SUKAR sangatkah untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyaring kemasukan pelajar asing dan bagi mengelakkan penjualan dan penyalahgunaan visa pelajar untuk tujuan lain, selain belajar?
Isu ini hanga diperkatakan kebelakangan ini kerana kebanjiran pendatang asing ke negara ini dilihat sudah sampai ke satu tahap yang merbahaya jika tiada tindakan menyekatnya dilakukan, tanpa menghalang kemasukan mereka yang benar-benar datang ke sini dengan tujuan yang betul.
Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kaedah penyaringan dan pemantauan kemasukan penuntut asing, termasukdari benua Afrika, akan disemak semula bagi memastikan hanya mereka yang layak dan menepati syarat minuman akademik dibenarkan tinggal di negara ini.
Beliau berkata, kajian semula itu akan dilaksanakan oleh jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan KDN.
“Ini akan membabitkan aspek prosedur dan syarat kemasukan melipti penetapan kelayakan akademik minimum dan kesesuaian pencapaian akademik dengan bidang pengkhususan yang dipohon di institusi pengajian tinggi di negara ini,” katanya.
Selain itu, katanya, aspek pemantauan mereka yang memasuki negara ini untuk tujuan melanjutkan pelajaran akan diperkemas dan ditingkatkan.
Sebenarnya, jika KDN serius mahu menangani isu ini, penguatkuasaan hendaklah dijalankan secara berterusan ke semua IPTA dan IPTS, bagi memastikan semua mereka yang mendapat visa pelajar berada di dalam kelas pada setiap waktu yang berkaitan.
Jika mereka tidak hadir, tindakan serta-merta menamatkan empoh sah laku visa pelajar hendaklah dibuat dan pihak IPTA atau IPTS perlu bertanggungjawab dengan ‘kehilangan’ pelajar asing ini. Jika siasatan mendapat berlaku penyelewengan pengeluaran visa pelajar, lesen IPT berkenaan hendaklah dirampas dan Lembaga Pengarah perlu dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.
Jika KDN tegas, masalah kebanjiran pelajar asing ini tidak akan berlaku dan mereka yang bertanggungjawab mengeluarkan visa pelajar perlu dipertanggungjawabkan.
Kaedah yang sama, sekali lagi jika KDN serius, boleh dilakukan terhadap semua pasaraya, pasar borong, kilang-kilang, restoren dan semua sektor yang melibatkan pekerja asing , jika ada mereka yang tidak mempunyai permit kerja, atau mepunyai permit bidang yang berlainan dari pekerjaan yang dibuatnya, tindakan hendaklah dibuat ke atas majikan dan mereka yang bertanggungjawab.
Mana-mana majikan yang sanggup masuk jel, silalah mendapatkan pekerja asing yang tidak sah atau menggunakan khidmat mereka yang menyalah gunakan permit atau visa yang mereka ada.
Cara ini lebih mudah tetapi KDN tidak perlu banyak menubuhkan jawatankuasa dengan membabitkan kementerian-kementerian lain kerana ia akan menyebabkan banyak rahsia akan bocor. Dari banyak pengalaman terdahulu, apbila ada operasi tangkapan mahu dibuat, yang meibatkan banyak agensi akan menyebabkan operas tersebut gagal.
Sekali lagi, jika KDN serius mahu menyelesaikan masalah pelajar dan pekerja asing - hingga menyebabkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengeluarkan kenyataan di Rome baru-baru ini bahawa kerajaan akan mengkaji kemungkinan mewujudkan sebuah jabatan khusus bagi menangani isu pekerja asing , termasuk memantau kedudukan mereka ketika bekerja di negara ini dan selepas tamat tempoh permit bekerja.
Selagi kerajaan tidak serius, menyeret majikan atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menyebabkan pelajar atau pekerja asing ini berada di negara ini, bukan dengan tujuan sebenar, selama-lamanya masalah yang timbul ini tidak mungkin dapat diatasi.
Memetik kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman yang mahu memantau ‘pintu masuk haram’ seperti di Kukup, Pontian dan sebagainya, ia hanya akan termampu menyekat pendatang dari Indonesia sahaja tetapi bagaimana mereka yang masuk melalui ‘pintu sah’ dan dengan visa sah tetapi menyalahgunakannya – termasuk pelacur dan pelayan pelanggan dari China, Thailand dan Usbezkistan yang semakin banyak sekarang.
Persoalannya sekarang, adakah isu ini memang serius mahu ditangani atau sekadar mahu mengembar-gemburkan sahaja dalam media dengan tujuan ‘menuding jari’ ke arah pihak-pihak tertentu – namun tindakan tidak dibuat!
untuk berita lanjut, sila klik disini
No comments:
Post a Comment