Fraterniti diplomatik dan misi antarabangsa Kerajaan Malaysia masih terkejut sebenarnya dengan tindakan Kerajaan melalui Wisma Putra memanggil balik Wakil Tetap Malaysia Ke Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Datuk Arshad Hussain atas sebab apa yang disifatkan sebagai kegagalan duta tersebut mematuhi arahan Kerajaan Malaysia supaya menyokong usul yang dibawa ke Lembaga Governor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 27hb November 2009 bagi mengutuk program tenaga nuklear Iran dan pada masa yang menuntut Iran supaya menghentikan serta merta projek pengkayaan uranium yang kedua yang dijalankan di Bandar Qom.
Maklumat dari Wisma Putra dan juga kalangan diplomat-diplomat berpengalaman serta penganalisis dasar luar Malaysia menyatakan bahawa dalam dunia diplomatik, tindakan sesebuah negara memanggil pulang dutanya atas sebab tidak berpuas hati di atas tindak tanduk seseorang duta, adalah suatu tindakan yang serius yang boleh membawa kepada tindakan disiplin dikenakan ke atas duta tersebut.
Menurut sumber, dalam sejarah diplomatik negara, perkara sebegini (memanggil duta balik bagi memberi penjelasan) tidak pernah berlaku sebelum ini (unprecedented) di zaman mana-mana Perdana Menteri sekalipun. Menteri Luar, Dato Anifah Aman menjelaskan kepada media dua minggu lepas bahawa tindakan memanggil Datuk Arshad Hussain adalah sekadar untuk proses konsultasi memandangkan tindakan Datuk Arshad Hussain, yang mengundi menentang usul tersebut yang jelas ditaja oleh Amerika Syarikat dan sekutu-kutunya, adalah "tidak selaras dengan prosedur Kerajaan".
Menurut laporan media sebelum ini, Malaysia adalah antara tiga negara yang menentang usul tersebut, yang asalnya dibawa oleh Jerman, iaitulah selain dari Cuba dan Venezuala. Lembaga Governor IAEA sebenarnya mengandungi 35 anggota, namun pada hari pengundian, 34 negara yang hadir.
Sebelum dari persidangan bermula, Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang turut dianggota Malaysia telah pun membincangkan di peringkat kaukus tentang apakah pendirian NAM dalam menangani usul yang cukup serius yang membabitkan negara Iran yang berdepan dengan kegelojohan Amerika Syarikat. Kaukus NAM akhirnya telah mengambil keputusan untuk menentang usul tersebut.
Sebagai seorang duta yang bertanggungjawab, Datuk Arshad menurut maklumat telah pun menghubungi Wisma Putra dan mencadangkan supaya Malaysia mengambil sikap yang sama dengan pendirian NAM selaras dengan prinsip bahawa hak Iran untuk membangunkan tenaga nuklearnya bukan untuk tujuan keganasan perlu dihormati.
untuk berita lanjut, sila klik disini
No comments:
Post a Comment