Ahli Jawatankuasa Lajnah Ekonomi PAS Pusat, Wan Ubaidah Wan Omar menyelar Kerajaan Pusat yang tidak berhati-hati dalam menyalurkan peruntukan khususnya dalam program Biro Tata Negara (BTN).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berhubung kos BTN yang berjumlah RM550 juta dalam tempoh 10 tahun.
"Untuk kos yang sebegitu besar, kita tidak melihat sebarang kesan yang efektif dan konstruktif terhadap peserta yang menghadirinya," katanya kepada Harakah.
Tegasnya, program yang berbentuk 'doktrinisasi' itu seharusnya menanamkan rasa cintakan negara dan bukannya cintakan Umno-BN.
"Malangnya, dengan kos yang telah 'dihanguskan' itu kerajaan masih perlu menghadapi masalah gejala sosial yang semakin meningkat apabila kes dadah, Aids, pembuangan anak, dan sebagainya bertambah setiap tahun.
"Pihak penganjur sepatutnya memastikan kandungan BTN yang telah dilaksanakan sebelum ini komprehensif dan bukannya menghancurkan golongan belia yang merupakan aset negara," kata Wan Ubaidah yang juga Bendahari Dewan Muslimat PAS Pusat.
Katanya, beliau tidak terkejut dengan pendedahan para peserta yang pernah menghadiri kursus ini yang mendakwa pihak penganjur mendoktrin minda mereka agar sayang pada Umno-BN selain mengugut mereka agar tidak menyokong selain parti itu.
"Bagaimana hendak melahirkan golongan yang profesional jika pemikiran dikongkong serta ditakutkan? Mungkin sebab itulah gejala rasuah kian berleluasa kerana ramai pengampu yang dilahirkan kursus BTN itu," ujarnya.
Oleh yang demikian, beliau yang juga Exco Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan mengesyorkan agar kos tersebut lebih baik disalurkan bagi membantu pembangunan rakyat termiskin dan infrastruktur kawasan yang memerlukan.
Dalam perkembangan yang sama, isu BTN terus mendapat perhatian akhbar-akhbar berbahasa Cina apabila akhbar China Press pada Selasa lalu menyiarkan artikel bertajuk 'Liew Chin Tong dedah peruntukan RM74 juta untuk BTN'.
Menurut akhbar itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera mendakwa, BTN mendapat peruntukan sebanyak RM74 juta pada tahun ini dan peruntukan itu lebih RM4 juta berbanding peruntukan parlimen iaitu RM70 juta.
Chin Tong mendakwa, jumlah itu terlalu banyak dan sangat 'memeranjatkan' kerana ia semata-mata untuk menanam fahaman perkauman.
Kata beliau lagi, menurut Bajet BTN 2010 itu, ia akan mengambil 224 pekerja tetap tahun depan dan penambahan itu tidak sepatutnya berlaku kerana BTN kini bermasalah.
"Berbanding peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM), bajet untuk parlimen sangat sedikit," kata ahli parlimen itu yang turut membandingkan bajet untuk JPM dan parlimen secara panjang lebar.
Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dalam http://blog.limkitsiang.com menyelar kerajaan dengan mendedahkan perbelanjaan BTN berjumlah RM550 juta dalam tempoh 10 tahun.
"BTN telah membelanjakan sebanyak RM 550 juta dalam tempoh 10 tahun sejak tahun 2000 sehingga 2009 dan ia telah mencetuskan sentimen perkauman sehingga menyebabkan ramai para cendekiawan lari ke luar negara."
untuk berita lanjut, sila klik disini
No comments:
Post a Comment