat PAS Pokok Sena baru-baru ini berkata, beliau difahamkan laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada 4 Ogos 2008 yang lalu dan nota pemakluman kepada Jabatan Peguam Negara (AG) hanya dihantar pada Mei 2009.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: ABDULLAH KARIM: Panggil duta bukti Najib tunduk tekanan Amerika

Fraterniti diplomatik dan misi antarabangsa Kerajaan Malaysia masih terkejut sebenarnya dengan tindakan Kerajaan melalui Wisma Putra memanggil balik Wakil Tetap Malaysia Ke Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Datuk Arshad Hussain atas sebab apa yang disifatkan sebagai kegagalan duta tersebut mematuhi arahan Kerajaan Malaysia supaya menyokong usul yang dibawa ke Lembaga Governor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 27hb November 2009 bagi mengutuk program tenaga nuklear Iran dan pada masa yang menuntut Iran supaya menghentikan serta merta projek pengkayaan uranium yang kedua yang dijalankan di Bandar Qom.

Maklumat dari Wisma Putra dan juga kalangan diplomat-diplomat berpengalaman serta penganalisis dasar luar Malaysia menyatakan bahawa dalam dunia diplomatik, tindakan sesebuah negara memanggil pulang dutanya atas sebab tidak berpuas hati di atas tindak tanduk seseorang duta, adalah suatu tindakan yang serius yang boleh membawa kepada tindakan disiplin dikenakan ke atas duta tersebut.

Menurut sumber, dalam sejarah diplomatik negara, perkara sebegini (memanggil duta balik bagi memberi penjelasan) tidak pernah berlaku sebelum ini (unprecedented) di zaman mana-mana Perdana Menteri sekalipun. Menteri Luar, Dato Anifah Aman menjelaskan kepada media dua minggu lepas bahawa tindakan memanggil Datuk Arshad Hussain adalah sekadar untuk proses konsultasi memandangkan tindakan Datuk Arshad Hussain, yang mengundi menentang usul tersebut yang jelas ditaja oleh Amerika Syarikat dan sekutu-kutunya, adalah "tidak selaras dengan prosedur Kerajaan".

Menurut laporan media sebelum ini, Malaysia adalah antara tiga negara yang menentang usul tersebut, yang asalnya dibawa oleh Jerman, iaitulah selain dari Cuba dan Venezuala. Lembaga Governor IAEA sebenarnya mengandungi 35 anggota, namun pada hari pengundian, 34 negara yang hadir.

Sebelum dari persidangan bermula, Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang turut dianggota Malaysia telah pun membincangkan di peringkat kaukus tentang apakah pendirian NAM dalam menangani usul yang cukup serius yang membabitkan negara Iran yang berdepan dengan kegelojohan Amerika Syarikat. Kaukus NAM akhirnya telah mengambil keputusan untuk menentang usul tersebut.

Sebagai seorang duta yang bertanggungjawab, Datuk Arshad menurut maklumat telah pun menghubungi Wisma Putra dan mencadangkan supaya Malaysia mengambil sikap yang sama dengan pendirian NAM selaras dengan prinsip bahawa hak Iran untuk membangunkan tenaga nuklearnya bukan untuk tujuan keganasan perlu dihormati.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Umno anjur perhimpunan 'desak PAS Selangor keluar Pakatan'

Umno dipercayai sedang menggerakkan satu perhimpunan kononnya untuk mendesak agar PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat.

Menurut satu sms yang dihantar kepada Harakahdaily, perhimpunan itu akan diadakan esok 27 Disember jam 11 pagi di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor dekat sini.

Dalam perhimpunan itu, sms itu memaklumkan, satu memorandum akan diserahkan dan menurutnya memo itu akan diterima sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

"Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...," tulis sms itu.

Ketika disemak dari penghantar sms itu, didapati sumbernya adalah penggerak Umno di negeri ini.

"Dia nak ambil kesempatan dari isu yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS," kata sumber yang menghantar mesej ini kepada Harakahdaily.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Muslimat Perak perlu sedia hadapi Pilihan Raya



Ketua Penerangan PAS Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah menyeru muslimat semua peringkat di seluruh negeri menyiapkan jentera pilihan raya untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja.

Katanya, mana-mana kawasan dan juga cawangan, khususnya membabitkan jentera muslimat yang masih belum bersiap sedia, diingatkan supaya tidak melengah-lengahkannya lagi dalam soal untuk menghadapi pilihan raya.

"Walaupun jangkaan kita sebelum ini pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan diadakan pada penghujung November tidak berlaku, tetapi tidak bererti tidak akan diadakan langsung.

"Kalaupun tidak berlaku dalam waktu terdekat, pilihan raya umum yang ke-13 pasti akan diadakan juga dan persiapan mesti kena buat juga," katanya ketika menyampaikan taklimat kepada muslimat PAS Kawasan Lenggong di Surau Kampung Gua Badak dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kawasan, Haji Razman Zakaria, Timbalan YDP, Ustaz Mohd Kushairi Ariffin dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Lenggong, Hajjah Hapipah Mat Saman.

Khalil berkata, melihat suasana mutakhir di Perak, memaksa kita membuat persiapan lebih awal kerana kemungkinan besar DUN Perak akan dibubarkan pada bulan April 2010.

Katanya, sekiranya benar-benar berlaku pembubaran DUN pada ketika itu, pilihan raya akan diadakan dalam masa 60 hari selepasnya, bererti bukanlah satu jangka masa yang panjang untuk kita membuat persiapan sebaik mungkin bagi menghadapinya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: 300 ribu HIV 2015, tutup punca maksiat di Melaka



Dijangkakan 300,000 akan dijangkiti HIV di negara ini menjelang tahun 2015. Demikian laporan akhbar Sinar Harian edisi Melaka Negeri Sembilan hari ini. Angka ini amat menggerunkan kita semua kerana ianya merupakan bala dari Allah terhadap hambaNya yang melanggar perintahNya.

Semua kita faham bahawa antara punca HIV ini merebak ialah melalui seks bebas, penagihan dadah dan sebagainya.
Oleh itu saya menggesa kerajaan negeri Melaka menutup semua tempat-tempat pelacuran dan maksiat di samping memberikan kesedaran Islam kepada semua rakyat di negeri ini khususnya umat Islam. Hanya dengan menutup punca merebaknya penyakit berbahaya ini Insya Allah ianya dapat dikawal dan dikurangkan.

Pusat-pusat hiburan yang menjadi tempat berlakunya mukaddimah zina dan seks bebas ini tumbuh bagai cendawan lepas hujan di Melaka. Pusat-pusat hiburan seperti Dangdut, Disko, Kelab Malam, Diskotique, Karaoke dan sebagainya menjadi tempat hiburan sementara kononnya untuk menghilangkan kerunsingan dan kekusutan fikiran.

Tempat-tempat hiburan begini menjadi pelabuhan pertama kupu-kupu malam sebelum meneruskan operasi berikutnya. Siapa yang tidak tahu Jalan Melaka Raya yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka. Ianya bagaikan mati di siang hari tetapi hidup dan harum pada malam hari.

Jumlah pusat-pusat hiburan di Jalan Melaka Raya ini sungguh banyak. Jika kita berkunjung ke kawasan ini pada malam hari kita akan dapat menyaksikan pelbagai gelagat manusia yang datang mengunjungi tempat-tempat hiburan ini seolah-olah kita bukannya berdiri di tengah-tengah negeri umat Islam tetapi lebih mirip kepada Hatyaai atau Phuket di Thailand.

Saban hari ada sahaja berita yang tersiar di dada akhbar tentang tertangkapnya orang Islam yang berkhalwat dan berzina di sekitar negeri Melaka.

Rumah urut, Spa, salon kecantikan dan sebagainya juga didakwa menjalankan ‘perniagaan sampingan’ demi untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain dari itu Bandar Melaka juga memang terkenal dengan pusat maksiat seperti rumah urut dan Pusat Pelacuran yang kian menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negeri.

Tidak lama dahulu sebuah stesyen TV pernah membongkar kisah pelacuran yang berleluasa di sekitar Bandaraya Melaka. Sesungguhnya kegiatan jijik tersebut sudah lama berlaku tetapi semacam sengaja di biarkan oleh pihak berkuasa.

Ianya telah berlaku sejak turun temurun. Kawasan-kawasan yang terkenal dengan kegiatan tersebut adalah di Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Bunga Raya serta beberapa kawasan lain. Nama-nama seperti Pokok Kelapa, Ekspres Belakang, Rumah Hijau dan sebagainya menjadi siulan para pencinta perempuan murahan tersebut.

Harga perkhidmatan yang istimewa sehingga ke paras semurah RM30.00 menjadi penggalak kepada berkembangnya industri yang dikatakan antara yang tertua di dunia ini. Lebih malang lagi Stesyen TV itu juga mendedahkan bahawa antara pelanggan pelacur-pelacur murahan ini adalah pelajar-pelajar kolej yang rata-ratanya berketurunan melayu.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: PR, Jangan Pandang Belakang



Zolkharnain Abidin

Kalau menyertai konvensyen PR, 19 Dis di MBSA boleh dimasukkan sebagai pengalaman peribadi, saya tidak malu untuk berkata itulah pengalaman politik peribadi paling manis. Apa yang berlangsung itu melangkaui ufuk pemikiran orang politik biasa, apatah lagi musuh politik PR.

Masakan tidak. PAS dan DAP yang lebih dewasa daripada PKR meranduk sawah politik Malaysia ada sejarah ‘kelabu’ yang tersendiri. Sejarah kelabu itulah yang dicanang sehingga kini oleh Umno / BN untuk menidakkan muafakat antara PAS dan DAP.

Usah disebut lagi, usah diulang lagi sejarah kelabu itu. Biarkan dia berlalu. Biarkan sejarah merakamnya dan anak cucu kita membacanya. Cuma, kita ingatkan mereka supaya jangan mengulangi sejarah kelabu itu sama seperti kita tidak mahu menyebutnya lagi pada hari ini.

Ungkapan Karpal dalam ucapannya menjadi pengunci mati sejarah kelabu itu. “… saya bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz tetapi antara Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi hari ini”. Ucapan Tok Guru juga ada signifikannya, “Saya nampak ada bulan di dada Karpal”.

Mereka yang tidak dapat merasai kemanisan konvensyen kelmarin adalah mereka yang mati sensitiviti politiknya, walau pun dia mengaku dia adalah anggota ‘gerakan Islam’.

PR tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Kita melangkah dengan harapan politik baru. Bukan politik perkauman senget, sempit dan songsang dendangan dan warisan Umno / BN.

Biarkan Umno dengan ratib Melayunya. Orang Melayu kehilangan biasiswa, kehilangan bumi, kehilangan bahasa, kehilangan wibawa, kehilangan harga diri, Umno masih juga terhinggut-hinggut dengan ratibnya.

Melayu rosak dan hilang bukan kerana DAP. Melayu rosak dan hilang kerana Umno, kerana politik perkauman senget, sempit dan songsang Umno. Umno menipu orang Melayu dengan ‘dacing kandar’ nya itu.

Betul, Umno memang membela Melayu tetapi Melayu atasan, Melayu elit, Melayu di sekeliling pinggang pemimpin Umno. Melayu marhaen termasuk pengundi Umno di desa tiada tempat dalam kamus pembelaan Umno. Ketika Melayu merempat ini pun, Umno masih juga meratib ‘Melayu’. Poooraahhh…

PR mesti memberi fokus kepada agenda pelaksanaan dasarnya. Jangan menoleh lagi. Teruskan perjalanan, tukar gear satu demi satu. Berhenti sekejap bila bertemu lampu isyarat kemudian terus semula perjalanan. Jangan fikir untuk berpatah balik. Lupakan sekejap gear undur itu.

Cuma jangan ditanggal gear undur. Bila berhadapan tembok, undur sedikit, jangan undur terus. Kemudian sambung semula perjalanan ke hadapan.

Jangan bimbang rakyat bersama kita selama mana kita bersama mereka. Dan, mereka tetap akan bersama kita sekiranya kita bukan sekadar membawa harapan tetapi membawa sinar kepada kehidupan mereka.

Anwar Melayu, Abdul Hadi Melayu, Karpal Singh Benggali, Kit Siang Cina, Guan Eng Cina, persetankan itu semua. Bangsa dan darah keturunan bukan urusan kita. Darah kita sama merah dan kita semua adalah manusia.

Melayu tak akan hilang kemelayuannya sama seperti Cina dan Benggali. Tetapi kita boleh kehilangan kemanusiaan apabila kita menindas mereka yang sepatutnya dibela. Hari ini dan kelmarin, dan tidak mustahil besok juga, rakyat pernah merasai mereka diperlakukan seperti ‘kaldai penanggung barang’ oleh Umno.


untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Politik dunia Islam 2009: 10 berita utama



Perkembangan dunia Islam terus menjadi berita-berita utama antarabangsa, memberi kesan kepada politik serantau dan global, bermula dengan serangan Israel ke atas Gaza pada Disember 2008 sehingga Januari 2009, kepada konflik di Yaman yang semakin merebak ke seluruh wilayah negara itu dan jiran. Berikut 10 berita dan pemain utama dalam dunia Islam, yang memberi kesan besar kepada negara terbabit, dunia Islam secara keseluruhan dan politik dunia.

1. Serangan terhadap Gaza, Palestin

Dunia Islam memulakan tahun 2009 dengan menyaksikan konflik di Gaza, perang mempertemukan kekuatan tidak seimbang tentera Israel dengan Hamas dan kumpulan-kumpulan lain di wilayah Palestin dikuasai Hamas ini. Perang bermula pada Disember 2008. Awal 2009, Israel memulakan serangan darat selepas seminggu serangan udara. Perang berakhir pada 18 Januari, dua hari sebelum presiden baharu Amerika Syarikat, Barack Obama mengangkat sumpah. Hampir 1,500 warga Palestin dilaporkan terbunuh, dengan kemusnahan hampir AS$2 bilion. Israel turut menyerang masjid, sekolah dan tempat-tempat awam, membunuh semua termasuk kanak-kanak. Tidak lama selepas perang, Israel memilih sebuah kerajaan dikuasai parti berhaluan kanan. Demonstrasi diadakan di seluruh dunia membantah tindakan Israel. Reaksi di dunia Islam termasuk boikot terhadap jenama AS dan Barat seperti McDonald's, Tesco, Starbucks, KFC dan pelbagai produk konsumer lain.

2. Dasar luar baharu Turki

Negara yang sedang menggerakkan dasar luar baharu, Turki, bertindak pragmatik dalam menangani isu Gaza melalui satu tindakan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dalam forum di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, menaikkan imej Turki ketika dunia Arab dilihat gagal bertindak. Di bawah arkitek dasar luar baharu Ahmet Davutoglu, akademik hubungan antarabangsa berpengalaman luas, Turki mengaktifkan usaha baharu membina hubungan baik dengan negara-negara jiran termasuk Armenia dan Syria dan cuba membina ruang pengaruh, berdasarkan fahaman pan-Turkisme atau apa yang disifatkan pemerhati sebagai perspektif "neo-Uthmaniyah" Ahmet. Ahmet, yang pengalamannya termasuk mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Beykent Istanbul, disebut sebagai "Henry Kissinger Turki" yang kini menjadi tokoh penting parti pemerintah, AKP.

3. Konflik Yaman

Menjelang Ramadan tahun lalu, Yaman menyaksikan bermulanya konflik melibatkan kerajaan pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dengan pemberontak Houthi di utara. Kini, setelah tiba bulan Muharram 1431, konflik di Yaman semakin meluas dan meningkat dari segi intensitinya, apabila AS mula terlibat dalam serangan terhadap kumpulan al-Qaeda di negara ini, kumpulan dikenali sebagai al-Qaeda di Semenanjung Arab (al-Qaeda in the Arabian Peninsula, AQAP) menggabungkan al-Qaeda Yaman dengan Arab Saudi. Negara dilanda masalah sumber air dan hidrokarbon ini juga berdepan kebangkitan kumpulan pemisah Marxist di selatan. Penglibatan Saudi menyerang Houthi juga menambahkan kerumitan konflik ini, yang kini telah menyebabkan lebih 170,000 menjadi pelarian di dalam negara. Peranan Iran dan Saudi memperlihatkan dimensi persaingan kuasa serantau dalam konflik ini.

4. Pilihan raya presiden dan isu nuklear Iran

Iran mengadakan pilihan raya presiden pada 12 Jun lalu, dengan keputusan penyandang Mahmoud Ahmadinejad mengekalkan jawatan. Walau bagaimanapun, keputusan ini ditentang hebat Mir Hossein Mousavi dan ribuan penyokongnya, menggegarkan republik Islam yang berpandukan kepada ide Wilayatul Faqih yang menetapkan kuasa kepada para ulama. Kebangkitan digelar "revolusi hijau" oleh kem Mir Hossein mendapat kredibiliti dan imej yang positif bagi sesetengah pihak kerana warna hijau yang digunakan - yang dikaitkan dengan Islam dan Nabi Muhammad saw - sebagai simbol gerakan menentang pemerintah Iran. Pemerintah Iran masih berdepan cabaran getir penentangan ini, yang mendapatkan simpati apabila Ayatullah Hossein Ali Montazeri meninggal dunia pada 20 Disember lalu. Pada masa yang sama, Iran terus berdepan cabaran berhubung isu nuklearnya apabila sikap kerajaan baharu AS tidak berubah walaupun sedia berunding.

5. Afghanistan-Pakistan dan Taliban

Afghanistan dan Pakistan ditangani sebagai satu oleh sebahagian besar komuniti dasar luar AS, ekoran hubungan rapat kumpulan Taliban di kedua-dua negara dan kaitan rapat geografi kedua-dua negara dalam konflik di Afghanistan. Afghanistan kini menjadi satu agenda dasar luar penting bagi Obama, yang meluluskan 30,000 anggota tentera untuk dihantar ke negara ini. AS kini mempunyai kehadiran yang besar di Asia Tengah. Pada masa sama, Presiden hamid Karzai baharu melengkapkan anggota kabinetnya, yang dikritik ramai sebagai tidak memenuhi janji memerangi korupsi dan pada masa sama memberikan kuasa kepada pihak-pihak tidak sepatutnya. Kedatangan lebih ramai tentera AS dan pemerintahan Hamid yang tidak bersih dan bebas bakal meneruskan ketidaktentuan di Afghanistan. Kedatangan lebih ramai anggota tentera mampu meningkatkan lagi konflik dengan kumpulan militan.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Umno didakwa putar belit isu AJK Masjid Perak

Umno Perak didakwa cuba memutar belit dan mempolitikkan isu perlantikan Ahli Jawatan Kuasa Masjid di negeri itu selepas mereka tidak berpuas hati dengan senarai baru yang telah disahkan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, Drs. khalil Idham Lim memberitahu, perkara sebenar disebalik itu adalah kerana Umno tidak berpuas hati apabila kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebelum ini membiarkan kaedah betul diguna semasa membuat pemilihan untuk disenaraikan.

Kaedah itu adalah dengan membiarkan mereka yang telah dipertanggungjawab oleh Majlis Agama Islam Perak (MAIP) iaitu Orang Besar Jajahan (OBJ), Penghulu Mukim dan Pegawai Tadbir Agama (PTA )membuat pilihan tanpa campurtangan politik mana-mana pihak termasuk Pakatan Rakyat.

Namun kaedah betul itu telah bercanggah dengan amalan turun temurun Umno negeri itu yang membuat senarai pemilihan mengikut kehendak parti itu.

"Sebelum ini Umno guna kaedah ketua cawangan pilih, kemudian diserahkan kepada ketua bahagian, lepastu diserah kepada Pengarah JAIP untuk disahkan oleh Majlis Agama (MAIP).

"Mereka cuba membonekakan JAIP (Jabatan Agama Islam Perak) dengan tidak membenarkan JAIP ubah senarai itu malah dipaksa untuk mengesahkannya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Umno telah menuduh Pengarah JAIP, Datuk Mohamad Nor Mansor bersekongkol dengan Pakatan Rakyat tanpa sebarang bukti.

Mohamad Nor dituduh memotong nama-nama yang telah diperkenankan oleh DYTM Tuanku Raja Muda dan menukar dengan nama-nama pemimpin Pas, sebelum senarai itu dihantar semula ke pejabat JAIP dan kemudian membuat senarai baru tanpa merujuknya semula kepada OBJ.

Khalil yang juga turut mengulas perkara itu dalam blognya memberitahu, selain tuduhan tersebut berniat jahat dan tidak berasas, ianya juga satu penderhakaan terang terangan terhadap senarai yang telah diperkenan Tuanku Raja Muda Perak.

Ianya kerana Pengarah JAIP adalah Setiausaha Majlis Agama Islam Perak yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perak sendiri.

"Tindakan UMNO mempertikai senarai yang diumumkan adalah bagi saya telah menderhakai perkenan DYTM Raja Muda Perak," katanya yang juga ADUN Titi Serong.


untuk berita lanjut,sila klik disini

Harakah Online Preview: Perhentian bas Kuala Berang pula runtuh


Gambar: Bahagian depan bangunan stesen bas Kuala Berang yang masih dalam pembinaan runtuh)
ULU TERENGGANU: Bangunan Perhentian Bas Kuala Berang dekat sini runtuh kira-kira jam 4 petang tadi menjadikannya ianya yang ke empat seumpamanya di Terengganu selepas sekolah, stadium dan juga masjid runtuh sebelum ini.

Menurut saksi kejadian, bahagian depan bangunan belum siap sepenuhnya itu runtuh dipercayai selepas pekerjaan pembinaannya memijak bahagian depan bangunan ketika mahu memasang cermin di atas bangunan itu.

Menurut beliau, bahagian yang terputus adalah bahagian penghubung yang dipeteri antara bangunan dengan atap depan bangunan itu.

Menurut papan tanda di depan projek tersebut, bangunan ini adalah milik Majlis Daerah Hulu Terengganu. Ia berupa projek membina dan menyiapkan terminal pengangkutan awam.

Arkitek projek ini adalah SAM Arkitek Perunding, juruteranya adalah MNA Consultant Sdn Bhd, juruukur bahan adalah Contract Management Consultant dan kontraktornya adalah Gemilang Mega Sdn Bhd.



(Gambar: Papan tanda di depan bangunan ini)

Di atasnya jelas tertulis perkataan "Satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional".

Ketika kejadian tidak ada sebarang ribut atau angin kencang melanda kawasan itu sungguhpun Pantai Timur sekarang sedang menghadapi banji semula.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Ahli parlimen BN lebih pentingkan projek

uan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan anggota-anggota parlimen Barisan Nasional (BN) lebih mementingkan projek sehingga ramai tidak hadir pada persidangan parlimen.

Mursyidul Am PAS itu berkata, mereka bukan menjalankan tanggungjawab untuk memperjuangkan isu rakyat, sebaliknya menjaga poket sendiri.

“Kerana itu wakil rakyat mereka tidak pedulikan nasib rakyat, sebaliknya lebih pentingkan makan angin, berniaga dan banyak urusan luar dan bukannya menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini seramai 70 anggota parlimen BN tidak hadir ketika undi belah bagi meluluskan Bajet 2010 yang dibentang Datuk Seri Najib Razak.

Bacaan kali ketiga Bajet 2010 diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini dengan hanya kelebihan tiga undi, di mana 63 anggota parlimen menolak manakala 66 lagi anggota parlimen menyokong.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, wakil rakyat Umno sebagai wakil rakyat korporat kerana mereka tidak ikhlas menjalankan tanggungjawab.

Katanya, wakil rakyat BN bukan menjaga kepentingan rakyat, sebaliknya lebih bersifat korporat menyebabkan mereka mengambil mudah tanggungjawab untuk membawa masalah rakyat ke Parlimen.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Pendaftaran Pakatan Rakyat di tangan ROS - Presiden PAS

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, apa yang dimaksudkan oleh beliau dalam kenyataannya baru-baru ini adalah Pakatan Rakyat masih belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ia masih dalam proses pertimbangan Pendaftar Pertubuhan atau ROS.

Penjelasan ini diberikan oleh beliau kepada Harakahdaily ekoran kekeliruan yang dibuat oleh media berdasarkan kenyataan beliau sebelum ini.

Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Shamsury Mokhtar berkata, beliau telah diminta menjelaskan perkara ini oleh presiden PAS itu.

"Saya telah dihubungi oleh Tuan Guru Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS) pada hari ini dan telah dimaklumkan oleh Tuan Guru bahawa apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh beliau adalah:

"bahawa penubuhan Parti Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui secara bersama oleh ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat ini belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ianya masih dalam proses pertimbangan kelulusan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Media pro-BN tutup mulut lapor Konvensyen Pakatan Rakyat?


Khalil Idham Lim

Saya menulis dalam Facebook pagi ini seperti berikut:

"Assalamualaikum.... Agak lama tidak menulis disini, apapun saya mengharapkan dalam masa mendatang untuk cuba berhubung dengan rakan-rakan dalam facebook. Sebenarnya saya sangat teruja dengan kejayaan Pakatan Rakyat berjaya mengadakan Konvensyen nya yang pertama, Alhamdulillah saya salah seorang dari pesertanya, mengikuti konvensyen dari pagi sehinggalah tamat program."

Diawal program saya menitiskan airmata dalam kegembiraan dan kebanggaan yang amat sangat melihat kejayaan besar itu.

Semasa bersiap untuk meninggalkan hotel penginapan dengan keluarga, saya tunjukkan kad peserta kepada anak-anak, kata saya "ini adalah satu catatan sejarah politik Malaysia", Anak bongsu yang sering mengungkapkan "BN jahat" cuma menjawab ringkas "cheewahh...semangat...."

Rupanya hari bersejarah itu langung tidak terdapat dalam berita yang dipaparkan oleh media yang pro-BN seperti Utusan dan Berita Harian.

Saya cuba meneliti laporan edisi internet dan tidak menemukan laporan mereka mengenai Konvensyen Pakatan Rakyat itu.

Apapun saya pun tidak hairan dengan tindakan itu kerana saya sangat yakin bahawa kejayaan ini telah tersebar luas dalam banyak media lain, walaupun kedua media itu masih mahu mengekalkan sikap yang tidak cerdik dalam memberi laporan berita kepada rakyat yang dahagakan maklumat yang sebenar.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Pengerusi BN Pulau Pinang bukan hak turun-temurun - Zainal

Pergolakan BN Pulau Pinang dilihat berpanjangan apabila pemimpin nombor dua Umno negeri itu pula menegaskan bahawa jawatan Pengerusi BN negeri bukannya hak turun-temurun mana-mana pihak.

Penegasan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman itu dipercayai umum ditujukan kepada Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

"Jawatan (Pengerusi BN Pulau Pinang) tersebut bukannya hak turun-temurun atau hak seumur hidup kepada mana-mana individu mahu pun parti," kata Zainal.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno (2009-2011) menegaskan bahawa Koh tidak berhak menolak permintaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya Umno mempengerusikan BN Negeri kerana Umno mempunyai Adun terbanyak di Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu sebanyak 11 orang.

Beliau menegaskan, soal menerima atau menolak permintaan Ahmad seharusnya dipulangkan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Ujarnya lagi, Umno lebih layak mempengerusikan BN Pulau Pinang demi berdasarkan sokongan rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) lalu.

Dengan Umno menyandang Pengerusi BN Negeri kelak, dipercayai mampu meraih semula sokongan rakyat kepada BN.

Lebih pada itu, Zainal turut menuduh Koh tidak menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya selaku Pengerusi BN Negeri belakangan ini.

Koh turut dituduh tidak mengadakan aktiviti-aktiviti sewajarnya demi kepentingan rakyat, khususnya di kalangan akar umbi parti-parti komponen sendiri.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kita sedang membangun satu Malaysia baru


TANGGAL 19hb. Disember, 2009 merupakan merupakan satu peristiwa bersejarah. Detik permula masa depan demokrasi Malaysia. Tidak ayal lagi betapa pentingnya gerakan rakyat jelata Malaysia mengampu penyempuraan demokrasi Malaysia melalui pilihanraya ke-12 Mac, 2008. Ia telah melahirkan kekuatan imbang terhadap kekuasaan. Ini bererti rakyat telah memperolehi pengukuhan ke atas hak-hak mereka.

Suatu yang menarik adalah peranan PAS mahu pun DAP dalam hal menjayakan suatu komponen tandingan kepada BN dengan merealisasikan PR. Ia benar-benar menepati pepatah politik, “tiada yang mustahil dalam politik.” Tanpa komimen tinggi kedua-dua parti politik ini, Konvensyen Pakatan Rakyat yang jaya itu, akan menjadi mustahil.

Kita tahu DAP adalah sebuah parti sekular yang memperjuangkan satu bangsa Malaysia. Seperti mana-mana parti politik, politik DAP sebenarnya tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia. Idealisme DAP adalah mencapai negara bangsa yang sempurna dalam kemajmukan rakyat Malaysia.

Dari segi idealisme politik , PAS tidak ada berkonflik apa-apa dengan idealisme DAP, kecuali ia sebuah parti politik yang berlandaskan agama – Islam. PAS bagi saya bukan sebuah parti berteraskan ideologi, tetapi berteraskan dogma suci Islam – Wahyu/Alquran.

Untuk mendakwa PAS sebagai parti ideologi, ia keliru. Ini kerana Islam bukan ciptaan manusia, tetapi wayhu Allah. PAS dari masa ke semasa, bebas dalam ruang fikrahnya berdasarkan syura dan pengesahan para ulamanya mentafsir dan menggubalkan fikrah berdasarkan wahyu untuk menjana kekuatan Islam dan umat dalam politik Malaysia.

Sebuah ideologi dicipta melalui akal fikiran. Ia suatu falsafah yang diidealkan menjadi tonggak akidah perjuangan. Hal ini tidak mungkin berlaku kepada mana-mana pergerakan politik Islam. Kerana Islam pada hakikatnya agama yang berlandaskan asas mutlak kebenaran daripada Allah.

Oleh itu, ia sentiasa terbuka kepada akal untuk memikirkan pendekaran-pendekatan politik bagi menjayakan kebenaran Allah. Atau menjayakan pencapaian yang dikira lebih tepat dan bijaksana. Dalam laluan begini, insyaallah, PAS tetap akan bertenaga merenangi segala zaman dan segala keadaan yang memerlukan ia menyesuaikan diri dengan segala keupayaan ijtihad yang luas.

Sebab itu, pergerakan Islam tidak akan mati selagi ia tidak mengalih daripada berpegang kepada wahyu secara luas. Tidak menjumudkan diri kepada satu-satu falsafah berdasarkan Islam secara keta’atan taksub. Lagi pula Islam tidak membenarkan pemujaan akal melangkau keabadian dan kesucian wahyu.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kejayaan 22 tahun perjuangan Hamas

Gerakan Islam Hamas kini mencecah usia 22 tahun berjuang membebaskan Palestin daripada penjajahan Yahudi Zionis, dan bertekad untuk meneruskan lagi perjuangan getir ini tanpa kompromi.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyah, menyatakan janji ini di depan puluhan ribu warga Palestin yang hadir di Semenanjung Gaza untuk menyambut ulangtahun penubuhan kumpulan ini.

Ismail menegaskan, Hamas tidak akan mengiktiraf Israel dan akan terus berjuang, ketika ujian getir menimpa kumpulan ini yang terbukti menerima sokongan rakyat apabila menang besar dalam pilihan raya pada awal 2006.

Hamas melepasi ujian sejurus menang pilihan raya itu, yang menyaksikan tekanan-tekanan diberikan kepada kerajaan baharu dikuasai Hamas.

Sebelum itu, jutaan dolar dihulurkan oleh Amerika Syarikat kepada Pihak Berkuasa Palestin dikuasai Fatah sebagai dana pilihan raya. Barat tidak mahu melihat kumpulan Hamas menang dalam pilihan raya itu, menewaskan agennya, Fatah.

Mahmoud Abbas daripada Fatah kini masih memegang jawatan presiden Palestin, tetapi bukan sebuah negara seperti yang difahami ramai, cuma autoriti yang diiktiraf Barat sebagai mewakili Palestin.

Bukan itu sahaja, pengundi-pengundi di kawasan Baitulmaqdis Timur dihalang mengundi kecuali beberapa kerat, dan yang lain menghadapi cabaran merentasi kawalan Israel untuk mengundi.

Selepas Hamas menang, penyokong kuat Israel, pentadbiran George W Bush tetap enggan menghormati kejayaan besar Hamas mengaut 76 kerusi parlimen, apabila mengugut untuk membatalkan bantuan sebanyak AS$400 juta setahun kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Manakala Kesatuan Eropah walaupun meneruskan bantuan tahunan sebanyak AS$606 juta, terus mendesak Hamas menghentikan perjuangan bersenjata dan mengiktiraf Israel.

Hanya Hamas dan Palestin didesak menerima syarat-syarat tidak masuk akal itu, sedangkan Zionis yang datang menjajah, membina penempatan haram yang mempunyai kemudahan (tidak seperti penempatan rakyat Palestin), membunuh rakyat Palestin dan membina tembok penghalang diberi bantuan berterusan oleh Barat.

Hal ini memberi pengajaran kepada gerakan-gerakan Islam seluruh dunia tentang sikap Barat terhadap mereka. Gerakan Islam sebenar tidak akan mendapat restu dan penghormatan daripada pihak Barat.

Kumpulan-kumpulan (atau tokoh-tokoh) yang diberi penghormatan Barat perlu diragui oleh ahli-ahli gerakan Islam, dan tidak melihatnya sebagai Barat akhirnya mengiktiraf kita.

Hamas secara konsisten menolak perjanjian-perjanjian damai tajaan AS seperti Perjanjian Oslo yang sangat berat sebelah dan tidak diwakili kumpulan yang paling dizalimi.

UNTUK BERITA LANJUT, SILA KLIK DISINI

Harakah Online Preview: Pakatan sedang terjemahkan dasar kebajikan rakyat


Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP) hari ini sedang menterjamahkan usaha mereka untuk mewujudkan negara yang demokrasi dan mendahulukan kebajikan rakyat melalui konvensyen yang sedang berlangsung.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sewaktu berucap dalam pidato dasar Pakatan Rakyat pagi tadi menegaskan tujuh perkara melibatkan urus tadbir negara mesti diubah dan diperbaharui.

Antaranya ialah mempertingkat integriti Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) dengan meletakkkan badan itu di bawah kuasa parlimen.

Beliau juga menyarankan agar pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah SPRM dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

"SPRM harus dipantau oleh Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai oleh ahli-ahli parlimen secara bipartisan. Pengerusi dan ahli lembaga pengarah SPRM mesti dillantik oleh Yang Dipertua Agong selepas calon yang ditawarkan itu selesai menjalani sesi soal jawab dan soal selidik oleh Ahli jawatankuasa Khas Parimen.

"Tugas Perdana Menteri hanya mencadangkan nama-nama mereka," katanya.

Menurut Salahuddin juga, terdapat kelemahan dalam penggunaan kuasa eksekutif di negara ini yang menyebabkan penindasan terhadap rakyat.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Jabatan Hisbah ditubuhkan di peringkat pusat dan negeri.

"Selain daripada parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mahkamah, perlu diwujudkan ruang untuk rakyat menuntut keadilan.

"Tujuh perkara mesti kita urustadbir dengan baik. InsyaAllah jika Pakatan diberi peluang mentadbir negara ini, kita akan mentadbir dengan adil dan saksama kepada semua kaum di Malaysia," katanya disambut tepukan gemuruh.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua pula berpandangan, masih banyak cara yang boleh digunakan kerajaan untuk meningkatkan hasil pendapatan negara selain mengenakan pelbagai jenis cukai kepada rakyat.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Konvensyen lulus Dasar Pakatan Rakyat

Tepat jam 5.30 petang 19 Disember, bertempat di Auditorium MBSA, Dasar Pakatan Rakyat diluluskan sebulat suara dalam konvensyen pertamanya.

Ia diluluskan apabila semua perwakilan berdiri dan mengangkat tangan tanda setuju apabila ditanya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan cadangan Lim Kit Siang.

Dokumen itu kemudiannya ditandatangani oleh tiga pemimpin utama Pakatan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dasar Pakatan Rakyat berupa dokumen yang dipersetujui bersama di kalangan pimpinannya dan diluluskan sebulat suara dalam konvensyen hari ini.

Ia mengandungi empat perkara asas iaitu demokrasi yang telus dan tulin, memacu ekonomi berprestasi tinggi, keadilan sosial dan pembangunan insan dan hubungan persekutuan - negeri dan dasar luar negara.

Harakah Online Preview: Anwar Ibrahim: Keyakinan kepada rakyat



Kita mengadakan konvensyen ini sebagai menyambut suara rakyat. Rakyat telah bersuara pada 8hb Mac 2008. Dan suara rakyat semakin lantang.

Apakah yang rakyat mahu?

Rakyat telah memberikan kita sedikit kepercayaan. Tsunami politik 2008 memcerminkan rakyat telah muak dengan kerenah rasuah, politik perkauman dan taktik jelek adu domba Umno-BN. Mereka marah dengan skandal V K Lingam, dan tatkala harga petrol melabung mereka tidak yakin BN bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

Maka rakyat memberikan dokongan kepada gagasan Keadilan, DAP dan Pas. Jika kita lihat persiapan jentera pilihanraya, kerjasama antara parti-parti kita yang masih longgar, dan kita melihat pula jaganath pilihanraya Umno-Bn, dengan propaganda licik dan penuh fitnah, semua merasa mustahil kita mampu memperoleh kemenangan yang begitu besar. Tidak ada pendita politik yang mempercayainya, dan sebahagian besar kita sendiri tidak mempercayainya.

Tetapi rakyat memberikan kita kepercayaan. Maka kita harus insaf dan bersifat tawadhu. Kita memperoleh kemenangan tersebut bukan kerana kekuatan kita atau jentera parti. Kita di Dewan Rakyat, di tampuk pemerintahan negeri kerana rakyat memberikan kita sedikit keyakinan. Kita jangan sekali jadi seperti kaduk naik junjung.

Rakyat mahu mencuba kita, rakyat mahu menguji kita. Maka kita jangan mengkhianati kepercayaan tersebut. Kita perlu yakin dengan kebijaksanaan rakyat. Meskipun mereka dihujani dengan propaganda murahan, dan mereka disekat dengan pelbagai instrumen pemerintahan, tetapi bila tiba saatnya, rakyat akan membuat pilihan dan penentuan yang benar dan adil.

Maka kita mengadakan konvensyen ini bukan untuk mencerca dan mengkritik BN dan Umno. Pemerintahan yang ada sekarang sudah kehilangan keabsahan moral, legitimasi moral mereka sudah terhapus. Kita berada di sini untuk mengungkapkan dasar dan kebijakan Pakatan Rakyat, bukan sekadar sebagai gabungan parti-parti politik, tetapi juga sebagai gerakan politik. Pakatan Rakyat is not merely a political alliance, it is first and foremost a political movement.

Perjuangan yang kita bawa ini bukan milik parti-parti politik semata-mata. Agenda perubahan, agenda reformasi yang kita bawa turut menjadi milik lembaga swadaya masyarakat (NGO), blogger, pemikir, penyair dan seniman.

Dengan kepercayaan rakyat yang kita perolehi kita kini berada di persimpangan zaman. Kita tidak berjuang sekadar untuk mengganti satu kekuasaan dengan kekuasaan yang lain. Kita tidak berjuang untuk membuat perubahan runcit-runcitan. Kita berjuang untuk membuat perubahan besar, big change, fundamental change. Semangat dan hati nurani rakyat menuntut ini dan mendorong kita membuat lompatan yang jauh. Maka kita perlu ada keberanian kebenaran, the courage of truth, keyakinan terhadap semangat rakyat, faith in the power of the spirit of the people.


II. FALSAFAH KEBANGSAAN

Apa yang hendak kita lakukan adalah tidak lain dari membina semula sebuah bangsa dan sebuah Malaysia yang berteraskan kekuatan moral rakyat. Dan kekuatan moral rakyat adalah berteraskan prinsip karamah insaniah, kemuliaan darjat insaninya “walakad karamna bani Adam.” Prinsip ini turut diungkapkan oleh seorang pejuang kemanusiaan dan rakyat; Martin Luther King, “A nation where its people will not be measured by the color of their skin but by the content of thier character." Rakyat sudah merdeka 50 tahun, dan rakyat mahu keluar dari kepompong perkauman yang dibikin oleh ahli-ahli politik yang berfikiran kecil dan sempit.

Maka yang mendasari segala dasar dan kebijakan yang kita bentangkan hari ini adalah prinsip moral sejagat. Ini bukan gimik politik. Kita yakin perjuangan yang tidak dipandu oleh prinsip moral sejagat akan menemui jalan buntu, tidak akan membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua.


untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Tiada rombakan Exco Kelantan– Nik Aziz

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak khabar angin kononnya berlaku rombakan anggota Exco kerajaan negeri.



“Tidak akan berlaku rombakan atau pun pengguguran di kalangan anggota Exco yang ada sekarang.

“Tetapi jika pertukaran membabitkan kalangan pegawai tadbir negeri, itu merupakan perkara biasa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum ini timbul desas desus kononnya akan berlaku rombakan Exco kerajaan negeri ekoran beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini.

Ditanya desakan anaknya Nik Amalina supaya seorang Exco meletak jawatan, katanya pandangan itu dianggap sebagai perkara biasa kerana Nik Amalina sudah akil baligh.

“Dia boleh berfikir yang mana baik dan yang mana buruk, itu terserahlah kepadanya,” kata beliau.

Baru-baru ini Nik Amalina yang juga isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Kelantan, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman membuat desakan tersebut melalui blognya.

Mengenai kenyataannya sebelum ini memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana berani melawat selatan Thailand katanya, manusia ada baik dan tak baik. “Ketika dia melakukan kebaikan kita kena puji, begitu juga dalam kes nak aniaya Kelantan untuk memberikan wang ihsan, itu tidak baik, dia kena bagi royalti,” ujarnya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Mohd Zain Ismail cabar Ketua Umno Rantau Panjang

Ketika riuh rendah dengan desakan diadakan semula mesyuarat agung MCA bagi menyelesaikan konflik dalaman parti itu, fenomena serupa juga rupa-rupanya sedang melanda Umno Kelantan.

Biarpun tiada laporan dapat dilihat dalam media harian, namun konflik yang melanda Umno Rantau Panjang kini tiada penghujungnya apabila kumpulan penyokong bekas ketua bahagian itu, Datuk Mohd Zain Ismail terus mengadakan desakan.

Sehingga kini beberapa perhimpunan diadakan termasuk di Pejabat Umno Rantau Panjang di Kampung Lati, di Baroh Pial dan terbaru di Meranti.

Mohd Zain mendakwa Umno bahagian itu sekarang sangat goyah dan amat tidak stabil.

“Demi untuk rakyat saya tidak penduli biar apa pun akan terjadi ke atas diri saya. Apa yang mustahaknya orang yang teraniaya mesti dibela,” katanya ketika berucap pada perhimpunan yang diadakan di rumah seorang penyokongnya, Yaakub Yunus di Meranti, kelmarin.

Mohd Zain yang juga bekas Adun Bukit Tuku mendapat sokongan 18 AJK bahagian yang dipilih pada mesyuarat agung Oktober lalu dan 36 bekas Penyelia Pembangunan Mukim (PPM).

Menurutya beliau memberanikan diri tampil berucap di majlis itu kerana tidak tahan dengan tindakan ketua bahagian, Abdullah Mat Yassin yang telah melencong jauh dari landasan kemanusiaan.

“Saya tidak dapat menahan sabar untuk bertindak bersama kumpulan yang dianiayai sekali pun sekarang masih digantung Lembaga Disiplin Umno selama tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, PPM yang dipecat terus mendesak Abdullah mengosongkan jawatan segera bagi membolehkan satu mesyuarat agung tergempar (EGM) diadakan semula di bahagian berkenaan.

Selain itu, mereka turut mendesak timbalan ketua bahagian, ketua pemuda, ketua wanita, setiausaha, ketua penerangan, bendahari dan 10 ahli jawatankuasa yang dilantik meletak jawatan.

“Pemimpin bahagian yang ada sekarang tidak dipilih secara demokrasi dan banyak berlaku penyelewengan serta tidak selaras dengan kehendak rakyat dalam bahagian ini,” kata Yaakub sebagai mewakili PPM yang dipecat.

Beliau juga mencabar kesemua PPM dan ketua PPM baru yang dilantik Abdullah supaya turut meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan dibuat rakyat di setiap mukim bagi melantik PPM.

Hadir sama di majlis berkenaan AJK bahagian, Datuk Abdullah Satar, bekas Adun Gual Periok, Abdul Rahman Awang, pengerusi ad hoc kumpulan pendesak, Abdul Halim Che Harun.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Timbalan Menteri gagal perjelas pembinaan kampus terbengkalai

Timbalan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Hou Kok Chung gagal menjawab soalan mengenai projek pembinaan beberapa kampus Institusi Pengajian Tinggi (IPT) meskipun majlis pecah tanah telah dilaksanakan.

Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi, meminta Kementerian memberi penjelasan mengenai pembinaan kampus utama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachock yang masih belum dilaksanakan.

Menurut Nasharudin, majlis pecah tanah sudah beberapa kali diadakan terutamanya apabila tiba musim pilihanraya namun sehingga sekarang, projek berkenaan gagal dilaksanakan meskipun dimaklumkan tiada masalah berkenaan tapak yang dililih itu.

Nasharudin berkata, akibat kegagalan Kementerian meneruskan projek berkenaan, UMK terpaksa menumpang di kawasan lain sebagai kampus sementara.

"Saya minta Pihak Kementerian memberikan penjelasan berhubung perkara ini kerana pelajar-peajar UMK terpaksa menumpang di kawasan lain yang ternyata tidak kondusif untuk pembelajaran mereka," katanya.

Nasharudin menimbulkan pertanyaan itu berikutan soalan Mohd Nor Othman (BN) yang meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan langkah-langkah yang telah diambil bagi pembinaan politeknik Hulu Terengganu di Kampung Kuala Jeneris yang telah disempurnakan majlis pecah tanah oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 3 Februari 2008.

Namun, Hou Kok Chung (BN-Kluang) tidak dapat menjawab soalan Nasharudin sebaliknya meminta untuk menjawabnya secara bertulis atas alasan soalan berkenaan luar daripada soalan asal.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: PAS anggap 70 Ahli Parlimen BN boikot bajet Najib

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad menganggap bahawa majoriti ahli parlimen Barisan Nasional tidak menyokong Budget 2010 yang telah dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, Tindakan 70 orang ahli parlimen dari 137 (1 lagi adalah Speaker) yang tidak hadir semasa sesi undian bagi kelulusan budget berkenaan semalam, mengambarkan bahawa mereka memboikot atau menolak bajet berkenaan.

Hanya 66 orang sahaja yang hadir bagi menyokong usul budget berkenaan dan ini adalah kurang dari separuh dari jumlah keseluruhan ahli parlimen yang sepatutnya hadir.

Budget 2010 diluluskan hanya dengan majoriti 3 undi sahaja, itu pun selepas Najib dan beberapa orang Menteri Kabinet dipanggil untuk hadir ke Dewan Rakyat malam tadi.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Skandal PKFZ: Selesaikan segera sebelum Mahathir tiada

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad didesak segera campur tangan untuk membantu menyelesaikan skandal Zon Bebas Perlabuhan Klang (PKFZ).

Desakan tersebut dibuat selepas tiga Pegawai Kanan Lembaga Pelabuhan Klang (PLB) didakwa di Mahkamah dua hari lalu.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin mendesak demikian supaya skandal PKFZ tidak terkubur begitu sahaja seperti skandal Perwaja disebabkan yang tertuduh, Tan Sri Eric Chia meninggal dunia.

"Skandal Perwaja umpamanya berlaku di zaman Mahathir dan cuba diselesaikan di zaman Abdullah (Perdana Menteri) dengan mendakwa Eric Chia, cumanya skandal itu diam begitu saja apabila yang didakwa (Eric) mati saja.

"Samalah seperti skandal PKFZ, Mahathir perlu tampil selesaikannya sebelum dia mati kerana ia melibatkan dia sewaktu jadi Perdana Menteri," kata Badrul.

Ujarnya lagi, Mahathir tidak perlu mengangkat diri sendiri dengan mendakwa Umno seperti usus yang busuk, di dalam blognya.

"Usus yang busuk yang dia (Mahathir) kata kepada Umno sebenarnya membarah sejak jadi Perdana Menteri, jadi tidak perlulah (Mahathir) mengangkat diri sendiri kalaupun nak menutup beberapa skandal yang mula berlaku di zamannya," ujarnya.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang dihubungi kemudian, mendesak suatu suruhanjaya diraja yang bebas segera ditubuhkan.

Ujarnya, penubuhan itu membolehkan Mahathir dan beberapa pemimpin Umno serta BN yang lain segera dalam masa.

"Kalau dibuat Suruhanjaya Diraja, Tun Dr. Mahathir boleh segeralah dipanggil," tegasnya.

"Bukan saja Tun boleh dipanggil jika Suruhanjaya segera dibentuk, malah Abdullah (bekas Perdana Menteri) pun boleh dipanggil kerana minit mesyuarat kabinet yang bocor itu berlaku dizamannya (Abdullah)."

Beliau meminta Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu dipanggil oleh Suruhanjaya Diraja kerana beliau selaku Timbalan Perdana Menteri kepada Abdullah turut mengetahui minit kabinet berkaitan skandal pembelian tanah nelayan di PKFZ yang telah dibocorkan.

Beliau turut mendoakan Mahathir panjang umur supaya skandal PKFZ boleh diselesaikan, tidak seperti skandal PERWAJA yang terbengkalai disebabkan kematian Eric Chia.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kerajaan bazirkan RM550 juta untuk BTN

Ahli Jawatankuasa Lajnah Ekonomi PAS Pusat, Wan Ubaidah Wan Omar menyelar Kerajaan Pusat yang tidak berhati-hati dalam menyalurkan peruntukan khususnya dalam program Biro Tata Negara (BTN).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berhubung kos BTN yang berjumlah RM550 juta dalam tempoh 10 tahun.



"Untuk kos yang sebegitu besar, kita tidak melihat sebarang kesan yang efektif dan konstruktif terhadap peserta yang menghadirinya," katanya kepada Harakah.

Tegasnya, program yang berbentuk 'doktrinisasi' itu seharusnya menanamkan rasa cintakan negara dan bukannya cintakan Umno-BN.

"Malangnya, dengan kos yang telah 'dihanguskan' itu kerajaan masih perlu menghadapi masalah gejala sosial yang semakin meningkat apabila kes dadah, Aids, pembuangan anak, dan sebagainya bertambah setiap tahun.

"Pihak penganjur sepatutnya memastikan kandungan BTN yang telah dilaksanakan sebelum ini komprehensif dan bukannya menghancurkan golongan belia yang merupakan aset negara," kata Wan Ubaidah yang juga Bendahari Dewan Muslimat PAS Pusat.

Katanya, beliau tidak terkejut dengan pendedahan para peserta yang pernah menghadiri kursus ini yang mendakwa pihak penganjur mendoktrin minda mereka agar sayang pada Umno-BN selain mengugut mereka agar tidak menyokong selain parti itu.

"Bagaimana hendak melahirkan golongan yang profesional jika pemikiran dikongkong serta ditakutkan? Mungkin sebab itulah gejala rasuah kian berleluasa kerana ramai pengampu yang dilahirkan kursus BTN itu," ujarnya.

Oleh yang demikian, beliau yang juga Exco Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan mengesyorkan agar kos tersebut lebih baik disalurkan bagi membantu pembangunan rakyat termiskin dan infrastruktur kawasan yang memerlukan.

Dalam perkembangan yang sama, isu BTN terus mendapat perhatian akhbar-akhbar berbahasa Cina apabila akhbar China Press pada Selasa lalu menyiarkan artikel bertajuk 'Liew Chin Tong dedah peruntukan RM74 juta untuk BTN'.

Menurut akhbar itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera mendakwa, BTN mendapat peruntukan sebanyak RM74 juta pada tahun ini dan peruntukan itu lebih RM4 juta berbanding peruntukan parlimen iaitu RM70 juta.

Chin Tong mendakwa, jumlah itu terlalu banyak dan sangat 'memeranjatkan' kerana ia semata-mata untuk menanam fahaman perkauman.

Kata beliau lagi, menurut Bajet BTN 2010 itu, ia akan mengambil 224 pekerja tetap tahun depan dan penambahan itu tidak sepatutnya berlaku kerana BTN kini bermasalah.

"Berbanding peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM), bajet untuk parlimen sangat sedikit," kata ahli parlimen itu yang turut membandingkan bajet untuk JPM dan parlimen secara panjang lebar.

Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dalam http://blog.limkitsiang.com menyelar kerajaan dengan mendedahkan perbelanjaan BTN berjumlah RM550 juta dalam tempoh 10 tahun.

"BTN telah membelanjakan sebanyak RM 550 juta dalam tempoh 10 tahun sejak tahun 2000 sehingga 2009 dan ia telah mencetuskan sentimen perkauman sehingga menyebabkan ramai para cendekiawan lari ke luar negara."

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Abdul Latif Rahbar: Sejarah empat mazhab (Bahagian 4/4)



Bukankah imam-imam mujtahid sendiri tidak pernah memaksa sesiapapun untuk mengikut mereka? Dan bukankah Imam Syafie sendiri mengatakan bahawa apabila sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku?

Menjawab persoalan ini, memang benar imam-imam mujtahid sama sekali tidak pernah memaksa murid mereka mengikut mazhab atau pendapat-pendapat yang mereka keluarkan. Tetapi harus diingatkan bahawa imam-imam mujtahid tersebut mempunyai anak murid yang sudahpun mencapai tahap mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk membezakan antara dua dalil.

Jadi perkataan Imam Syafie misalnya ditujukan kepada Imam Muzani, perkataan Imam Abu Hanifah ditujukan kepada Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad.

Apabila Imam Syafie mengatakan bahawa, “Apabila sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku,” yang dimaksudkan ialah apabila sahih sesebuah hadis dan ia menepati usul yang telahku istinbatkan dari al-Quran dan sunnah maka itulah mazhabku. Ini dapat kita ketahui sekiranya kita mempelajari usul-usul dan kaedah istinbat yang ditetapkan oleh Imam Syafii rah.a sendiri.

Bukanlah sahih di sini bermakna sahih pada pandangan ahli-ahli hadis semata-mata. Sekiranya maksud Imam Syafie adalah seperti itu maka sudah tentu Imam Syafie akan mengatakan bahawa menyentuh wanita yang bukan mahram tidak akan membatalkan wudhu. Tetapi memandangkan terdapat dalil-dalil lain yang perlu diambil kira, maka langkah selamat ialah dengan mengatakan bahawa ianya membatalkan wudhuk.

Oleh itu, kita tidak boleh menganggap bahawa kesemua yang kita anggap sahih adalah mazhab Syafie melainkan kita sendiri sudah mencapai darjat Imam Muzani. Pun begitu tidak banyak fatwa Imam Syafie ditolak oleh pengikut beliau walaupun selepas kewafatannya.

Sekiranya maksud kalam Imam Syafie adalah seperti yang didakwa oleh mereka yang tidak bermazhab, sudah tentu pakar-pakar fiqah dan hadis seperti Imam Nawawi dan Hafiz ibnu Hajar akan mengubah fatwa mazhab Syafie kepada "yang lebih sahih." Tetapi hal sedemikian tidak terjadi dan menunjukkan bahawa maksud perkataan Imam Syafie bukanlah seperti yang mereka dakwa.

Imam Abu Hanifah sendiri misalnya tidak pernah memaksa Abu Yusuf mengikut mazhab beliau. Tetapi telah diriwayatkan pada satu ketika Imam Abu Yusuf telah melancarkan halaqah ilmunya sendiri, lalu Imam Abu Hanifah menghantar wakil untuk mengajukan beberapa soalan yang musykil kepada Imam Abu Yusuf sambil mengatakan kepada wakil tersebut sekiranya Abu Yusuf mengatakan "Ya" salah, dan sekiranya dia mengatakan "Tidak" pun salah. Akhirnya Imam Abu Yusuf kembali menghadirkan diri ke majlis Imam Abu Hanifah.

Tindakan Imam Abu Hanifah di atas bukanlah untuk memaksa Imam Abu Yusuf untuk bermazhab dengan mazhab Hanafi, tetapi untuk mengingatkan Imam Abu Yusuf bahawa beliau masih belum bersedia untuk mengemukakan ijtihad beliau sendiri walaupun beliau adalah anak murid Imam Abu Hanifah yang paling kanan.

Kesemua yang mempelajari sejarah tentu tahu bahawa Imam Abu Yusuf telah dilantik sebagai qadi besar empayar Abbasiah. Bukanlah calang-calang boleh menjadi ketua qadi pada zaman yang dipenuhi ilmuan-ilmuan berwibawa.

Mengapa hanya mengiktiraf empat mazhab dan tidak lebih?


Pada zaman Baginda s.a.w. para sahabat berpandukan ajaran yang mereka dapat secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. sendiri.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Nik Aziz yakin Allah makbulkan doa rakyat yang dizalimi

Menteri Besarnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam melahirkan rasa yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa rakyat Kelantan yang dizalimi disebabkan kerajaan pusat enggan memberi wang royalti minyak pada kerajaan negeri.

"Kalau orang kafir (berdoa) pun, Allah janji akan makbulkan doanya kerana dizalimi, inikan pula orang Islam dan berjuang Islam di Kelantan," jelasnya dalam Himpunan Perpaduan Ummah 'PAS For All.



Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan bahawa beliau tidak kecewa jika ada pihak tertentu mengkritik saranannya bahawa rakyat Kelantan akan berdoa agar Najib dibinasakan.

Beliau juga melahirkan rasa tidak kisah dengan laporan negatif beberapa media massa, sebaliknya suka dengan beberapa kritikan tersebut.

"Hari-hari surat khabar (arus perdana) caci saya, saya sengeh (kerana) suka."

Baginya, berdoa sama ada memohon sesuatu hajat atau menolak sesuatu kezaliman merupakan sesuatu yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.

"Bila kita ikut Nabi, jadikan doa sebagai senjata mukmin, maka ada orang yang marah."

Dalam ceramah selama 20 minit di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar, Beliau turut melafazkan doa khusus kepada Najib.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Safar Jumaat: Susah sangatkah sekat pelacur dan China dan Uzbek

SUKAR sangatkah untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyaring kemasukan pelajar asing dan bagi mengelakkan penjualan dan penyalahgunaan visa pelajar untuk tujuan lain, selain belajar?

Isu ini hanga diperkatakan kebelakangan ini kerana kebanjiran pendatang asing ke negara ini dilihat sudah sampai ke satu tahap yang merbahaya jika tiada tindakan menyekatnya dilakukan, tanpa menghalang kemasukan mereka yang benar-benar datang ke sini dengan tujuan yang betul.

Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kaedah penyaringan dan pemantauan kemasukan penuntut asing, termasukdari benua Afrika, akan disemak semula bagi memastikan hanya mereka yang layak dan menepati syarat minuman akademik dibenarkan tinggal di negara ini.

Beliau berkata, kajian semula itu akan dilaksanakan oleh jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan KDN.

“Ini akan membabitkan aspek prosedur dan syarat kemasukan melipti penetapan kelayakan akademik minimum dan kesesuaian pencapaian akademik dengan bidang pengkhususan yang dipohon di institusi pengajian tinggi di negara ini,” katanya.

Selain itu, katanya, aspek pemantauan mereka yang memasuki negara ini untuk tujuan melanjutkan pelajaran akan diperkemas dan ditingkatkan.

Sebenarnya, jika KDN serius mahu menangani isu ini, penguatkuasaan hendaklah dijalankan secara berterusan ke semua IPTA dan IPTS, bagi memastikan semua mereka yang mendapat visa pelajar berada di dalam kelas pada setiap waktu yang berkaitan.

Jika mereka tidak hadir, tindakan serta-merta menamatkan empoh sah laku visa pelajar hendaklah dibuat dan pihak IPTA atau IPTS perlu bertanggungjawab dengan ‘kehilangan’ pelajar asing ini. Jika siasatan mendapat berlaku penyelewengan pengeluaran visa pelajar, lesen IPT berkenaan hendaklah dirampas dan Lembaga Pengarah perlu dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.

Jika KDN tegas, masalah kebanjiran pelajar asing ini tidak akan berlaku dan mereka yang bertanggungjawab mengeluarkan visa pelajar perlu dipertanggungjawabkan.

Kaedah yang sama, sekali lagi jika KDN serius, boleh dilakukan terhadap semua pasaraya, pasar borong, kilang-kilang, restoren dan semua sektor yang melibatkan pekerja asing , jika ada mereka yang tidak mempunyai permit kerja, atau mepunyai permit bidang yang berlainan dari pekerjaan yang dibuatnya, tindakan hendaklah dibuat ke atas majikan dan mereka yang bertanggungjawab.

Mana-mana majikan yang sanggup masuk jel, silalah mendapatkan pekerja asing yang tidak sah atau menggunakan khidmat mereka yang menyalah gunakan permit atau visa yang mereka ada.

Cara ini lebih mudah tetapi KDN tidak perlu banyak menubuhkan jawatankuasa dengan membabitkan kementerian-kementerian lain kerana ia akan menyebabkan banyak rahsia akan bocor. Dari banyak pengalaman terdahulu, apbila ada operasi tangkapan mahu dibuat, yang meibatkan banyak agensi akan menyebabkan operas tersebut gagal.

Sekali lagi, jika KDN serius mahu menyelesaikan masalah pelajar dan pekerja asing - hingga menyebabkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengeluarkan kenyataan di Rome baru-baru ini bahawa kerajaan akan mengkaji kemungkinan mewujudkan sebuah jabatan khusus bagi menangani isu pekerja asing , termasuk memantau kedudukan mereka ketika bekerja di negara ini dan selepas tamat tempoh permit bekerja.

Selagi kerajaan tidak serius, menyeret majikan atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menyebabkan pelajar atau pekerja asing ini berada di negara ini, bukan dengan tujuan sebenar, selama-lamanya masalah yang timbul ini tidak mungkin dapat diatasi.

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman yang mahu memantau ‘pintu masuk haram’ seperti di Kukup, Pontian dan sebagainya, ia hanya akan termampu menyekat pendatang dari Indonesia sahaja tetapi bagaimana mereka yang masuk melalui ‘pintu sah’ dan dengan visa sah tetapi menyalahgunakannya – termasuk pelacur dan pelayan pelanggan dari China, Thailand dan Usbezkistan yang semakin banyak sekarang.

Persoalannya sekarang, adakah isu ini memang serius mahu ditangani atau sekadar mahu mengembar-gemburkan sahaja dalam media dengan tujuan ‘menuding jari’ ke arah pihak-pihak tertentu – namun tindakan tidak dibuat!

untuk berita lanjut, sila klik disini