Ruangan Carian Isu Lepas dan Terkini Harakah Online

Harakah Online || Harakah Daily || Harakah Online Malaysia

Dapatkan berita berkaitan isu politik terkini Harakah Online TERUS KE INBOX emel anda TANPA HALANGAN!!:

Disediakan khas oleh Harakah Online Info dan Google FeedBurner

Oh Sukan : Pusat Lepak Peminat Berita Sukan

Harakah Online Preview: Bukit Antarabangsa: Jangan biarkan Pusat bersembunyi di belakang OSA

Kerajaan Negeri Selangor tidak bersedia untuk membenarkan Kerajaan Pusat bersembunyi di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan terus menafikan hak penghuni Bukit Antarabangsa dan orang ramai bagi mendapatkan maklumat sebenar berikutan kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan negeri akan mencari jalan bagi memboleh maklumat itu didedahkan sepenuh.




"Pada masa sama, pihak perundangan Kerajaan Negeri sedang mengkaji beberapa peruntukan lain untuk mengubah status dokumen
tersebut sekiranya Kerajaan Pusat terus menafikan permohonan Kerajaan Negeri ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Khalid memaklumkan, kerajaan negeri telah mengeluarkan laporan mengenai kejadian tanah runtuh itu dari dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Namun, pihak kerajaan pusat membantahnya kerana ia terletak di bawah bidang kuasa mereka bukannya kerajaan negeri.

Sehingga kini, laporan akhir kajian tentang punca kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa belum pun didedahkan kepada umum.

Ekoran itu Kerajaan Selangor berasa sangat kecewa kerana hasratnya untuk mengubah status laporan tersebut (to declassify) tidak mendapat sokongan Kerajaan Pusat.

Kerajaan Negeri dan agensinya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sudahpun menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya dan Kabinet Kerajaan Pusat memohon kebenaran untuk mengeluarkan laporan kepada umum tetapi sehingga hari ini, belum menerima jawapan.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: 1013 desak Jais beri tauliah semula kepada Khalid Samad

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini menerima memorandum bantahan dari 1013 ahli qariah masjid dan surau sekitar Shah Alam bagi membantah tindakan Jais menarik balik tauliah sementara kepada Ahli Parlimen mereka, Khalid Samad (gambar).


Memorandum itu menggesa Jais mempertimbangkan semula tindakan berkenaan.

Wakilnya, Ismahali Ismail berkata, tindakan itu dibuat kerana bagi mereka Khalid Samad merupakan seorang yang berkaliber dalam menyampaikan khutbah mahupun ceramah.

“Tujuan memorandum ini adalah untuk membantah apa yang telah dikatakan oleh Jais dan kami minta pada pihak Datuk Khusrin (Pengarah Jais) dan jugak Jais untuk mempertimbangkan semula tauliah yang berhormat kami.

"Kami berharap, jika ada kesilapan teknikal di mana-mana dapat diperbetulkan dan beliau mendapat semula pertauliahan dan biarlah pertauliahan itu pertauliahan tetap,” kata Ismaheli.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jais, Ahmad Zaki Arshad.

Ahmad Zaki enggan memberi sebarang komen berhubung penyerahan memorandum berkenaan.

Sebelum ini Jais telah menarik balik tauliah Khalid Samad dengan alasan ceramah yang disampaikan beliau tidak mantap.

Ismahali juga meminta Jais menjelaskan secara profesional sebab-musabah Khalid dilarang menyampaikan khutbah jumaat,
kuliah dan tazkirah di kawasan Parlimennya sendiri.

"Kalau penarikan (tauliah) itu disebabkan penyampaian (khutbah) YB Khalid tak mantap, jelaskan secara profesional di mana kelemahannya
sebab YB Khalid membaca teks khutbah yang disediakan JAIS sendiri," jelasnya.

Beliau juga seorang usahawan korporat menjelaskan bahawa beberapa masjid utama dan surau di sekitar Parlimen Shah Alam masih memohon
Khalid menyampaikan khudbah dan ceramah agama belakangan ini, namun ada halangan dari pihak tertentu dalam Jais sendiri.

"Banyak surau dan masjid sendiri minta YB Khalid beri khutbah dan ceramah, tetapi dihalang pihak tertentu atas alasan tauliah
sementaranya ditarik," jelasnya lagi.


"Sebagai wakil rakyat kita, tentu kita nak dengar khutbah daripadanya...sekarang banyak masalah sosial, sudah tentulah kita
memerlukan seorang pemimpin masyarakat yang lantang dan profesional seperti beliau (Khalid)."

Beliau mendakwa Jais seolah-olah tidak jujur menjelaskan kedudukan isu penarikan tauliah tersebut."Setahun sejak tahun lepas, tidak ada masalah...tiba-tiba ditarik balik atas alasan keselamatan dan (Polis) Bukit Aman tak mahu jelaskannya bila dihubungi.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: KM kesal polis biarkan penyokong Umno demo di luar Dun

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menempelak pasukan polis kerana membiarkan samseng jalanan tajaan Barisan Nasional (BN) membuat kecoh di luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.

"Berdemo dibolehkan kerana ia adalah hak rakyat untuk melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan tetapi biarlah bersopan bukan seperti samseng jalanan tanpa menghormati dewan yang sedang bersidang.




"Polis hendaklah bertindak wajar dengan tugasan mereka menjagai keamanan. Bukan membiarkan pendemo bertindak sesuka hati, riuh rendah dan memalukan, " terangnya dalam sidang akhbar ketika masa berehat Persidangan Kali Ke Tiga Dewan Undangan Negeri Penggal Ke Tiga Dewan Undangan Negeri Yang Ke Dua Belas pagi tadi.

Lim mengulas tindakan sekumpulan penyokong Umno yang berdemo dan membuat kecoh di luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.



Selain menghamburkan kata-kata kesat, mereka juga membakar gambar Lim Guan Eng serta menaikkan sepanduk kononnya Lim menipu kaum India dalam isu Kampung Buah Pala.

Lim berharap polis tidak berat sebelah dalam menanganu demontrasi yang dijalankan oleh pendokong Pakatan Rakyat di mana juga selepas ini.

Sebelum ini, apa yang berlaku adalah, bila pendokong Pakatan Rakyat berdemo, pihak polis cepat bertindak menahan, menangkap serta bertindak kasar atau mengurung mereka dalam lokap atau diletakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Lebih malang lagi ada yang cedera dipukul bertalu-talu oleh pasukan polis yang tidak berunifom.

Keadaan ini berbeza terhadap apa yang terjadi di hadapan Dun Pulau Pinang pihak polis seakan membiarkan pendemo mengeluarkan kata-kata keat terhadap kepimpinan negeri yang jelas mengamalkan sikap Cekap, Akautabiliti dan Telus (CAT).

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Abdul Aziz Ismail: Had retorik dan isu politik

Mencipta isu menjadi senjata penting parti politik menambat hati rakyat dan pengundi supaya sentiasa sedar tentang kehadirannya dan kewujudan pemimpinnya. Dari masa ke semasa isu baru perlu dicipta atau membaharui isu lama yang boleh mendorong sensitiviti rakyat supaya sedar tentang keaktifan parti itu yang sentiasa tidak kering dengan idea menghidupkan minda rakyat.

Tanpa mencipta isu – apalagi yang panas dan sensasi – pemimpin sesebuah parti itu dianggap tidak bijak berpolitik dan secara perlahan-perlahan boleh dilupakan kehadirannya kecuali parti lawannya juga menunjukkan prestasi yang sama.

Tetapi jika pihak lawan sudah jauh ke hadapan dengan segala agenda pembangunan dan slogan kemajuan yang menyuntik kesedaran rakyat khususnya golongan bawahan, kehadiran parti itu boleh "disenyapkan" dan mungkin dilupakan begitu saja.

Maka itu parti patut segera bangkit mengatur startegi mencari isu baru yang berkualiti bagi menangkis dan mematahkan perancangan parti lawannya. Atau pemimpin parti itu mencipta isu-isu baru yang boleh menyakinkan rakyat dengan perancangan yang teratur.

Jika ini dapat dibuat, parti itu kelihatan hidup dan sentiasa dalam ingatan rakyat. Namun, isu yang dibangkit harus dapat dilaksanakan untuk kebaikan rakyat dan bukan semata-mata retorik politik yang sedap didengar tetapi gagal direalisasikan.

Isu yang diutarakan harus relevan dan menyakinkan kerana rakyat boleh menilai sendiri sesuatu isu itu benar-benar memberi faedah kepada mereka atau sebaliknya.

Isu yang diketengahkan harus mengarah kepada keuntungan rakyat terbanyak secara keseluruhan dan bukan gimik politik atau cakap-cakap kosong yang semata-mata dibuat bagi menyedapkan hati mereka.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Murugiah bidas Kayveas, tidak layak jadi Presiden PPP

Selain MCA, kemelut parti komponen BN, Parti Progresif Penduduk (PPP) semakin parah apabila dua pemimpin tertingginya saling bercakaran antara satu sama lain.

Di Lobi Parlimen pagi tadi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T Murugiah membidas Presiden PPP, Datuk M Kayveas yang memberi tempoh 14 hari supaya beliau meletakkan jawatan berkuat kuasa semalam, sekiranya tidak mahu digelar ‘Timbalan Menteri Haram’.

Kayveas dilaporkan berkata, mengikut Perlembagaan PPP (Artikel 6.10), seseorang yang dipecat daripada parti dan apabila mempunyai jawatan dalam kerajaan, Parlimen atau Kabinet perlu meletakkan jawatan.




Murugiah di sidang medianya menjelaskan bahawa perlembagaan itu tidak wujud dan Kayveas hanya menyeleweng fakta.

"Bagaimana nak jadi Presiden PPP jika ini pun dia tak tahu. Kayveas kena letak jawatan kerana dia gagal tadbir
parti.

"Sebab itulah di ditolak di Taiping...banyak juga lebih 11,000 undi," katanya.

Murugiah turut mendedahkan bahawa Kavyeas tidak pernah menyerahkan akuan dan penyata tahunan parti kepada ROS malah mendakwa logo parti PPP juga tidak sah.

"Yang didaftarkan adalah logo 6 bintang bukannya seperti logo 5 bintang," katanya sambil menunjukkan logo parti yang didakwa sah.

Murugiah turut mempersoalkan bidang kuasa Kavyeas yang mahu beliau meletakkan jawatan sedangkan lantikannya sebagai Timbalan Menteri adalah merupakan hak keistimewaan seorang Perdana Menteri.

"Dia siapa...adakah dia PM, AG (Peguam Negara) atau Sultan?"

"Dia tiada kuasa. Kuasa mutlak di bawah PM. Ini pun dia tidak faham, bagaimana dia jadi Presiden PPP?," katanya yang turut mendedahkan beberapa kepincangan yang berlaku di dalam PPP.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Abdul Latif Rahbar: Ilmu hadith belum cukup tanpa fiqh (Bahagaian 2/4)

Ilmuan-ilmuan Islam yang terkenal seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain imam muhaddithin yang mana mereka sudahpun menghafal ratusan ribu hadis masih tetap mengamalkan agama berdasarkan mazhab imam-imam mujtahid walaupun pada pandangan mata umum apalah perlunya mereka bertaqlid sedangkan mereka mempunyai ilmu agama yang jauh lebih daripada cukup?

Di sinilah bezanya antara fuqaha (ahli-ahli fiqh) dan muhaddithin (ahli-ahli hadith). Apabila seseorang itu mengetahui beribu hadis sekalipun, tetapi dia tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk membahaskannya, maka dia tidak layak untuk mengeluarkan sesuatu pendapat.

Mereka-mereka yang mempelajari Sunan Tirmizi pasti mengetahui bahawa apabila membincangkan masalah fiqh, Imam Tirmizi tidak pernah mengambil pendapat guru beliau Imam Bukhari, tetapi beliau menyebut nama-nama seperti Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad atau ulama Kufah iaitu Imam Abu Hanifah.




Imam Tirmizi hanya akan mengambil nama Imam Bukhari apabila beliau membahaskan kesahihan atau status sesuatu hadis, kerana beliau mengetahui bahawa walaupun Imam Bukhari adalah pakar dalam bidang hadis, tetapi kepakaran Imam Bukhari dalam ilmu fiqh belum dapat menandingi kepakaran yang ada pada imam-imam mujtahid.

Dapat kita fahami di sini, bahawa setinggi manapun ilmu hadith seseorang itu, belum tentu dia layak mengeluarkan fatwa sekiranya dia tidak mempunyai ilmu fiqh yang cukup. Sekiranya datang dua nas bertentangan antara satu sama lain, yang mana kedua-duanya adalah sahih dan sama kuat, yang mana satukah akan kita ambil? Ini hanya dapat dilakukan seandainya kita mampu memahami selok-belok ilmu fiqah, bukan dengan hanya bersandarkan kepada kesahihan semata-mata.

Sebagai contoh ingin penulis menceritakan di sini perbahasan antara dua imam mujtahid Abu Hanifah dan Awza’I mengenai masalah mengangkat kedua belah tangan selepas bangun dari rukuk. Imam Awza’i mengatakan: “Saya meriwayatkan dari Salim, dari Nafi’ dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. mengangkat tangan dalam solat Baginda s.a.w.”

Lalu Imam Abu Hanifah menjawab: “Saya meriwayatkan dari Hammad, dari Ibrahim An-Nakh’i dari ‘Alqamah dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengangkat tangan Baginda s.a.w.”

Imam Awza’i membalas: “Saya membawa sanad (rangkaian periwayat) yang lebih sedikit dan tuan ingin berhujah dengan sanad yang lebih perantaraannya?” (Mengikut pendapat ulama hadis, hadis yang lebih kurang perantaraannya antara perawi dengan Baginda s.a.w adalah lebih kuat dari hadis yang mempunyai lebih perawi, seperti yang tertera di atas bahawa antara Imam Awza’i dan Rasulullah s.a.w hanya tiga perawi dibandingkan dengan Imam Abu Hanifah yang mempunyai empat perawi).

Jawab Imam Abu Hanifah: “Hammad lebih faqih daripada Salim, Ibrahim An-Nakh’i lebih faqih daripada Nafi’ dan ‘Alqamah lebih faqih daripada Ibnu Umar walaupun beliau adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. Dan Ibnu Mas’ud adalah Ibnu Mas’ud (siapakah yang dapat menafikan kefaqihan Ibnu Mas’ud?).”

Di sini Imam Abu Hanifah mengambil kira faktor kefaqihan perawi dalam mengeluarkan fatwa dan bukan bersandarkan kepada kekuatan dan nilai sesebuah hadis semata-mata. Pun begitu perlu diingatkan bahawa menurut pendapat Imam Syafie mengangkat tangan selepas rukuk adalah sunnah kerana ia adalah amalan penduduk Tanah Haram dan Syam, yang mana terdapat sekurang-kurangnya 35,000 sahabat dikebumikan di Syam.

Dalam sebuah hadith riwayat Sunan, Nabi s.a.w. bersabda: "Semoga Allah ta’ala menyegarkan fikiran orang yang mendengar perkataanku, lalu dia menyampaikannya sepertimana yang dia dengar. Betapa ramai orang yang disampaikan itu lebih memahami dari si pendengar asal itu sendiri."

Di sini Nabi s.a.w. sendiri mengkategorikan antara mereka yang menghafal hadis dan mereka yang memahami hadis. Kerana itulah Imam A’mash salah seorang perawi Bukhari telah berkata kepada anak murid beliau Imam Abu Hanifah: “Kamu wahai golongan fuqaha’ adalah doktor dan kami (golongan muhaddithin) hanyalah penjual ubat.”

Dalam I’lam al-Muwaqqi’in Imam Ibnul-Qayyim meriwayatkan bahawa satu ketika Muhammad bin Ubaidullah bin Munadi telah mendengar seorang lelaki bertanya kepada guru beliau Imam Ahmad bin Hanbal: “Apabila seseorang itu menghafal 100,000 hadith, adakah dia dikira sebagai seorang yang faqih?” Imam Ahmad menjawab: “Tidak.”

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Minyak RON95 rosakkan enjin?

Dua ahli Parlimen, masing-masing daripada PKR dan BN membangkitkan persoalan kualiti dan kebimbangan orang ramai terhadap minyak RON95 yang didakwa akan menjejaskan prestasi enjin.

Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) telah membangkitkan kualiti minyak tersebut yang diperkatakan banyak pihak sehingga terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin.

"Ada stesen minyak yang bukan Pteronas telah meletakkan notis bahaya terhadap minyak RON95 dan menyenaraikan jenis kenderaan yang boleh menggunakan minyak ini," katanya mendedahkan kepada Dewan Rakyat.





Manakala Hamim Samuri (BN-Ledang) menyatakan sekiranya minyak kuning (RON95) lebih efisien, maka adalah lebih baik hanya satu jenis minyak sahaja digunakan dan dicadangkan supaya minyak lain seperti RON97 ditarik balik.

Bagaimanapun, tanggapan pengguna terhadap penggunaan minyak petrol RON95 yang merosakkan enjin adalah tidak tepat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe yang menjawab solan tersebut.

Katanya sekiranya enjin kenderaan cukup sekadar dengan pembakaran RON95, penggunaan RON yang lebih tinggi tidak akan memberi kesan kepada keupayaan enjin secara optimum.

Kata Tan negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95.

"Di Eropah, penggunaan RON95 adalah lebih 84 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu sama ada minyak petrol yang dijual di stesen minyak Petronas iaitu Primax 95 tidak sesuai digunakan untuk kereta import dan kereta mewah kerana minyak itu boleh merosakkan enjin.

Tan berkata sebelum keputusan untuk memperkenalkan RON95 dilaksanakan, beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak yang terlibat telah diadakan untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap aspek penggunaan petrol RON95.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kaukus royalti: BN tidak sepatutnya menekan Tengku Razaleigh

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yakin Tengku Razaleigh Hamzah akan mengutamakan prinsip berpegang kepada kebenaran untuk mengetuai kaukus ahli-ahli parlimen berkaitan royalti petroleum.

"Kaukus itu bersifat non-partisan di mana ia menghimpun Ahli-Ahli Parlimen tanpa mengira parti atau negeri. Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak juga dijemput.

"Dengan semangat dan sifat sedemikian, saya yakin Tengku Razaleigh akan mengetuainya kerana perjuangan kaukus itu ialah untuk memastikan kehendak Perlembagaan dan undang-undang terutama Akta Petroleum dilaksanakan," katanya.

Salahuddin menyifatkan gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Tengku Razaleigh Hamzah meneliti semasak-masaknya sebelum bersetuju mengetuai kaukus itu sebagai tindakan yang membelakangi tamadun dan kehendak undang-undang.

"Saya berharap Muhyiddin tidak membawa pemikiran zaman batu yang primitif sehingga tidak boleh berkerjasama untuk kepentingan rakyat dan demi melaksanakan kehendak undang-undang.

"Kita pun tahu bahawa Tengku Razaleigh adalah Ahli Parlimen yang mewakili Barisan Nasional (BN), tetapi jika PAS dan Umno boleh bersama-sama memperjuangkan hak rakyat Palestin di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dahulu, mengapa pula tidak boleh berkerjasama demi kepentingan rakyat Kelantan dan rakyat negeri-negeri lain yang berhak di sini undang-undang untuk mendapat bayaran tunai royalti minyak sedangkan mereka adalah rakyat negara ini," tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Menurut beliau, Tengku Razaleigh juga dijemput mengetuai kaukus itu atas sifatnya sebagai negarawan dan orang yang terlibat sejak dari awal lagi dalam isu royalti.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Berkorban menegakkan kalimah tauhid



Ketibaan Aidiladha mengingatkan kita kepada kata-kata Saidina Umar al-Khattab yang mengungkapkan bahawa;

"Sesungguhnya al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, lalu ia disambut dengan Aidilfitri. Manakala hari penurunan terakhir al-Quran pula, ialah pada bulan Zulhijjah, ketika Rasulullah s.a.w menunaikan ibadah haji yang terakhir (haji wada'), maka ia disambut dengan Aidiladha."

Ungkapan ini memberi maksud bahawa Aidiladha merupakan suatu perayaan yang agung dalam Islam. Menyambut Aidiladha, bukan sekadar dengan mengorbankan binatang ternakan.

Malah sebenarnya Aidiladha adalah sambutan merayakan syumulan Islam sebagaimana firman Allah yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w, mafhumnya:

"Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku ke atas kamu, dan aku hanya reda dengan Islam sahaja satu-satunya agama kamu." (Surah al-Maidah, ayat 3).

Apabila umat Islam diajak menyambut Aidiladha sebagai hari kesyumulan Islam, maka umat Islam mestilah memahami maksud sebenar ayat yang diungkapkan pada haji wada' itu, bahawa hanya Islam satu-satunya cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Cara hidup yang lengkap dan sempurna bermaksud, Islam yang diimani ini, mestilah dihayati dan diamalkan dalam segenap aspek kehidupan, mencakupi akidah, syariat, siasah (politik), ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, perundangan, akhlak dan sebagainya.

Islam yang kita anuti ini, bukanlah hanya sekadar ibadah ritual sahaja, ia mestilah dijelmakan kefahamannya dalam semua aspek yang dinyatakan di atas.

Apabila kita menerima Islam, kita mestilah menerima dengan sepenuhnya. Kita mesti mengikut cara Islam tatkala kita berpolitik, menjalankan ekonomi secara Islam, beramal dengan undang-undang Islam, mendidik masyarakat dengan ilmu dan nilai Islam serta menyuburkan Islam dalam semua aspek kehidupan.

Maka dengan mengamalkan ajaran Islam secara syumul itu, semua kita akan selamat.

untuk berita lanjut, sila klik, disini

Harakah Online Preview: Seputih mana YB Kota Seputeh?

Bila disebut putih, yang tergambar di fikiran kita akan maksudnya pada kebiasaan adalah suci, murni, tidak perlu merujuk cendekiawan untuk menakrifkannya. Sementara Kota Seputeh adalah nama sebuah DUN di dalam Negeri Kedah. Yang mewakili rakyat di kawasan ini, kata lainnya memimpin mereka dipanggil wakil rakyat. Tidak payahlah membuat penerangan panjang lebar secara akademik tentang tugas seorang wakil rakyat, semua orang memahaminya sebagai memberi khidmat kepada rakyat.

DUN Kota Seputeh berjaya mencuri perhatian ramai di celah-celah kehangatan polemik dalaman banyak parti politik di negara ini bilamana ADUNnya, Datuk Abu Hassan Sarif dari BN diisytihar terlucut jawatan oleh Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abd Isa Ismail dari Pakatan Rakyat kerana kesalahan tidak menghadiri Sidang DUN dua kali berturut-turut tanpa alasan munasabah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah. Tetapi surat makluman kekosongan kerusi Kota Seputeh oleh Speaker telah ditolak oleh SPR dan SPR enggan memanggil satu pilihanraya kecil sebagaimana sepatutnya.

Speaker Kedah kemudiannya telah membawa perkara ini ke mahkamah bagi mendapat kepastian takrifan undang-undang. Beliau telah menang di dua peringkat sehingga dalam penghakiman selepas selesai proses rayuan SPR di Mahkamah Tinggi, hakim telah bertindak membenarkan keputusan hakim sebelum ini mengisytiharkan kerusi DUN Kota Seputeh kosong dan mengarahkan SPR mengeluarkan writ pilihanraya kecil. Namun SPR kemudiannya telah berjaya mendapat perintah penangguhan sementara dari Mahkamah Rayuan sebelum rayuan didengar di mahkamah yang sama.

Bukan proses mahkamah ini yang ingin saya perkatakan. Saya lebih berminat dengan wakil rakyat, tugas dan tanggungjawabnya, apalagi kalau nama tempatnya Kota Seputeh. Tugas wakil rakyat seperti saya katakan tadi adalah untuk berkhidmat, berkhidmat secara putih bersih, secara suci murni untuk rakyat. Sudah tentulah juga antara rutin perkhidmatan suci murni, putih bersih wakil rakyat ini adalah membawa suara rakyat dan membincangkan nasib rakyat sambil mencari kaedah penambahbaikannya di Dewan Undangan Negeri.

Memonteng Sidang DUN seperti lagak pelajar sekolah ponteng kelasnya kerana tidak sukakan gurunya adalah satu tindakan yang kebudak-budakan dan tidak matang. Jika saya seorang pengetua sekolah dan ada pelajar saya ponteng sekolah dua hari berturut-turut, pastinya saya tidak membuang pelajar tersebut, sebabnya cukup mudah, kerana dia pelajar dan sedang belajar, dia harus diajar. Saya tetap menerimanya sebagai pelajar saya dengan kemungkinan beberapa bentuk hukuman.

Tetapi bila seorang wakil rakyat yang statusnya adalah pemimpin melakukan kesalahan yang sama seperti pelajar tadi, apa perlu saya buat andainya saya di tempat Speaker? Pemimpin adalah seorang yang matang dan sangat berpengalaman, sedangkan pelajar adalah seorang yang mentah dan perlukan panduan penghidupan. Dengan perbezaan ketara ini, apakah seorang wakil rakyat patut dilayan seperti pelajar? Mengekalkan kedudukan wakil rakyat kaki ponteng sebagai ADUN tetapi dalam masa yang sama mengenakan hukuman terhadap beliau, hukuman yang macam mana? Rotan di khalayak ramai, ketuk ketampi di khalayak ramai, jemur di tengah panas di khalayak ramai atau menghadiahkan penyapu seperti dibuat Khir Toyo dahulu?

untuk berita lanjut,sila klik disini

Harakah Online Preview: Safar Jumaat: Dun Kota Siputeh dan Mahathir

SEMINGGU dua ini, media arus perdana memainkan isu beberapa cadangan yang mahukan bekas Perdana Menteri (PM) diberikan jawatan, baik dalam kerajaan mahu pun Umno, khususnya di Negeri Kedah.

Kenapa tiba-tiba cadangan ini timbul, boleh dilihat dari beberapa sudut. Pertama, mereka yang mencadangkan sudah nampak, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terlalu lemah.

Satu lagi pandangan, mengatakan angan-angan Umno mahu merampas kembali Kedah dari Pas hanya menjadi mimpi yang tidak akan menjadi kenyataan, tanpa bantuan Dr. Mahathir.

Seorang blogger terkemuka, yang juga merupakan anak jati Kedah menyindir Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid juga dkatakan gagal mengawal tingkah laku anak buah hingga menyebabkan DUN Kota Siputeh yang diwakili BN tiba-tiba menjadi kosong angkara ‘ponteng’.

Ketika Mahdzir Khalid menjadi Menteri Besar Kedah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno, Dr. Mahathir digagalkan dalam usahanya menjadi salah seorang perwakilan G7 dari Umno Bahagian Kubang Pasu, yang pernah diterajui Dr. Mahathir lebih 20 tahun.

Persoalannya, hebat sangatkah Dr. Mahathir di mata media massa arus perdana hingga mereka tidak segan silu melupakan sejarah silamnya lantas mencadangkan supaya bekas PM ini diberikan jawatan dalam Umno di Kedah?

Lupakah mereka yang mencadangkan ini bahawa ketika Dr. Mahathir menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri, Kedah hampir-hampir tumbang dalam pilihan raya umum 1999 – ketika lapan dari 15 kerusi Parlimen dimenangi Pas dan BN (Umno) hanya menang tujuh?

Jika, ketika masih berkuasa pun Dr. Mahathir nyaris-nyaris membawa Kedah rebah, inikan pula ketika Dr. Mahathir sudah tidak punya apa-apa.

Namun, disebabkan media arus perdana, blogger dari kalangan orang Umno di Kedah dan mereka yang merasakan diri mereka lebih Umno dari Umno sendiri, takut kalau Dr. Mahathir tidak diberikan jawatan, mulutnya akan menyerang Umno.

Cadangan asal datangnya dari bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang mahu Dr. Mahathir diberikan jawatan dalam kerajaan, Menteri Kanan.

Cadangan itu mendapat sokongan dari Ahli MT, Datuk Seri Lajim Okin. Kemudian, seorang penulis kanan dari sebuah akhbar arus perdana mencadangkan supaya Dr. Mahathir diberikan jawatan dalam Umno Kedah.

Ini mungkin cadangan yang datangnya dari kalangan ketua-ketua bahagian di Kedah, yang kurang menerima kehadiran Datuk Seri Mohd Shafie Afdal selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah kerana Shafie dilihat baru masuk Umno, ketika Umno ke Sabah sedangkan orang-orang Kedah, yang sudah lama menjadi ahli Umno, tidak diyakini kemampuannya.

Apa yang diharapkan dari kekuatan bekas PM ini, setelah mereka tidak yakin dengan Naib Presiden Umno, Shafie Afdal mengetuai Umno Kedah dengan mencadangkan supaya Dr. Mahathir mengetuai Umno Kedah, sedangkan mereka sebenarnya mahu mencadangkan supaya anak Dr. Mahathir, Datuk Mukhriz sewajarnya mengambil tempat Mohd Shafie.


untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Anwar menang saman, NSTP diarah bayar RM 100 ribu



Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan News Straits Time Berhad (NSTP) membayar ganti rugi berjumlah RM100 ribu kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mahkamah turut mengarahkan NSTP membayar RM20 ribu sebagai kos mahkamah.

Keputusan itu diumumkan Hakim Harminder Singh Dhaliwall di Mahkamah Tinggi Jalan Duta petang tadi.

Pada 2003, Anwar memfailkan saman terhadap NSTP dan bekas ketua pengarang kumpulan Tan Sri Abdullah Ahmad, di atas artikel yang bertajuk 'Anwar’s Link To US Lobbyist' yang disiarkan pada 2002.

Anwar menuntut RM100 juta bagi ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel itu menyentuh dakwaan hubungan Anwar dengan pelobi Washington DC, hubungan kewa- ngan beliau dan organisasi dikenali Asia Pacific Policy Centre (APPC) dan tuduhan dalam akuan bersumpah oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid.

Harakah Online Preview: Kemelut PAFA: Zambry ambil kesempatan burukkan Nizar

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mendakwa Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir cuba memburukkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam kemelut Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).



Setiausahanya, Dr. Raja Ahmad Al-Hiss dalam satu kenyataan berkata, Zambry dengan angkuh mengambil kesempatan di atas isu itu untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau berkuasa di negeri itu.

"Datuk Seri Zambry yang masih belum disahkan sebagai Menteri Besar Perak cuba membayangkan kepada rakyat bahawa beliau sekarang berkuasa dan menunjukkan kuasanya serta bersikap angkuh dengan jawatan pintu belakangnya," katanya.

Beliau juga berkata, tiada jaminan segala janji Zambry boleh diguna pakai memandangkan Mahkamah Persekutuan belum memutuskan samaada beliau atau Nizar adalah menteri besar yang sah.

"Belum ada jaminan semua janji Datuk Seri Zambri ini boleh diguna pakai kerana Mahkamah Persekutuan belum memutuskan siapakah Menteri Besar Perak yang sah lagi,"

DPPN Pk dalam pada itu meminta rakyat agar tidak terpedaya dengan usaha jahat Zambry yang berterusan memburukkan peribadi Nizar termasuk mengaitkannya dengan masalah sukan bola sepak negeri itu.

Sedangkan tegas DPPN Pk , Nizar selama ini telah menyelamatkan Pafa dari terus dibebani hutang lapuk serta menjaga kebajikan pemain dan kakitangannya.

"Apa yang dilakukan ini adalah bersifat menyerang semua reputasi datuk Seri Nizar secara peribadi di semua keadaan," tegasnya.

Minggu lalu, Zambry menuduh Nizar mempolitikkan isu ini dan berkata beliau tidak berhasrat untuk mengambil alih jawatan sebagai presiden Pafa.

untuk berita lanjut, sila klk disini

Harakah Online Preview: MBMBI ganti PPSMI sesuatu yang janggal

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Azmi Abdul Hamid pagi tadi menganggap keputusan kabinet memperkenalkan pelan Memertabat Bahasa Melayu Dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMBI) sebagai sesuatu yang janggal.



Anggapan tersebut sebagai respon pada pengumuman Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bagi mengantikan pelan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Walaupun pelan penggantian ini (MBMBI) bermula 2011, setahun lebih awal, saya masih melihat ianya janggal."

"Sepatutnya kebinet mansuhkan terus PPSMI dan kembalikan sistem pendidikan negara pada sistem yang asal."

Beliau juga berpendapat bahawa kabinet seharusnya berusaha untuk memperkukuh semula bahasa kebangsaan.

"Sepatutnya kerajaan perlu memperkukuh semula Bahasa Melayu (atau) Bahasa Kebangsaan dalam semua hal pentadbiran dan pendidikan," ujarnya.

"Tumpuan itu (memperkukuh bahasa Melayu) itu lebih mendesak...bila PPSMI dilaksanakan sejak 6 tahun lalu, proses kemandulan bahasa (Melayu) berlaku."

Ujarnya lagi, kerajaan juga dilihat tidak serius memartabatkan bahasa Melayu.

Beliau juga melahirkan kebimbangan, jika dasar MBMBI yang menggantikan PPSMI tersebut gagal memartabatkan semula kedudukan Bahasa Melayu.

"Saya bimbang dasar baru ini gagal...bahasa Melayu gagal jadi bahasa ilmu dan rakyat gagal menguasai (sabjek) Sains (dan) Matematik disebabkan masalah penguasaan bahasa Inggeris sebenarnya."

"Sepatutnya kerajaan mesti memperkasa teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris sendiri, tidak perlu dasar baru ini jika pelajar benar-benar lemah bahasa Inggeris," jelasnya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan memberi insentif berupa elaun kepada guru yang mengajar Sains dan Matematik kelak.

"Kalau dulu boleh bagi elaun kepada guru-guru PPSMI, saya cadang bagi elaun dan jangan anak tiri guru-guru yang ajar sabjek Sains (dan) Matematik guna bahasa kebangsaan."

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Masalah kewangan PAFA, Umno Perak lepas tangan



Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melahirkan kekesalan dengan sikap bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Zainol Fadzi Paharudin yang menyalahkan Presiden, Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin berikutan kegagalan pasukan Seladang negeri itu menyertai Liga Super musim depan akibat masalah kewangan.

Menurut mereka, Nizar dalam satu pertemuan baru baru ini telah menjelaskan bahawa hutang-hutang yang sedia ada adalah tunggakan semenjak tahun 2006 lagi iaitu sebelum beliau memegang Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) .

Ketua DPPN Pk, Mohd Akmal Kamarudin dalam satu kenyataan memberitahu, Zainol yang juga Ahli Majlis PAFA sewajarnya mengetahui bahawa sepanjang Nizar menerajui PAFA, semua bayaran semasa telah dilangsaikan.

Cuma yang masih bermasalah katanya adalah tunggakan hutang terdahulu yang masih cuba diselesaikan.

"Itu pun Datuk Seri Nizar berusaha juga menjelaskan beberapa hutang lapuk yang perlu diberikan perhatian turut dilangsaikan" katanya.

Apa yang mendukacitakan katanya, sikap Zainol yang berkeadaan seperti orang luar di dalam isu tersebut dan bersikap menghentam bukan membantu.

"Beliau sepatutnya membantu bagi menyelesaikan kes yang tertunggak ini. Beliau yang pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak sudah tentu mengetahui keadaan yang telah berlaku sekitar tahun 2006 lagi.

"Persoalannya kenapakah perkara ini tidak pernah beliau bangkitkan ketika itu, kata beliau lagi.

Menurutnya lagi, jika desakan terhadap Nizar supaya berundur, beliau juga sepatutnya bertindak mendahului desakan tersebut kerana kegagalannya menjalankan tugasnya di dalam pembangunan bolasepak Perak itu sendiri.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Monopoli individu saham Bernas, kerajaan terus dipersoal

Ahli Parlimen Pakatan rakyat hari ini terus mempersoal kepekaan kerajaan berhubung monopoli saham Padi Beras Nasional Bhd. (Bernas) iaitu sebuah sektor strategik makanan utama negara oleh seorang tokoh perniagaan.

Jika sebelum ini, isu pemilikan 32 peratus saham Bernas oleh syarikat asing Wang Tak Co. Ltd. (Wang Tak) dipertikai, kini isu pengambilan milikan Wan Tak tersebut pula dipersoal.

Tradewinds (Malaysia) Bhd (Tradewinds), yang dimiliki oleh tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary telah diarah untuk membeli kesemua milikan Wan Tak, selepas kerajaan dikritik hebat kerana membiarkan syarikat berpengkalan di Hong Kong itu memegang saham tunggal terbesar Bernas.

Hasil pembelian 32 peratus itu, dan ditambah 55 peratus lagi milikan Budaya Generasi yang juga syarikat milik Syed Mokhtar, menjadikan jumlah keseluruhan milikan tokoh perniagaan tersebut adalah 87 peratus.



Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam satu sidang media di parlimen siang tadi berkata, monopoli pemilikan saham Bernas sebanyak itu oleh entiti berorientasikan keuntungan semata-mata telah memperjudikan sektor strategik makanan utama negara.

Lebih malang apabila rakyat yang akan menerima kesannya apabila hanya keuntungan diletakkan mengatasi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

"Kita bimbang bahawa Syed Mokhtar yang memiliki bisnes yang begitu besar dan pelbagai dan akhirnya akan mempertaruhkan sektor pemakanan asasi ini untuk memastikan dia terus mendapat peluang-peluang bisnes yang lain," katanya.

Menurutnya lagi, beberapa kes pernah berlaku sebelum ini membuktikan kerajaan hilang kawalan terhadap Bernas.

Pernah sebelum ini Bernas menaikkan harga beras tanpa mendapat persetujuan pihak kerajaan, dan akhirnya kerajaan terpaksa mengarahkan pembatalan kenaikan tersebut.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan sendiri sudah hilang kawaklan dan tidak berupaya membuat pemantauan untuk memastikan dasar dan polisi padi dan beras negara ini dapat memberi kebaikan kepada rakyat secara keseluruhannya," katanya lagi.

Beliau turut menuntut kerajaan mengambil kembali hak permit import dari Bernas agar tiada sebarang penyalahgunaan berlaku.

Selain itu beliau juga menuntut agar Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diwujudkan dan berperanan semula mengendalikan industri beras negara ini dengan penuh tanggungjawab sosial dan menjamin hak petani dan pengguna.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution yang turut menyertai sidang media tersebut mempersoal adakah kerajaan mengambil kira dan bersedia dengan kaedah mengurangkan risiko yang terpaksa dihadapi oleh rakyat negara ini.

Menurut beliau sekira berlaku sesuatu masalah kepada perniagaan Syed Mokhtar, rangkaian bekalan beras negara juga turut akan terjejas.

Turut dipersoal adakah perpindahan milikihan pegangan saham tersebut memenuhi kalusa perjanjian pemegang saham yang memperuntukkan perlu kepada tawaran bertulis di kalangan pemegang saham sebelum ianya berpindah tangan.

"Jika dipenuhi bagaimana berlaku monopoli begitu besar ke atas seorang tokoh perniagaan?" soalnya.

Menurut laporan, pada tahun 1995, terdapat sembilan syarikat yang memiliki saham dalam Bernas.

Ianya termasuk hampir 38 peratus adalah syarikat berkaitan peladang, nelayan dan penanam padi.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kerajaan perpaduan, pintu PAS sudah terkunci

Seminar memperkasa PAS pada 7 November, 2009 secara rasmi menutup pintu percakapan PAS tentang kerajaan perpaduan Umno dan semua parti politik. Pintu itu dikunci dan anak kuncinya dibuang ke laut supaya pintu itu tidak dapat dibuka semula.

Tetapi mendakwa, pintunya tidak akan ditutup. Ia dibiarkan terbuka supaya sebelum nanti dapat juga Umno dan PAS menjalin perpaduan dua parti politik Melayu itu.

Serentak Umno semua peringkat dari atas ke bawah menyatakan pilunya dan menangisi atas penolakan PAS bercakap mengenainya lagi.

Sedih dan tangis Umno itu adalah seperti tangisan buaya lapar kerana potensi rezekinya iaitu PAS sempat lari dari ditelannya hidup-hidup.

Apa yang dikatakan keterbukaan Umno itu adalah suatu politik yang diolah seperti satu diplomasi bagi menyatukan orang Melayu dan Muslim yang dikatakan amat berpecah dan merugikan orang Melayu.

Bunyinya amat baik dan mulia. Tetapi al-Quran mengingatkan orang beriman, apabila datang berita daripada orang fasik, hendaklah ia betul-betul diamati. Ingatan itu adalah bagi menyelamatkan orang beriman daripada menjadi mangsa pembawa berita itu.

Bila Umno dalam sejarahnya memandang tinggi kepada PAS?

Pertama selepas 13 Mei, 1969. Tun Abdul Razak Hussein yang merampas kuasa daripada Tunku Abdul Rahman mengirim Datuk Hamzah Abu Samah mengambil Datuk Asri Muda dengan helikopter di Kota Bharu, membawanya berunding tentang perpaduan.

Perpaduan pemimpin PAS-Umno seolah-olah tercapai apabila terbentuk kerajaan campuran Perikatan-PAS tahun 1973 dan Barisan Nasional menggantikan Perikatan bagi memungkinkan PAS mengganggotainya.

Dalam kerajaan campuran itu PAS dibagi satu menteri. Dalam kerajaan BN PAS dapat dua menteri dan beberapa timbalan menteri. Beberapa orang Umno jadi exco di Kelantan yang dikuasai PAS sejak tahun 1959.

Dalam kerajaan BN yang pertama di Kelantan tahun 1974, Umno mahu menteri besarnya orang PAS yang dicadangkan oleh Umno, bukan PAS yang dicadangkan oleh PAS.

Sekalipun PAS sudah bersama Umno, tetapi orang Melayu akar umbi tidak bulat merestuinya. Dalam pilihan raya umum 1974, PAS tidak bertanding atas nama partinya. Berapa pemimpinnya jadi calon BN. Tiada berapa calon PAS dicalonkan bagi kerusi Parlimen di luar Kelantan.

Tetapi calon bebas di Parit Buntar, Ustaz Zulkurnain Ahmad dapat undi sebesar yang calon PAS dapat sebelumnya. Partai Rakyat yang sentiasa hilang wang pertaruhan sebelumnya, meletakkan Kassim Ahmad bertandng di Kemaman. Walaupun dia kalah tetapi dia dapat lebih banyak undi dari yang PAS dapat sebelumnya.

Ia adalah contoh pemimpin bermuafakat tetapi rakyat akar umbi tidak.

Tetapi apa yang dikatakan perpaduan Umno-PAS itu telah dilihat sebagai satu helah bagi Umno untuk menelan PAS. Melalui projek kerajaan campuran dan pembentukan BN, adalah kerajaan perpaduan masa itu, membuka jalan bagi Umno untuk mengkeroyok PAS. Kalau Umno ibarat kucing, PAS dijadikan seperti tikus, dikepung, dilambung hingga lembik baru dimakan.

PAS diperdaya, ditendang dari BN, Kelantan diMageran, dan barulah PAS dapat dikalahkannya dalam pilihan raya 1978.

Kali kedua Umno merasa perlu PAS dibuat baik ialah selepas tsunami politik Mac, 2008 apabila ia hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan tidak dapat membentuk kerajaan di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Umno menawarkan Datuk Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor menjadi menteri besar Selangor dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin boleh jadi menteri besar dalam muafakat PAS-Umno di Perak. Dalam apa keadaan pun Ustaz Azizan Abdul Razak tetap memimpin Kedah..

Syaratnya PAS mesti terajang PKR dan DAP. Kiranya PAS kemaruk, belum sempat PAS terajang PKR, PAS akan PKR terajang dulu.

Jika PAS setuju saja dengan tawaran Umno itu, maka jadilah menteri besar PAS di Perak dan Selangor itu seperti Datuk Mohd Nasir yang menjadi menteri besar Kelantan dalam Barisan Nasional dulu. Dan Azizan yang jadi menteri besar kedah itu pun jadi macam itu juga.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Ahli Parlimen PAS rakam tahniah kepada Nik Aziz dan Ariffahmi

Ahli parlimen PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman kerana mendahului keputusan parti berbanding kepentingan peribadi dan keluarga.

Ahli parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi berkata, tindakan Nik Aziz yang menerima keputusan parti untuk menasihati Ariffahmi meletakkan jawatan merupakan satu tindakan yang mempamerkan ketinggian integriti beliau sebagai seorang Menteri Besar.


"Kami (ahli parlimen PAS) mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan (Nik Aziz) kerana telah menerima keputusan yang telah dibuat oleh PAS pusat agar beliau menasihati Ariffahmi meletakkan jawatan."

"Ini satu tahap integriti yang saya kira cukup baik bagi pihak menteri besar kerana akur tentang keperluan untuk menjaga kepentingan PAS termasuk kepada menantu beliau,Ariffahmi yang juga akur dengan keputusan yang dibuat oleh parti bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan serta integriti parti," katanya.

Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut berharap agar tindakan Nik Aziz itu dapat dicontohi oleh pemimpin-pemimpin parti lain dan juga rakyat.

"Kami mengalu-alukan keputusan itu dan ia boleh menjadi satu contoh yang baik kepada orang ramai betapa integriti perlu diletakkan lebih utama daripada apa-apa sahaja kepentingan,"

"Kami menyokong, kami harap ia boleh jadi contoh kepada orang lain tentang sikap yang ditunjukkan oleh Tok Guru Nik Aziz dan juga menantu beliau sendiri yang sanggup membuat keputusan itu di atas kepentingan integriti dan juga parti," katanya lagi.

Tindakan Nik Aziz dan Ariffahmi juga ujarnya membuktikan bahawa PAS merupakan sebuah parti yang terbuka dan menjaga disiplin.



untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Nik Aziz setuju nasihat Ariffahmi letak jawatan

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bersetuju untuk menasihati Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Ekselutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Persetujuan itu diumum Nik Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pimpinan PAS di kediaman Menteri Besar, JKR 10 pagi ini.

Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, Naib Presiden Salahudin Ayub dan Bendahari Dr. Hatta Ramli.

Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan.

(Gambar: Nik Aziz dan Ariffahmi dalam sidang media)


Menurut Nik Aziz, keputusan itu dibuat bagi menjaga nama baik pimpinan islam khasnya pas sendiri sekaligus menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri itu.

"Semua (yang hadir) menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya PAS sendiri untuk menasihat menantu saya supaya mengundur diri dari Perbadanan Menteri Besar (PKMB),"

"Fitnah yang dilempar blogger , surat-surat layang, saya pun terima banyak, untuk jaga nama baik pimpinan Islam, maka saya dengan segala senang hati untuk jaga (elak) fitnah," katanya.

Beliau dalam pada itu memberitahu akan meminta Ariffahmi yang juga menantunya berbuat demikian.

Bagaimanapun, terserah kepada Ariffahmi bila dia mahu meletakkan jawatan tersebut.

"Tarikh tu terserah kepada dia," katanya lagi.

Nasihat peletakan jawatan itu juga tegasnya adalah disebabkan oleh fitnah dan kecaman yang terlalu banyak diterima Ariffahmi.

"Masalah sekarang ini menantu saya tu terlalu banyak kecaman dilempar kepadanya oleh orang yang tak bertanggungjawab,"

Dalam pada itu, Ariffahmi yang turut hadir pada sidang media tersebut menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka memandangkan ianya dilakukan untuk menjaga nama baik banyak pihak.

"Saya dapat terima keputusan dengan hati yang lapang, dan sedar keputusan dibuat untuk jaga nama baik kepimpinan dan jaga nama baik PAS, dan juga nama baik kerajan negeri Kelantan," katanya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Anual Bakri Haron: Garam dan usia, guru kepada Nik Aziz

Makhluk bernama usia penuh dengan keajaiban. Ia sebuah program perjalanan genetik yang berada dalam khazanah kehidupan. Ia tidak dapat dielakkan. Bagaikan tabii sebuah perahu yang menghilir, ia perlahan mengalir.

Adakala, ia tersangkut awal dan boleh kekal terhenti. Ada masanya, ia boleh terhenti sementara dan mengalir lagi untuk juga berhenti di tengah. Hanya orang yang ditakdirkan panjang usianya saja yang akan terus mengalir, rapat hingga kehujung. Hujung boleh bermakna 100 tahun misalnya.

Dalam perjalanan merempuh tebing dan melayan selekoh di liku-liku cabaran hidup itulah orang yang berusia mengumpul garam.Garam itulah yang mengasingkan antara orang yang bijaksana dengan yang kurang. Tentu sekali air yang dalam lebih jernih.

Dalam banyak hal, kematangan banyak tertakluk kepada usia. Jika tidak, masakan junjungan besar kita Nabi Muhamad s.a.w. dilantik dalam usia 40 tahun. Jika itulah had minimum bermulanya usia kepimpinan yang sihat maka itulah dalilnya.

Namun, ini tidak bermakna yang pemimpin tidak boleh lahir lebih awal. Namun, jika kita bercakap soal “bench marking” dari isyarat yang digaris oleh langit, maka inilah idealnya. Bermula dari usia itu, Rasulullah s.a.w. menerima wahyu-wahyu suci. Di sana kita dapat saksikan betapa faktor kewarasan memainkan peranan.

Dalam usia awal dewasa yakni antara umur 20-39 tahun atau disebut juga sebagai zaman vicenarian/tricenarian ini, manusia terlalu tinggi digerakkan oleh nafsu ammarah,emosi dan kecintaan untuk memenuhi kegelojohan cita-cita.

Dunialah, apa lagi! Tanpa perimbangan dan kawalan agama, tamaknya akan sering melanggar tebing. Ia kerap terbabas.

Jika dia seorang pemimpin parti atau organisasi dan kurang berhati-hati, dia akan banyak merempuh tembok amanah dan melanggar pelbagai disiplin yang barangkali dia sendiri yang rangkakan.

Kadangkala, atas nama ghairah berdakwah, dia terlalu rajin mengingatkan anak buah tetapi dialah orang yang pertama melanggari kata-kata dari kuliahnya. Kemudian, dia lazimnya sibuk dan banyak membakar masa produktifnya untuk mempertahankan kesalahan diri dari kubu persembunyiannya yang bernama ego. Dalam mabuk kuasa dan populariti itulah, dia memalukan dirinya. Ini akan terbukti dalam jangka panjang.

Manakala, usia pertengahan dewasa antara 40-59 tahun atau disebut sebagai tahap quadragenarian/quinquanarian pula adalah usia pembenihan dan pertumbuhan bakat kepimpinan yang terbaik.

Zaman yang dikenali sebagai renaissance kewarasan ini adalah zaman yang subur dengan gelora sumbangan. Dengan bekal taqwa, ilmu dan keikhlasan, seorang mukmin sejati akan dapat disaksikan kegemilangan akhlaknya yang terpuji sewaktu menangani apa jua isu seputar amanah yang dipikulnya. Dia lazimnya berprestasi tinggi.

Bagaikan kemuliaan seekor penyu, dia akan menelurkan ribuan jasa tanpa diriuhinya akan kehadiran "sayanya." Dia adalah air yang senuh setin. Keakuan dan ketrampilannya dipendamkan serahsia mungkin tetapi di sana orang seakan-akan tahu dia adalah sebutir geliga yang tergilap.

Tanpa mengocak loceng kehadiran, sentuhannya masih terasa. Tangannya mungkin tidak kelihatan tetapi cakar-cakar amal yang mulia dari sentuhan dan tinggalan jasanya ada di terkesan di mana-mana.

Membelek muka surat profil Tok Guru Nik Aziz, kita boleh menemui catatan-cacatan keajaiban seumpama ini di sana sini. Sejak tahun 1967, sewaktu parti saingan galak menangkap ulama, berbekalkan keyakinan, keimanan dan keberanian, beliau telah mewaqafkan usianya kepada gerakan Islam.

Jika PAS mengasaskan kepimpinan ulama seawal tahun 1982, maka dialah pancang dan tunggulnya. Dan, dia masih unggul, tetap tercegat setia berdiri di situ hingga sampai ke hari ini.

Demikian, sebuah nilai istiqomah. Sewaktu PAS berjalan di dalam pelita; di tengah-tengah hembusan nafas pihak musuh yang sentiasa termuncung-muncung, mahu memadamkan api kebenaran itu, Tok Guru nekad membelah malam. Dia tetap tekun untuk sabar berperahu.

Dalam usia pertengahan dewasa yang di kategorikan oleh pengkaji sebagai usia gemilang itulah, Tok Guru benar-benar menepati perjalanan teori. Akhirnya, dalam usia kira-kira 58 tahun, barulah beliau ditakdirkan oleh Allah menduduki kerusi menteri besar.

Rupanya, dari tahun 1967-1990, selama 23 tahun, Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menjalani satu tempoh tarbiyah amali penuh kepayahan memimpin jemaah sebelum beliau di lantik CEO untuk sebuah kerajaan.

Sebelum kecemerlangan beliau terserlah, beliau dijeruk ke dalam tempayan ujian yang cukup menguji terlebih dahulu. Beliau dihujani dengan lembing fitnah dan ungkit umpatan. Beliau berembun di pelana pagi, setiap kembali dari kuliah di jauh malam.

untuk berita lanjut, sila klik di sini

Harakah Online Preview: Ganti Speaker: Dr Abdul Isa bukan sembrono

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini dikejutkan dengan teguran daripada dua orang Adun Pembangkang yang mempersoalkan kewajaran Speaker DUN, Datuk Dr Abdul Isa Ismail membenarkan Yahya Abdullah (PAS-Jeneri) menggantikan tempatnya sementara beliau keluar menunaikan solat Asar.

Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Pedu) dan Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) bangun mempersoalkan perkara tersebut ketika Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (PAS-Sala) sedang berucap menggulung perbahasan.

Semasa insiden tersebut berlaku, Timbalan Speaker, Ustaz Abdul Ghani Ahmad (PAS-Ayer Hitam) belum sampai ke dewan kerana mengalami kerosakan kenderaan dalam perjalanan pulang dari Pantai Timur.

Ustaz Azizan yang sedang berucap tergamam seketika menghadapi situasi ini dan memohon pandangan dari Penasihat Undang-undang Negeri.

Bagimanapun keadaan reda apabila Mohd Nasir Mustafa (PAS-Kubang Rotan) bangun memberikan penjelasan.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Tragedi Bukit Antarabangsa: Ubah status rahsia untuk kepentingan ramai

Kerajaan negeri Selangor terpaksa menarik balik cadangannya membuka membuka laporan tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa kerana ia telah diklasifikasikan rahsia oleh Jamaah Menterii, kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim

Katanya, kerajaan negeri Selangor menghormati hak penduduk Bukit Antarabangsa untuk mengetahui kandungan laporan yang mengakibatkan terjadinya tragedi tanah runtuh pada 6 Disember 2008 yang mengorbankan lima nyawa penghuni di situ.

Bagi menjamin kepentingan terhadap keselamatan penduduk berkenaan, Kerajaan Negeri menerusi kuasa Menteri Besar pada Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi, mengambil keputusan untuk mengubah semula status laporan tersebut yang diklasifikasikan sebagai “rahsia” oleh Kementerian Kerja Raya, kata Khalid dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut Khalid, kerajaan negeri sekarang berazam supaya salinan-salinan laporan tersebut diedarkan kepada orang awam dan mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat beberapa salinan dan menjual kepada penduduk terlibat dengan harga berpatutan bermula hari ini.

Bagaimanapun, ekoran pengumuman kerajaan negeri pada mingggu lepas, Kerajaan Persekutuan lantas mencabar keputusan tersebut dan memberi amaran supaya kerajaan negeri jangan mengubah status laporan berkenaan.

Sebelum ini kerajaan negeri ada menulis kepada Kementerian Kerja Raya mengenai keputusannya itu dan meminta Kementerian berkenaan melakukan perkara yang serupa demi kepentingan orang awam.

Bagaimanapun, Kementerian hari ini mengatakan ia tidak boleh membuat keputusan mengenai perkara tersebut kerana yang klasifikasi rahsia telah dibuat oleh Jemaah Kabinet.

"Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri tidak boleh meneruskan keputusan untuk mengumumkan perincian laporan tersebut," kata Khalid.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Royalti: Umno wajar contohi sikap Hassan Harun

Kerajaan Kelantan menggesa pemimpin Umno sekarang mengambil teladan dari sikap bekas Senator Kelantan, Datuk Hassan Harun, iaitu antara individu Umno yang awal memperjuang tuntutan royalti negeri itu bermula tahun 1989.

Exconya, Datuk Husam Musa seperti yang ditulis dalam blog beliau memberitahu, sikap Tuan Hasan yang perihatin terhadap rezeki rakyat negeri sendiri wajar dicontohi pemimpin Umno lain.

Hassan sewaktu menjadi senator, pernah membangkitkan isu royalti Kelantan pada persidangan Dewan Negara.

"Senator Hassan Harun, atau lebih mesra dengan panggilan Abe Hase, telah mendahului saya dalam keprihatinannya terhadap hak dan masa depan rakyat dan bumi Kelantan.

"Abe Hase (Hassan) teladan untuk pemimpin UMNO Kelantan masa kini. Berbeza parti jangan sampai menolak-nolak rezki rakyat Kelantan.

"Hati perut kita biarlah bersama yang berhak, rakyat kita sendiri," tulis beliau dalam blog http://cetusan-hati.blogspot.com.

Biarpun perkara itu sudah 20 tahun lalu, namun situasi semasa sekali lagi menuntut semua pemimpin termasuk dari Umno dan khasnya di Kelantan membangkitkan kembali perkara itu.

"Untuk pemimpin UMNO, saya ulangi, belum terlambat, " katanya.



Seperti termaktub dalam rekod persidangan Dewan Negara bertarikh 9 April 1989, pada halaman 993,994 dan 995; Hassan pernah bertanyakan soalan berkaitan kepada Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohammad.

Beliau antara lain meminta Perdana Menteri menyatakan apakah rancangan-rancangan dan faedah-faedah yang akan dinikmati oleh penduduk- penduduk tempatan jika carigali minyak berlaku berhadapan kawasan negeri Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Kasitah bin Gaddam mewakili Perdana Menteri telah menjawab antara lain menyatakan bahawa kerajaan Kelantan akan menerima sebanyak 5 peratus daripada minyak dan gas yang dikeluarkan seperti diterima oleh Terengganu, Sabah dan Sarawak.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: PR akan bebaskan sistem maklumat

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, pendekatan dan tawaran yang perlu dibuat oleh Pakatan Rakyat adalah membebaskan maklumat sepenuhnya apabila berjaya memerintah negara nanti.

Ini kerana, dengan cara inilah sistem demokrasi akan dapat berjalan dengan baik dan rakyat mendapat peluang untuk memilih dengan tepat berdasarkan maklumat di masa depan.

Beliau berkata demikian dalam seminar anjuran Parti Sosialis Malaysia petang tadi.

Dalam forum itu juga, Khalid melahirkan keyakinan, sistem dua parti adalah yang terbaik untuk negara ini dalam suasana sekarang.
"Walaupun (dari) segi ideologi kita mungkin dari sumber yang berbeza, tapi akhirnya akan perjuang pada matlamat yang sama iaitu menggantikan Umno BN...dengan syarat perlu liberalisasi pendekatan agar sesuai dengan keperluan politik semasa.

"Apa yang kita nak buat sekali pun, kita perlu lihat realiti politik. Saya rasa sistem dua parti (sistem) penyelesaian terbaik di Malaysia, tidak ada retorik (dan) tidak lagi ideal. Ia lebih praktikal," jelas Khalid dalam Seminar Sosialisme 2009 anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau yang juga AJK Lajnah Politik PAS Pusat berpendapat usaha meliberalisasikan pendekatan parti-parti pembangkang tersebut termasuk saling kerjasama dalam memperbetulkan semula beberapa persepsi salah rakyat terhadap perjuangan Pakatan Rakyat.



"Kalau nak laksana ia (sistem dua parti) secara realistik, saya sebagai ahli PAS perlu bersedia jelaskan pada Melayu (bahawa) DAP bukan cauvenis Cina dan DAP juga kena cakap pada orang Cina yang PAS ini bukan parti pelampau Islam seperti yang dipropaganda BN dalam media."

Baginya, propaganda perkauman yang dilakukan Umno mengakibatkan rakyat berpegang pada persepsi yang salah terhadap Pakatan Rakyat sendiri.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Mampukah Jais tegas pertahan peraturan?

Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas mufti Perlis kerana berceramah agama di wilayahnya tanpa tauliah mengundang kontrovesi malah dipersoal Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.



Jais, seperti lain-lain penguasa Islam negeri, ada peraturannya sendiri yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Tindakan Jais itu adalah kontrovesi kedua menarik perhatian perdana menteri yang berkuasa. Yang pertama semasa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, atas arahan mufti Selangoir ketika itu, Datuk Ishak Baharom bertindak menahan tiga wanita Muslim memperaga diri dalam peraduan ratu cantik di Selangor.

Ia mengundang campur tangan perdana menteri, lalu sultan Selangor menamatkan perkhidmatan Ishak yang kontraknya baru saja dibaharui.

Ada juga tindakan Jais yang menjolok mata tetapi tidak disensasikan sebelum Selangor diperintah Pakatan Rakyat seperti meroboh bangunan persendirian di Bangi yang dijadikan tempat pengajian dan ibadat. Kesnya tokoh agama yang bukan penyokong Umno seperti Datuk Dr. Haron Din diundang berkuliah.

Pernah juga surau membatalkan ceramah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas arahan Jais.

Semuanya itu berlaku kerana Jais ada peraturannya sendiri dan ia cuba menguatkuasakan apa yang diperaturankan. Begitu juga dengan yang terbaharu, menahan Asri berceramah tanpa tauliah sekalipun ilmunya mungkin lebih tinggi dari mufti Selangor. Asri sudah dihadapkan ke mahkamah. Dakwaan belum disebutkan kecuali dia tidak ada tauliah.

Ulas perdana menteri, mengapa dia ditahan sedang ramai penceramah lain tidak ditahan? Mungkin Jais melihat ulasan perdana menteri itu seperti bantahan seorang kerana melanggar lampu isyarat jalan, mengapa dia saja ditahan sedang ramai lagi yang melanggar lampu isyarat tidak ditangkap? Polis dan hakim tidak melepaskan orang itu atas bantahannya itu.

Isu yang ditimbulkan selepas penangkapan Asri ialah apa pentingnya tauliah bagi orang sudah jelas ada kelulusannya? Lulusan Azhar dan lain-lain institusi pengajian tinggi Islam, pensyarah Islam universiti dan pernah jadi mufti, perlu tauliah lagi? Bahkan Asri yang pernah jadi mufti tentunya juga pernah menjadi ahli Majlis Fatwa Kebangsaan?

Logiknya tauliah itu dulu bagi menentukan tahap ilmu dan keupayaan guru-guru agama lepasan pondok. Tidak diketahui berapa lama mereka mengaji dan apa yang dipelajarinya? Mereka tidak memegang sijil. Dan bagi memastikan tiada guru ajaran sesat.

Ada pendapat mengatakan asalnya tauliah itu dikuatkuasakan oleh Mustafa Kamal Ataturk di Turki bagi menentukan yang mengajar hanya yang akur kepada ajaran duniawi Mustafa Kamal.

Memang kukuh hujah orang lulus Azhar seperti Haron Din dan Nik Aziz, apa perlunya tauliah.

Tetapi yang menyelubungi persekitaran Asri, bukan tentang tahap ilmunya, bahkan pertembungan dan pertempuran minda sesama penceramah agama sekarang.

Asri mewakili golongan ulama yang tidak terikat dengan mazhab sedang mazhab rasmi Malaysia kecuali Perlis ialah Mazhab Syafie.

Banyak kejadian di kuliah-kuliah maghrib di surau dan masjid guru-guru agama berbalas hujah tentang apa yang dikatakan bidaah oleh seorang tok guru, bukan bidaah oleh tok guru yang lain.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Bai'ah bukti komitmen pada perjuangan Islam

Kontroversi mengenai bai'ah talak tiga yang digembar-gemburkan media selama beberapa hari lalu terjawab apabila Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali mendedahkan tidak wujud lafaz bai'ah talak tiga dalam amalan rasmi parti.

Walau bagaimanapun, isu yang tidak disentuh ialah bai'ah itu sendiri, yang tenggelam akibat isu penganiayaan terhadap wanita melalui cerai talak tiga sekiranya mengkhianati parti.

Hakikat bahawa PAS menggunakan istilah bai'ah menunjukkan hubungan rapat amalan ini dengan Islam, sesuai dengan kedudukan PAS sebagai jamaah dan parti yang memperjuangkan Islam.

Dalam sejarah Islam, pemilihan ketua untuk memimpin umat disusuli dengan bai'ah atau janji taat setia daripada rakyat, sebagai menyempurnakan kontrak melibatkan pemimpin dan rakyat.

Hal ini kerana kedudukan kepimpinan ialah amanah besar yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat, dan pada masa yang sama, setiap rakyat juga mempunyai tanggungjawab tersendiri, termasuk mematuhi pemimpin yang diberi amanah itu.

Dalam sejarah, umat memberikan janji untuk setia pada ketika senang dan susah dan pada perkara yang disukai dan tidak disukai. Ini semua menunjukkan komitmen yang besar dan secara praktisnya menjadi salah satu syarat kejayaan sesebuah organisasi.

Kerana inilah, semangat kekitaan dan perpaduan umat dapat dipelihara. Pemimpin menyedari amanah yang ditanggung dan rakyat mengemukakan janji untuk taat setia.

Dalam sejarah terkini politik negara, bai'ah ini telah berjaya memastikan wakil-wakil rakyat PAS tidak mengkhianati parti dan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya.

Bai'ah ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan tidak dipermudahkan kepada "cerai talak tiga" yang disensasikan sesetengah pihak.

Sejarah Islam telah menunjukkan pengorbanan yang besar dilakukan oleh mereka yang memilih jalan perjuangan. Nabi Muhammad saw sendiri berdepan cabaran dan ancaman yang hebat dalam perjuangan menyebarkan Islam.

Pengkhianatan kepada perjuangan membawa kesan yang besar dan mungkin berpanjangan.

Dalam konteks hari ini, lafaz laknat sekiranya mengkhianati perjuangan Islam perlu dilihat dalam konteks sejarah panjang perjuangan Islam yang bukan bermula dan berakhir dengan perjuangan PAS.

Perjuangan yang besar ini perlulah diletakkan harga yang mahal, dan mereka yang terlibat perlulah bersedia memberikan janji yang sewajarnya.

Perjuangan dalam jamaah Islam ialah satu komitmen sepanjang hayat yang matlamatnya bukan sekadar kuasa, kedudukan atau harta. Oleh sebab itu, perlulah janji untuk taat setia yang tegas diberikan.

Bai'ah juga secara tidak langsung mendorong kepimpinan jamaah dan seluruh ahli untuk menetapkan perjuangan dalam jalan yang benar dan menepati prinsip-prinsip perjuangan Islam.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Royalti: Nik Aziz akan hantar surat kedua kepada Najib

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi akan menghantar satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar satu rundingan diadakan supaya kerajaan pusat menukar pemberian wang ehsan kepada royalti.




Sebelum ini, perkara sama dilakukan Nik Aziz sewaktu kali pertama menuntut bayaran royalti negeri itu.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa ketika memaklumkan perkara itu optimis Najib akan membayar royalti berkenaan setelah berunding dengan kerajaan negeri.

Beliau juga yakin keputusan Najib untuk memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan adalah disebabkan tekanan daripada puak Barisan Nasional di negeri itu yang tidak mahu royalti diberikan kepada rakyatnya.

“Saya yakin Datuk Najib selepas berunding dengan kerajaan Kelantan akan tetap membayar royalti kepada negeri.

"Sekarang saya yakin Najib hanya lakukan satu step pertama (bagi) mengendurkan tekanan politik daripada orang-orang politik Kelantan yang menghendaki bayaran itu tidak dilakukan.

"Ini permainan politik semata-mata, ia bukan berasas kepada undang-undang,” tegasnya dalam sidang media di lobi parlimen siang tadi.

Beliau hadir parlimen hari ini bagi mendengar sendiri penggulungan perbahasan pada peringkat Jabatan Perdana Menteri oleh Menterinya, Tan Sri Nor Ya’kub mengenai perkara ini.

Beliau berkata, isu tiga batu nautika untuk melayakkan negeri pengeluar mendapat royalti adalah satu hujah yang tidak berasas kerana syarat itu tidak termaktub dalam Akta Petroleum 1974.

“Beliau akan sentuh semula mengenai royalti dan satu hujah yang digunakan (ialah ) ialah tiga batu nautika yagn tidak ada dalam mana-mana undang-undang. Kalau kita tengok undang-undang negara kita, yang ada hanyalah dua belas batu nautika. Tapi akta petroleum mengatasi segala undang-undang,” katanya.



Beliau meminta perbahasan akta petroleum di Dewan Rakyat pada November 1975 oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu Tun Rahman Yaakob dirujuk kembali.

Tun Rahman ketika itu menekankan dua unsur penting dalam akta petroleum 1974.

“Bahawa beliau menekankan akta itu mempunyai dua unsur penting.Yang pertama kuasa petroleum sebelum akta ini adalah terletak di bidang kuasa negeri-negeri, sejak sebelum kita menyertai Malaysia dan Persekutuan Tanah Melayu.

"Negeri Kelantan sama seperti Sarawak, (iaitu) negeri berdaulat dan mempunyai kuasa di atas petroleum dan kuasa ini hanya boleh diserahkan melalui satu perjanjian, dan perjanjian adalah mengikut akta 1974,” jelasnya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Isu sekolah bawah flat ke parlimen

Ahli parlimen PAS khususnya dari Wilayah Persekutuan akan membawa isu pembatalan pembinaan bangunan baru bagi Sekolah Kebangsaan Sri Perak yang kini masih ditempatkan di bawah flat milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke parlimen.




Perkara itu disuarakan beberapa Ahli Parlimen PAS dalam program 'Tinjau dan Terjah' bersama PAS Kawasan Batu ke sekolah yang terletak di bahagian bawah empat blok flat 17 tingkat di Bandar Baru Sentul, pagi tadi.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali sewaktu bertemu dengan penolong kanan sekolah, Hazijah Mohd Som berjanji akan membahaskan perkara tersebut di dewan rakyat.

"InsyaAllah kita (ahli parlimen Pakatan Rakyat) akan bawa isu ini ke parlimen.Saya sebagai ahli parlimen Wilayah, memang tangungjawab saya untuk suarakan perkara ini," katanya.

Ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin meminta kerajaan melaksanakan apa yang telah dijanjikan iaitu membina sekolah yang baru menggantikan sekolah di bawah flat berkenaan.

Beliau yang menyifatkan suasana tidak kondusif sekolah berkenaan satu penganiayaan kepada rakyat turut berkata, kedukan sekolah itu telah melanggar akta jalan dan perparitan serta akta perumahan dan kerajaan tempatan.



"Bagi saya ini pelanggaran akta ini sangat dasyat, selam hampir 20 tahun.Jadi kerajaan harus melihat kembali akta-akta ini dan membina sekolah yang baru untuk kemudahan anak-anak," ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah meluluskan cadanagn membina dan menyiapkan sekolah tujuh tingkat, mengandungi 30 bilik darjah di atas sebahagian lot 133, Seksyen 85A Kuala Lumpur dan akan dilaksanakan oleh kontraktor Contracthouse Sdn Bhd.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin, PAS kawasan telah menyerahkan memorandum bantahan pembatalan itu kepada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP).

Dalam pertemuan itu, Pengarah JPWP Sulaiman Wak gagal memberikan sebab KPM membatalkan projek berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menuntut pembatalan itu dikaji semula demi kepentingan rakyat di kawasan berkenaan.

"Kami amat kesal dengan pembatalan ini, dan akan memanjangkan perkara ini kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mahu kerajaan menjelaskan kepada rakyat sebab projek itu tidak dapat dilaksanakan.

"Kerajaan seharusnya menjelaskan terlebih dahulu kenapa projek ini dibatalkan supaya kita dapat berbincang samaada munasabah atau tidak projek ini dibatalkan,"katanya yang juga Naib Presiden PAS.

untuk berita lanjut, sila klik disini