Ruangan Carian Isu Lepas dan Terkini Harakah Online

Loading...

Harakah Online || Harakah Daily || Harakah Online Malaysia

Dapatkan berita berkaitan isu politik terkini Harakah Online TERUS KE INBOX emel anda TANPA HALANGAN!!:

Disediakan khas oleh Harakah Online Info dan Google FeedBurner

Oh Sukan : Pusat Lepak Peminat Berita Sukan

Harakah Online Preview: Dunia jadi saksi kekejaman zionis Yahudi di perairan antarabangsa


PERBUATAN jijik dan amat memalukan yang dilakukan oleh rejim Israel pada hari ini (31 Mei) dengan mengarahkan komando tentera lautnya menyerang kapal misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G) “MV Mavi Marmara” sehingga mengakibatkan 20 orang terbunuh dan puluhan lagi penumpang yang tidak bersenjata cedera terkena tembakan telah menzahirkan betapa kejam dan ganasnya rejim Israel yang terkutuk itu.

HALUAN Malaysia selaku ketua NGO delegasi Malaysia ke LL4G dengan ini mengajak seluruh lapisan masyarakat, tidak kira kaum ataupun agama, agar segera mengutuk dan mencela Israel atas sikap kurang ajar mereka ke atas pelayaran damai (Freedom Flotilla) yang membawa barangan keperluan hidup harian kepada penduduk Gaza yang semakin terhimpit dek tekanan ketenteraan, ekonomi dan kemanusiaan oleh rejim Israel di bawah pemimpin-pemimpin mereka yang mendapat dokongan kuat Amerika Syarikat dan Britain.

“Kami ingin menegaskan bahawa penindasan Israel ke atas rakyat Palestin dan kini pembunuhan terbuka di atas kapal penumpang “MV Mavi Marmara” dengan penggunaan peluru hidup ke atas penumpang yang sedang tidur telah menzahirkan sikap ganas Israel yang jelas menyalahi undang-undang antarabangsa dari segi hak asasi kemanusiaan mahupun undang-undang maritim antarabangsa yang menegaskan bahawa tiada suatu negara pun berhak bertindak sewenang-wenangnya di perairan antarabangsa. Jelaslah Israel telah bertindak ala samseng dunia. Kini satu dunia mengutuk Israel dan konco-konconya,” tegas Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman, Presiden HALUAN Malaysia.

“Kami ingin menegaskan bahawa seluruh penduduk dunia yang diwakili oleh para sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dari lebih 50 buah negara yang berada di atas kapal tersebut itu, mengutuk sikap Apartheid yang ditunjukkan Israel itu sebagai satu tindakan yang amat kejam. Israel telah sedar bahawa modus operandinya selama ini untuk decimate ataupun meluluhkan bilangan rakyat sah warga Palestin daripada tanah tumpah darah mereka sendiri sebagai suatu tindakan bangsa yang bangkrap adab, akhlak, idea dan tamadun. Israel sudah tahu bahawa sudah ada gerakan antarabangsa yang kini sedang menjadi arus penentangan ke atas polisi luarnya yang amat menindas dan amat tidak berperikemanusiaan. Dakwaan mereka sebagai negara “underdog” yang dikepungi negara-negara Islam sudahpun lapuk dan kini Israel mahu mempamerkan yang ia mampu berlagak samseng di mata dunia untuk melangsungkan agenda kejinya itu. Ketahuilah, bahawa warga dunia tidak akan berpeluk tubuh terhadap sikap Apartheid Israel itu. Dunia TIDAK akan memaafkan Israel,” ujarnya lagi.

Pada bulan April yang lepas, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman menegaskan di dalam suatu sidang akhbar bahawa penglibatan HALUAN di dalam misi LL4G ini adalah untuk “expose to the public the crimes which is being inflicted by the Zionist Israel regime and its allies upon the citizens of Gaza and the Palestinian Nation as a whole”. Kini, buktinya telahpun jelas lagi nyata.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Konvoi Gaza: Kematian meningkat, Gaza berkabung

31 Mei 2010: Sekurang-kurangnya 20 orang telah meninggal dunia dalam serangan ganas tentera zionis Yahudi dan masih ada kemungkinan akan terus bertambah serta lebih daripada 50 orang lainnya mengalami kecederaan, lapor laman web Haluan Palestin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyatakan hari berkabung selama tiga hari di seluruh wilayah Palestin sebagai penghormatan terhadap para korban serangan kejam Israel ke atas konvoi Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Perdana Menteri Palestin daripada Hamas, Ismail Haniyah juga mendeklarasikan aksi mogok beramai-ramai sebagai tanda berkabung untuk para korban dan tercedera akibat serangan Israel yang terjadi hari ini terhadap para aktivis kemanusiaan.

Di antaranya adalah Syeikh Raed Salah, ketua Gerakan Islam di Palestin, yang mengalami luka serius akibat serangan tentera Zionis ke atas kapal-kapal Freedom Flotilla.

Ismail Haniyah juga berkata dalam kenyataannya kepada media bahawa mereka yang bersama konvoi bantuan Gaza sebagai pahlawan bangsa Palestin, dan Hamas mendesak para pemimpin Arab untuk mengambil langkah-langkah praktikal untuk mengakhiri pengepungan Gaza.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Dr Rani selamat, Jamuliddin dan wartawan Awani tidak diketahui

31 Mei:

Semua rombongan rakyat Malaysia yang menyertai Konvoi Bantuan Antarabangsa Gaza selamat walaupun 16 dari anggota konvoi itu terbunuh dan lebih 30 cedera.

Adun PAS dari Meru, Dr Rani Othman dalam smsnya berkata beliau selamat dan kini kapal yang dinaikinya dipaksa berlabuh di Haifa.

Namun begitu, keadaan Timbalan Pengarah Yayasan Amal, Jamuliddin Elias belum diketahui lagi kerana tidak ada sebarang perhubungan dengan beliau. Setiausaha Politik MB Selangor, Nik Nazmi berkata, Jamuliddin berada di atas salah satu kapal dalam konvoi itu.

Lapan rakyat Malaysia disahkan berada dalam Mavi Marmara, kapal utama dalam flotila pro-Palesti yang diserang tentera Israel hari ini

Manakala itu, Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan kini berada di Istandul dan sedang berusaha untuk menyertai penduduk tempatan Turki yang sedang berdemo menentang tindakan Israel terhadap konvoi damai itu.

Turut selamat adalah tiga wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) iaitu Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu dan anggota parlimen kawasan Parit, Mohd Nizar Zakaria.


untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Konvoi Gaza: 16 mati, kapal dirampas


31 Mei 2010:
(12.30 tengah hari waktu Malaysia) – Israel dilaporkan telah merampas kapal-kapal konvoi Freedom Flotilla. Dilaporkan jumlah kematian meningkat kepada 16 orang dan lebih dari 30 orang cedera ketika pasukan Israel menyerang kapal-kapal Freedom Flotilla pada pagi ini, menurut laporan dari Radio Tentera Darat Israel.

Laman web Haluan Palestin melaporkan, konvoi kemanusiaan itu diserang ketika menghampiri 65 km dari pantai Gaza. Mereka juga berkata kapal-kapal itu sekarang sedang ditarik ke bandar Haifa Israel, bukan ke Asdod untuk mengelakkan wartawan menunggu di sana.

Wartawan Al Jazeera, Elshayyal Jamal yang berada dalam kapal Mavi Marmara, mengatakan bahawa tentera Israel telah menggunakan peluru hidup ketika mereka memasuki dan merampas kapal.

Menurut wartawan Ayman Mohyeldin dari Al Jazeera yang melaporkan dari Baitulmuqaddis, berkata tindakan Israel itu mengejutkan.

“Semua gambar yang dipaparkan dari para aktivis di kapal-kapal menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah warga awam dan bertujuan membawa misi kemanusiaan dengan bekalan perubatan di atas kapal. Tindakan Israel ini pasti akan mengejutkan masyarakat antarabangsa atas apa yang telah mereka lakukan,” katanya.

Ketika ini, ribuan masyarakat Turki mengadakan demonstrasi aman di hadapan kedutaan Israel.

Untuk makluman, seramai lapan orang wakil sukarelawan dari Malaysia berada dalam konvoi kemanusiaan tersebut di atas kapal Mavi Marmara yang diketuai oleh Sdr Noorazman Shamsudin dari HALUANPalestin bersama empat orang lagi juga dari HALUANPalestin dan baki dari Yayasan Amal Malaysia, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Muslim Care.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Konvoi Gaza diserang, 2 mati

31 Mei: Mavi Marmara, Laut Tengah (10.30 pagi waktu Malaysia) Konvoi Freedom Flotilla diserang, menurut laporan televisyen di Turki, dua orang aktivis meninggal dunia, hampir 30 orang cedera.

Laman web Haluan Palestin yang memetik laporan dari live streaming IHH melaporkan bahawa dua orang yang telah meninggal dunia dan hampir 30 orang tercedera kerana serangan helikopter dari Israel.

Belum ada keterangan mengenai siapa yang terkorban dan yang tercederaa tersebut.

Serangan yang dilakukan Israel itu dilakukan saat kapal Mavi Marmara sedang berada di perairan antarabangsa.

Untuk mengikuti lintas langsung perkembangan tersebut, sila layari http://www.livestream.com/insaniyardim/

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Tentera Laut Israel mula kepung Konvoi Gaza


31 Mei: Konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa Gaza (Freedom Flotilla) dalam keadaan bersedia tatkala menghampiri perairan Gaza setelah dimaklumkan bahawa ada beberapa buah kapal yang dikenalpasti dari armada Angkatan Laut Israel mendekati ke arah Mavi Marmara.

Laman web Haluan Palestin yang memetik sumber melaporkan, konvoi Freedom Flotilla pada jam 7.30 pagi ini waktu Malaysia diekori oleh kapal Israel antaranya sebuah kapal selam, tiga kapal perang dan sebuah helikopter.

Namun Mavi Marmara tetap bergerak dengan berhati-hati.

Presiden IHH, menyeru agar semua negara yang prihatin untuk mendesak dan memberi tekanan kepada Israel agar membuka jalan bagi konvoi bantuan kemanusiaan memasuki Gaza. Terdapat lebih dari 50 buah negara menyertai konvoi terbesar itu.

Menurut sumber, di Turki telah diadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Israel mendesak Israel membatalkan hasrat mereka menyekat perjalanan konvoi.

Beberapa saat menjelang Maghrib, staff IHH mengumumkan kepada seluruh peserta konvoi Freedom Flotilla untuk memastikan diri mereka dalam keadaan siap sedia sebelum pukul 7 pagi ini waktu Antalya, Turki atau sekitar pukul 11 WIB.

Semua peserta diarahkan untuk menyimpan passport dan dokumen berharga masing-masing seperti dompet dalam plastik dan membawanya di badan untuk berjaga-jaga kemungkinan terpaksa berenang.

Konvoi Freedom Flotilla mengharungi laut sepanjang malam menuju Gaza. Dijangkakan bahawa keenam kapal konvoi armada kemanusiaan ini, termasuk Mavi Marmara yang terbesar, akan berhenti sekitar 40 batu dari Pantai Gaza untuk menanti hari siang kembali sebelum berusaha menembus sekatan kapal-kapal Angkatan Laut Israel.

Namun, sebagaimana dilaporkan sebelum ini, Israel telah memperluas zon ketenteraan mereka dari 20 batu kepada 68 batu di perairan laut.

Tindakan Israel menyekat bantuan kemanusiaan yang dibawa oleh konvoi Freedom Flotilla adalah melanggar perundangan antarabangsa kerana yang dihadapi Israel saat ini bukanlah situasi perang melainkan sekelompok aktivis kemanusiaan yang membawa bantuan perubatan, pendidikan dan pembinaan bagi rakyat Gaza yang menderita akibat sekatan yang dikenakan.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Israel sedia serang armada kemanusiaan Gaza


30 Mei 2010:

Pasukan ketenteraan Israel kini di bawah pengawasan dan arahan terus daripada kerajaan negara haram itu telah bersedia untuk misi yang mereka namakan Operation Sky Wind (Operasi Angin Laut) bagi menyerang dan menangkap aktivis armada bantuan kemanusiaan Gaza atau Freedom Frotilla yang akan bergerak menuju ke Gaza dalam masa terdekat.

Sumber Israel melaporkan bahawa angkatan laut telah bersiap sedia dengan semua persiapan untuk pengambilalihan kapal-kapal tersebut, sama ada secara paksa jika perlu, dalam usaha untuk mengelakkan daripada konvoi tersebut berlabuh di pantai Gaza.

Laman web Haluan Palestin hari ini melaporkan operasi itu dipimpin langsung oleh Komando Angkatan Laut Israel, Mayor Jenderal Elizer Marom.

Serangan yang dirancang meliputi empat tahap:

Pertama, tahap amaran. Tentera Laut akan sentiasa berusaha untuk menghentikan kapal daripada menghampiri garis sempadan yang ditentukan yang dikategori sebagai garis merah, apabila kapal menceroboh garis yang ditentukan, mereka akan diberi amaran bahawa mereka telah “melanggar undang-undang”.

Kedua, menghentikan dan mengawal kapal-kapal tersebut; sekiranya kapal-kapal gagal mematuhi arahan Tentera Laut Israel, tentera laut Israel akan menyerang dan seterusnya mengambilalih lapan buah kapal yang mengangkut hampir 800 aktivis. Kapal-kapal akan dibawa ke Asdod Port dan aktivis akan ditahan di sebuah khemah besar yang telah dipasang untuk tujuan ini.



Ketiga, diasingkan dan dihantar balik; tentera dan polis Israel memerintahkan para aktivis ditahan untuk menandatangani kenyataan menerima untuk dihantar balik ke negara asal mereka, dan akan dihantar pulang melalui udara di Lapangan Terbang Ben Gurion.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Konvoi Gaza berhenti di tengah Laut Mediterranean


30 Mei 2010:
Konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza masih terhenti di tengah Laut Mediterranean berhampiran perairan Cyprus.

Walaubagaimanapun, Lifeline4Gaza semalam melaporkan penangguhan itu tidak mengganggu jadual asal konvoi untuk tiba di Gaza.

Dalam satu sidang media di atas kapal Mavi Marmara semalam, Presiden IHH, Bulent Yildirim menjelaskan bahawa konvoi itu masih menunggu sebuah kapal penumpang daripada Cyprus yang akan membawa ahli-ahli parlimen Eropah.

Kapal tersebut dijangka sampai dalam masa terdekat.

Terdahulu, sebuah kapal kargo IHH telah mengalami sedikit kerosakan. Kerosakan tersebut telah dipulihkan sepenuhnya oleh sekumpulan jurutera dan juruselam yang dihantar daripada kapal Mavi Marmara.

Walaubagaimanapun, kapal Rachel Corries yang telah berlepas daripada Ireland dijangka mengambil masa lebih sehari lagi untuk sampai.

Dalam satu kenyataanya, Bulent menegaskan bahawa ancaman berterusan rejim zionis Israel terhadap konvoi kemanusiaan itu sekali-kali tidak membuatkan mereka takut mahupun menukar perancangan.

“Peserta paling muda dalam kapal ini berumur kurang daripada setahun. Peserta paling tua pula berumur lebih daripada 80 tahun.

“Kami tidak membawa sesuatu apa senjata pun. Jadi kalau Israel ingin menggunakan kekerasan terhadap kami, mereka akan benar-benar bertindak di luar akal yang waras,” kata Bulent.

Semua mereka yang menggunakan akal dapat menerima bahawa kapal itu hanya membawa bahan bantuan kemanusiaan.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Konvoi kemanusiaan dijangka tiba di perairan Gaza hari ini


29 Mei 2010
Pasukan polis laut Gaza telah membuat beberapa latihan bagi menyambut ketibaan konvoi kemanusiaan antarabangsa Gaza termasuk bagi tujuan menyelamatkan kapal daripada sebarang ancaman zionis.

Semalam, laman web http://www.lifeline4gaza.org/ melaporkan kapal-kapal bantuan itu dijangka tiba di perairan Gaza pada hari ini.

Laporan itu menyebut, setelah belayar sejak lebih 12 jam lalu daripada pelabuhan Yeni Antalya di Turki, kapal Mavi Marmara kini sedang berada di tengah Lautan Mediterranean berhampiran perairan Cyprus.

Kapal Mavi Marmara sudah mula bergabung dengan sebuah kapal daripada Greece yang bernama Challenger-2. Mereka menunggu ketibaan tujuh buah kapal-kapal lain. Kapal-kapal itu dijangka meneruskan pelayaran terus ke Gaza apabila kesemua sembilan buah kapal bertemu di perairan tersebut.

Semangat 11 orang sukarelawan Malaysia yang mengikuti konvoi ini begitu tinggi sekali walaupun ada sebahagian daripada mereka yang tidak begitu selesa apabila mengikuti pelayaran jauh di lautan dalam buat pertama kali. Ketabahan mereka ditingkatkan lagi dengan kerjasama yang sangat erat dengan sukarelawan daripada negara jiran, Indonesia.

Pagi jam 10:00 pagi semalam, sukarelawan-sukarelawan daripada Malaysia dan Indonesia telah mengambil kesempatan bersama-sama Syeikh Ra’id Salah, Ketua Pertubuhan Palestina 1948 untuk mendapatkan nasihat dan berkongsi pengalaman beliau dalam memperjuangkan pembebasan Palestin dan Masjid al Aqsa.

Menurut Sheikh Ra’id, beliau menjangkakan akan berlaku Nakbah ke-2 dalam masa terdekat ini kerana Israel berusaha keras untuk mengusir 1.5 juta penduduk Palestin 1948 dan juga menghapuskan semua generasi 1948 yang kini bertebaran di kem-kem pelarian.

Beliau turut memberi amaran tentang perancangan Zionis untuk meruntuhkan Masjid al Aqsa sebelum akhir tahun 2010. Sambil mengemukakan bukti-bukti dakwaan beliau itu, Sheikh Ra’id menyebut bahawa isu Al Aqsa adalah isu al-Quran yang wajib dipikul oleh semua orang beriman.

Semalam dalam satu sidang media bersama-sama wakil-wakil daripada lebih 45 buah negara, Haji Noorazman Mohd Samsuddin yang berucap mewakili NGO-NGO daripada Asia Tenggara telah menegaskan bahawa masyarakat Nusantara terhutang budi kepada negara Palestin kerana mereka adalah merupakan antara negara yang pertama mengiktiraf kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kapal kemanusiaan Gaza dikepung helikopter Israel



Keselamatan konvoi sembilan kapal kemanusiaan Gaza kini terancam ekoran sedang dikepung helikopter komando Israel dan cuba untuk merampas kapal tersebut.

Menurut Setiausaha Masjid Jamek Raja Tun Uda, Ustaz Nasaruddin Hasim yang menerima mesej dari sana berkata, ketika ini konvoi sedang berada di perairan Gaza dan jam 4.30 petang (waktu Malaysia) akan berhadapan dengan kapal Israel.

Beliau mengumumkan perkara itu sebaik selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda Shah Alam, lebih 500 anak jemaah mendirikan solat hajat memohon bantuan daripada Allah SWT.

Perkara ini disahkan oleh Naib Presiden Muslim Care, Zulkifli Mohd Nani yang baharu sebentar menghubungi Harakahdaily; kini konvoi sedang berada dalam ancaman kerana segala kemungkinan boleh berlaku.

Untuk rekod, seramai 11 rakyat Malaysia turut berada di dalam kapal induk menyertai konvoi itu yang berlepas sejak semalam dari pelabuhan di Turki.

Mereka diketuai oleh Noorazman Mohd Samsuddin dari Haluan Palestin yang menjadi kordinasi utama wakil Malaysia, Dr Mohd Arba’ai Shawal, Dr S Muhamad Haleem S Hassan, Dr Selamat Aliman, Jamuliddin Elias (Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia), Al Hami Husain Suhaimi, Mohd Nizam Mohamad (Wakil Media) dan Abdul Halim Mohamed Redzuan (Muslim Care) dan tiga yang lain.

Dalam pada itu, Haluan Palestin di dalam blognya di bawah tajuk Israel Mengesahkan Akan Menghalang Armada Bantuan Kemanusiaan Memasuki Gaza:

Kabinet politik Kerajaan Haram Israel memutuskan untuk mengarahkan tentera dan angkatan laut tidak membenarkan armada bantuan kemanusiaan terbesar atau “Freedom Flotilla” memasuki pantai Gaza dan mereka akan memastikan tidak ada sesiapa yang akan memasuki Gaza.

Sebaliknya Israel mengarahkan kumpulan hak asasi manusia dan aktivis yang mahu menghantar bekalan ke Gaza, mereka harus menghantar kargo mereka ke Israel untuk diperiksa dan “diluluskan.”

Setelah mengosongkan kargo di Israel, kapal harus belayar kembali ke tempat mereka berasal, begitulah arahan dari pemerintah zalim Israel.

Tentera Israel dan tentera laut berkata bahawa mereka tidak akan membenarkan kumpulan bantuan kemanusiaan tersebut memasuki Gaza. Malahan jika perlu, kapal-kapal akan diambil alih oleh tentera Israel sekiranya kumpulan bantuan tersebut masih mahu memutuskan untuk meneruskan perjalanan mereka.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Doakan kejayaan konvoi kemanusiaan antarabangsa Gaza


27 Mei 2010
“Sama-sama kita doakan kejayaan konvoi ini membantu saudara-saudara kita di Palestin.”

Demikian antara catatan di laman web Lifeline4Gaza semalam mengenai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza.

“Insya Allah kami tetap bertekad untuk memastikan barangan ini sampai ke Gaza, walaupun Israel tetap bertegas untuk menghalang. Apakah kami yang membawa bekalan pensil dan pemainan kanak-kanak ini layak digelar pengganas? Ataukah mereka yang menghalang bantuan ini sebenarnya pengganas dan lanun?

“Justeru, sama-sama kita doakan kejayaan konvoi ini membantu saudara-saudara kita di Palestin.”



Lifeline4Gaza melaporkan, dua buah kapal kargo Turki yang menyertai sembilan buah kapal konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza akan membawa antara lain, kelengkapan hospital, ubat-ubatan, peralatan sekolah dan juga bahan-bahan binaan.

Laman web melaporkan media-media di Israel terus membuat pelbagai tuduhan bagi menggagalkan misi konvoi ini.

Namun senarai rasmi barangan yang telah dikeluarkan oleh penganjur utama konvoi petang Selasa, 25 Mei, iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) jelas menunjukkan bahawa kapal-kapal yang menyertai konvoi ini sebenarnya akan membawa keperluan-keperluan asas dan mendesak bagi membantu rakyat Gaza yang saban hari berhadapan dengan maut akibat kekejaman berterusan Zionis Israel.

Keadaan kemanusiaan di Gaza adalah sangat menyedihkan akibat sekatan yang dikenakan oleh Israel sejak lebih lima tahun lalu. Kehidupan di Gaza menjadi semakin mengerikan akibat serangan Operation Cast Lead Israel, di mana hampir semua prasarana dan keperluan asas dimusnahkan. Mereka yang tercedera atau sakit secara umumnya hanya mampu menunggu saat kematian kerana tidak ada kemudahan rawatan dan dihalang daripada mendapat rawatan di pusat-pusat rawatan di luar Gaza.

Di samping sekatan terhadap pergerakan rakyat Gaza ke luar daerah, sebarang bantuan daripada negara luar juga dihalang. Justeru, rakyat Gaza terus cekal dan bersabar hidup di bawah runtuhan-runtuhan tanpa sebarang perhatian daripada dunia luar mahupun negara jiran. Konvoi bantuan kemanusiaan ini diharapkan akan dapat membina semula kehidupan di Gaza.

Ketika menyampaikan taklimat kepada media-media antarabangsa yang akan turut menyertai konvoi tersebut di Stadium Kepez Arena, Antalya, pegawai kanan IHH, Nalan Dal bersama ketua bagi kelengkapan teknikal media IHH, Umit Sonmiz telah menyenaraikan barangan yang akan dibawa oleh kedua-dua buah kapal tersebut, yang masing-masing diberi nama Kapal “Defne Y” dan Kapal “Gaza”.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Tanah KTMB: PAS tuntut Najib bentang di Parlimen



27 Mei 2010
PAS menuntut satu penjelasan dan pembentangan khas berkaitan penyerahan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar kepada Singapura dalam sidang parlimen akan datang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita tidak mahu, suatu hari nanti anak cucu kita marah kerana tanah KTMB di Woodlands digadai hanya dengan sebiji durian,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar).

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana Najib yang juga Presiden Umno hanya mengambil masa beberapa jam untuk berbincang dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong untuk memutuskan penyerahan tanah milik KTMB di Tanjung Pagar kepada syarikat usaha sama Malaysia-Singapura, M-S Pte Ltd.

Katanya, dua hari selepas dijamu makan durian di Pulau Sentosa, Najib menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri tanpa merujuk kepada Parlimen dan kabinet.

Beliau berkata, Najib membuat keputusan menerima kerjasama Hsien Loong yang diajukan tanpa sebarang kertas cadangan dan kajian rasmi.

“Keputusan ini dicurigai rakyat yang menganggap Najib gadai tanah KTMB dengan sebiji buah durian sahaja,” ujarnya.

Menurutnya lagi, 271 hektar tanah milik KTMB di Tanjung Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah di Bukit Timah kini diserahkan kepada sebuah syarikat yang belum lagi ditubuhkan.

Tambahnya, syarikat usaha sama Malaysia-Singapura yang dikenali sebagai M-S Pte Ltd, akan ditubuhkan sebelum 31 Disember tahun ini di mana Khazanah Nasional memegang 60% kepentingan dan Temasek Holdings Limited akan memegang baki 40%.

Ini, katanya bermakna dari jumlah 271 hektar tanah milik KTMB, 40% kini sudah sah menjadi milik Singapura melalui perkongsian pelaburan.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Onilne Preview: Pemuda PAS 'gempur' premis judi

26 Mei 2010
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan mengedarkan risalah membantah judi kepada pengunjung premis judi di seluruh negara bermula hari ini.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemuda akan ditempatkan di hadapan premis judi secara bergilir-gilir mengikut shif sehinggalah kerajaan membatalkan judi bola sepak Piala Dunia 2010 bermula Jun ini.

Menurutnya juga, DPPP mengajak semua insan yang anti- judi dan prihatin dengan kemungkaran ini bersama-sama mereka mengedarkan risalah berkenaan.

"Bermula hari ini sehingga lesen judi dibatalkan, DPPP mengarahkan semua pemuda PAS dan menjemput semua insan prihatin yang anti judi supaya membuat shif secara bergilir-gilir untuk menunggu di hadapan kedai sport toto dan lain-lain premis judi di seluruh negara untuk mengedarkan risalah bantah judi kepada pelanggan atau pengunjung premis perjudian tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau juga memberitahu, risalah berkenaan juga boleh didapati di blog Gerakan bantah Judi di http://bantahjudi.wordpress.com.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: DHPP ubah pandangan serong bukan Islam terhadap Islam

24 Mei 2010

Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw mengakui penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang kini sudah dinaik taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) banyak mengubah sikap dan pandangan bukan Islam terhadap Islam.

Beliau yang merupakan antara tulang belakang KPP yang ditubuhkan sejak 2004 berkata, penubuhan tersebut merupakan titik tolak kepada pencerahan pemikiran orang bukan Islam yang sering dimomokkan dengan pandangan serong terhadap Islam dan PAS itu sendiri.

"Penubuhan Kelab Penyokong PAS pada tahun 2004 yang lalu , saya lihat banyak perubahan sikap di kalangan masyarakat bukan Islam PAS.

"Usaha-usaha yang dilakukan oleh PAS untuk menyatukan masyarakat bukan Islam nampaknya sudah nmendatangkan hasil," katanya sewaktu berucap di majlis pelancaran DHPP, di sini, semalam.

Sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada PAS khususnya Lajnah Perpaduan Nasional di bawah Dr. Mujahid Yusuf Rawa, beliau juga meletakkan harapan agar PAS terus melaksanakan penyatuan kaum yang tidak dapat dilakukan oleh Barisan Nasional selama ini.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan PAS yang meluluskan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS ini dan kita harap apa yang tidak dapat dilakukan oleh Barisan Nasionl, dapat dilakukan olah PAS.

Tegasnya, beliau akan memastikan DHPP dapat mencapai misi dan visi untuk mewujudkan negara Malaysia yang aman damai dengan penyatuan semua kaum.

"Kita dalam DHPP mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah syurga, kita dapat hidup dengan aman dan harmoni. Marilah kita sama-sama merealisasikan usaha ini.

Pang Chaw juga berkata, beliau menghormati prinsip Islam yang tidak pernah menghalang sesiapa sahaja untuk melakukan kebaikan.

"Dalam Islam tidak pernah menghalang kita untuk buat kerja baik," katanya.


untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: PAS tetap pertahan empat prinsip utama negara



21 Mei 2010
Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa PAS akan tetap mempertahan dan mendaulatkan empat prinsip utama dalam negara iaitu Islam agama rasmi, hak istimewa orang Melayu, bahasa kebangsaan dan kedudukan Raja-raja Melayu.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, empat prinsip tersebut akan dipertahankan oleh PAS dalam apa jua cara dan situasi.

Tegasnya, Islam akan tetap dipertahankan sebagai agama rasmi negara yang harus dimartabat dan didaulatkan, begitu juga hak keistimewaan orang-orang Melayu sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menambah, Bahasa Kebangsaan yang menjadi penyatuan utama semua rakyat dalam negara ini akan tetap dimartabatkan.

“Hak Sultan-Sultan Melayu jua akan tetap dipertahankan supaya ia tidak diperkotak-katikkan dan menjadi payung kepada semua rakyat yang berada dalam negara ini," katanya.

Ke empat asas ini juga telah dipersetujui oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat untuk dipertahankan kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Persetujuan ini telah termaktub dalam satu dokumen yang ditandatangani oleh pemimpin ke tiga-tiga parti dalam Pakatan.

Mujahid yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang turut mencabar Perkasa yang sebelum ini lantang menguar-uarkan bahawa mereka adalah sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak agama Islam dan bangsa Melayu supaya turun padang bersama-sama untuk berdemonstrasi bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen perjudian sempena bola sepak Piala Dunia tidak lama lagi.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Jenazah Ramli selamat dikebumi, kes disiasat mengikut seksyen 302

20 Mei 2010
Jenazah Allahyarham Ramli Mohd selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Keli, Tumpat kira-kira pukul 10.15 malam tadi.

Sebelum itu jenazah telah disembahyangkan di masjid Muhammadi, Kota Bharu selepas solat Isyak.

Solat jenazah dipimpin oleh Mufti Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Sukri Mohamad.

Jenazah tiba di masjid Muhammadi pada pukul 9 malam daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) selepas kerja-kerja bedah siasat selesai dilaksanakan sekitar pukul 7.30 malam.

Hadir sama Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan pegawai-pegawai dari pejabat Sultan serta Majlis Agama Islam Kelantan.

Ramli bekas seorang anggota tentera berkhidmat sebagai Pengawal Keselamatan Istana sejak 17 tahun lalu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.15 pagi semalam di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu setelah dua minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi.

Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 1 Mei lalu ekoran cedera parah di bahagian dada akibat ditembak.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Pulau Pinang sedia RM1.75 juta bantu SAR, tahfiz


20 Mei 2010
Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menambah peruntukan kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah tahfiz pada tahun ini menjadikan RM1.75 juta berbanding tahun lepas hanya RM1.5 juta.

Demikian kata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada majlis sumbangan peruntukan untuk SAR 2010 di Madrasah Al-Aminiah, Kampung Pertama, dekat sini semalam.

(Gambar: Melawat makmal sains Madrasah Al-Aminiah)

Menurutnya, daripada peruntukan tersebut, RM380,950 diberikan kepada 102 sekolah rendah agama dan RM25,000 lagi kepada lima buah sekolah tahfiz.

"Kerajaan negeri berjaya menambah peruntukan RM1.5 juta peruntukan untuk sekolah agama rakyat menjadikan RM1.75 juta tahun ini. Bantuan terbuat menggambarkan Kerajaan Pakatan Rakyat prihatin terhadap SAR yang pernah dibatalkan peruntukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN)," tegasnya.

Kerajaan negeri juga, katanya senantiasa menitik beratkan tentang kualiti pembelajaran untuk setiap generasi agar menjadi generasi berilmu dan cemerlang.

Justeru itu, tambahnya Kerajaan Pakatan Rakyat menyediakan satu Hab Pendidikan Cemerlang di Balik Pulau seluas 200 ekar demi menarik institusi pengajian tinggi yang terunggul.

"Hab Pendidikan Cemerlang di Balik Pulau dengan keluasan 200 ekar bakal mewarnai bidang pendidikan Islam suatu hari nanti di negeri ini. Namun, sekarang projek berkenaan masih dalam perbincangan mungkin dalam tempoh setahun atau dua tahun ia akan siap," tegas beliau.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Dun Kedah tidak dibubarkan 22 Mei

20 Mei 2010
Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Hasan Abdul Razak menafikan perkhabaran kononnya Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 22 Mei ini.

Ini ekoran dakwaan kononnya kerajaan negeri semakin kurang mendapat sokongan apabila akan berlaku lagi Adun yang lompat parti.

Katanya, semua khabar angin itu berpunca daripada iri hati musuh Pakatan Rakyat yang tidak senang duduk kerana apa yang dilakukan oleh kepimpinan sekarang menyedarkan rakyat bahawa semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dulu banyak berlaku penyelewengan, rasuah, penipu dan memperdaya rakyat.

Menurut beliau lagi, kenapa tiba-tiba isu itu timbul sedangkan PAS yang menguasai negeri itu mempunyai 16 kerusi, DAP (1) dan PKR (3) menjadikan semuanya 20 kerusi perlu tunduk kepada BN yang hanya ada 13 kerusi termasuk satu kerusi kosong di Dun Kota Seputeh.

"Buat apa nak bubar Dun kerana kita mempunyai kekuatan 20 kerusi manakala BN 13, beza tujuh kerusi dan dijika dicampur dengan 'katak' ia masih ketara.

“Itu belum ditolak satu kerusi kosong di Kota Seputeh, " jelasnya yang berceramah bersama Ketua Umum dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifudin Nasution Ismail di Kampung Pertama, Permatang Pauh malam semalam.

Katanya, Kerajaan Negeri Kedah bertuah kerana Menteri Besar berjaya meningkatkan tahap ekonomi daripada kuncup semasa era BN.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Pakar forensik bedah siasat jenazah Ramli petang ini

19 Mei 2010
Jenazah pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, 50, yang ditembak dari jarak lelaki tidak dikenali 1 Mei lalu, dijangka disembahyangkan di Masjid Muhammadi petang ini.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II kira-kira jam 3.15 pagi tadi.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata, pakar forensik daripada Kuala Lumpur dijangka tiba jam 3 petang ini untuk melakukan bedah siasat.

“Jenazahnya akan dikapan di hospital berkenaan selepas itu sebelum dibawa ke Masjid Muhammadi untuk disembahyangkan. Jenazahnya akan dibawa pulang ke kampungnya di Kok Keli, Tumpat untuk disemadikan,” katanya ditemui di pekarangan rumah mayat di sini.

Pada kejadian 1 Mei lepas, Ramli sedang menunggang motosikal pulang ke rumah selepas tamat bertugas, ditembak seorang suspek yang tidak dikenali di Kampung Kok Keli.

Akibat serangan itu beliau mengalami kecederaan parah akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat.

Sebelum ini doktor berjaya mengeluarkan sebutir peluru yang melekat pada dadanya. Namun beliau masih berada dalam keadaan kritikal dan semalam organ utamanya dikatakan dijangkiti kuman.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Sibu: Politik baru terus diperkasa

18 Mei 2010

oleh Dr Dzulkefly Ahmad

Ini adalah komentar ringkas saya tentang keputusan PRK Sibu.

Bagi saya samada pimpinan Umno/BN terima atau tidak kekalahan ini adalah tidak penting. Samada mereka mahu menunaikan pelbagai janji yang telah pun mereka tabur kepada pengundi di Sibu adalah urusan mereka.

Bagi saya yang penting adalah hakikat ‘Politik Baru’ kian terserlah. Saya tidak hanya mengatakan ini setelah kemenangan YB Wong Ho Leng yang mewakili DAP/Pakatan di Sibu. Saya tetap menyebutkan fenomena ini setelah kekalahan tipis Pakatan di Hulu Selangor. Ia tidak bersabit samada Pakatan memang atau kalah.

Antara ciri utama Politik Baru ialah rakyat dan pengundi tidak lagi mampu digula-gulakan oleh pihak yang berkuasa. Pengundi bertindak dengan maklmat. Media baru memerdekakan mereka. Pemberian saat saat akhir meskipun berjumlah jutaan ringgit tidak akan dinilai oleh rakyat/pengundi. Mungkin mereka mengambil segala pemberian tetapi mereka tidak jamin akan memberi undi kepada si pemberi kalau pun mereka itu Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Ini jelas telah disaksikan di Hulu Selangor meskipun tidak merata kepada semua kaum etnik. Kaum Cina lebih tegas dari orang Melayu atau India disegi ini. Kelompok pengundi bandar atau pinggir bandar atau lebih tepat lagi yang memilikki maklumat dan informasi, lebih tegas pendirian mereka tentang hal ini.

Mereka menolak cubaan ’merasuah’ mereka di saat-saat akhir. Mendapat 48% undi bukan satu perkara mudah apatah lagi berdepan dengan sogokan lebih RM 100 juta. RM 3 juta SRJK (C) di Rasa Hulu Selangor dan RM 5jta di Rejang Park di Sibu akan terpahat sebagai tanda aras kekebalan pengundi dalam Politik Baru.

PRK Sibu sekali lagi menunjukkan fenomena kesedaran yang sama. Peningkatan undi kepada calon Pakatan bukan sahaja disaksikan di kalangan pengundi Cina, bahkan di kalangan Melayu-Melanau, walaupun sedikit. Saya berkempen 4 hari di Sibu merentasi semua kaum etnik dan mendapati yang di rumah panjang sekalipun sudah faham siapa yang berkhidmat dan siapa yang hanya beri benda dan wang ringgit pada waktu berkempen sahaja. Umno/BN gagal membawa kembali rakyat/pengundi di negara ini kepada garis dan amalan Politik Lama tajaan mereka.

Ciri kedua paling menggembirakan saya, mereka juga sudah mula mengerti akan nilai-nilai keadilan dan kesaksaman. Mereka celik dengan gelagat pimpinan yang membolot kekayaan negeri. Mereka juga tidak mudah ditakut-takutkan dengan ugutan dan ancaman.

Menakutkan pengundi Cina dengan negara Islam juga tidak semudah itu ditelan mereka. Bogey atau hantu itu tidak lagi mereka terima seperti zaman silam. PAS wajar memahami bagaimana untuk terus meruntuhkan tembok prajudis terhadap Islam dan parti Islam itu. Perjuangan Menegakan Keadilan Untuk Semua sebagai matlamat Syariat adalah konsisten dengan dasar Pakatan. Momokan ‘Satu Undi DAP adalah Satu Undi Untuk Negara Islam’ terkubur di Sibu!

Kini rakyat tahu bahawa masalah utama mereka tidak kian selesai sebab pemimpin tidak peduli dan tidak bersungguh untuk menyelesaikan masalah mereka. Kalau di Sibu jelasnya ialah masalah banjir, tanah, kemiskinan dan pekerjaan untuk golongan remaja.

untuk berita lanjut, sila klik disini


Harakah Online Preview: DAP rampas kembali Sibu, bayangan benci Taib

16 Mei: Calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Sibu menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi pada pilihan raya kecil kawasan parlimen ini, hari ini. Beliau yang juga Adun Bukit Assek mendapat 18,845 undi, calon BN memperolehi 18,447 undi. Manakala calon Bebas, Narawi Haron sekadar mengutip 232 undi dan hilang deposit.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng, pada jam 10.57 malam tadi di Dewan Suarah di sini.

Seramai 37,919 atau 69.33 peratus daripada 54,695 pemilih berdaftar mengundi di 45 pusat pengundian.

Bilangan itu meningkat jika dibandingkan dengan 36,379 atau 67.77 peratus daripada 53,679 pemilih berdaftar yang keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan yang merupakan Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April lalu.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: "Jangan lupa undi DAP"-Nik Aziz

5 Mei: Biar pun tinggal beberapa jam lagi lebih 54,000 pengundi di Sibu akan membuang undi, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan mereka jangan lupa mengundi calon DAP.



"Saya minta semua pengundi undi calon DAP. Ini kerana DAP sekarang berada bersama PAS dan KeADILan dalam Pakatan Rakyat.

"Orang PAS dari seluruh negara datang membantu kempen di Sibu biar pun habis duit dan tenaga tak apa asalkan dapat berkhidmat kepada Islam.

"Jadi saya minta rakyat Sarawak di Sibu tolong undi calon Pakatan iaitu DAP. Di mana sahaja ada calon PAS, undi PAS. Kalau tidak ada calon PAS undi calon PKR, dan kalau tidak ada calon PKR undi DAP," katanya di sini.

Pertarungan akhir mempertahankan parlimen Sibu menyaksikan hampir seluruh menteri turun berkempen termasuk di rumah panjang dan kampung Melayu dan Melanau.

Mereka membawa bersama janji-janji pembangunan yang ditabur ke seluruh pelusuk bumi Sibu.

Berdasar kepada gerak kerja tersebut kelihatan Umno dan Barisan Nasional (BN) berdepan suasana sukar untuk mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal ke enam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, perubahan yang ketara berlaku kepada kepemimpinan DAP sekarang di mana mereka lebih terbuka dan bersikap intelektual.

Menurutnya dahulu DAP tidak mahu mendampingi PAS kerana perjuangan Islam yang dibawa, namun sekarang mereka sudah faham.

"Sekarang pemimpin PAS dan DAP boleh berceramah bersama. Ketika ceramah saya sebut tentang Islam dari aspek ekonomi, sosial dan semua sudut kehidupan berpaksikan Islam.

"Dan alhamdulillah mereka terima. Apa sahaja perkara yang tidak faham mereka tanya kami. Pemimpin DAP sekarang kebanyakan intelektual, berpelajaran dan berfikiran terbuka. Sekarang ramai pemimpin DAP sebut Assamualaikum," katanya.

Kata beliau situasi itu berlaku sebagaimana Nabi Muhammad saw pernah meminta orang Yahudi berkerjasama dengan orang Islam di Madinah.

Kalau ada musuh yang menentang Yahudi Nabi Muhammad saw akan membantu Yahudi. Dan kalau ada musuh menentang Islam di Madinah Nabi Muhammad meminta Yahudi datang membantu.

Beliau menjelaskan dahulu DAP menentang kerjasama dengan PAS kerana mereka tidak faham Islam.

Kata beliau usahkan DAP, Melayu Umno pun marah kepada PAS kerana memperjuangkan Islam sehingga didakwa boleh menimbulkan pecah belah dan tiada kemajuan.

Menurutnya pemimpin DAP sekarang mendengar sendiri mengenai Islam daripada pemimpin PAS dan tidak lagi terpengaruh tindakan pemimpin Umno memburukkan Islam.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Judi bola sepak: PAS, PKR DAP bantah keras


13 Mei: PAS, PKR dan DAP walaupun pemimpin dan ahlinya berbeza agama dan bangsa sepakat membantah keras judi bola sepak yang diluluskan oleh Menteri Kewangan kepada Kumpulan Berjaya.

Dalam kenyataan berasingan mereka menyifatkan langkah ini satu yang silap dan hanya menghalalkan segala penyakit sosial yang berterusan di negara ini.

Semalam, media melaporkan, Menteri Kewangan telah meluluskan lesen judi bola sepak piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya dengan alasan untuk mengawal judi secara gelap.

Umno undur ke belakang - PAS

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, langkah pihak kerajaan memperkenalkan lesen judi sukan dalam negara pada masa sekarang ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.

Ianya menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada pada waktu sekarang ini telah bankrap idea dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam.

Inilah yang dirancang oleh penjajah dan Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan yang ada di waktu ini telah membawa semakin banyak perkara-perkara negatif selepas negara mencapai kemerdekaan, malah lebih banyak dari yang dilaksanakan oleh penjajah itu sendiri, katanya dalam satu kenyataan.

Hasilnya, kata beliau, wajah Islam yang cuba dibawa oleh Umno dengan mendirikan masjid, pusat Islam dan aktiviti keagamaan ini menjadi topeng dan tempelan kosmetik sahaja, dan dalam masa yang sama mereka merobek Islam dari belakang.

Akibatnya Umno juga telah menunjukkan satu wajah yang sangat salah dengan hakikat tasawwur ajaran Islam yang sebenar, katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang Melayu beragama Islam untuk memahami bahawa di sana terdapat perbezaan di antara Islam dengan bangsa. Islam adalah agama untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan kaum.

"Dalam hal ini kita telah mendapat respon yang sangat baik dari kalangan orang bukan Islam, malah kita juga telah berjaya menarik sokongan rakan-rakan dari DAP dan PKR yang bukan Islam untuk menyokong bagi mengharamkan judi.

"Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam," katanya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: 13 Mei: Hari Perpaduan Rakyat Menolak Politik Perkauman

13 Mei 2010
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mengajak rakyat memasyhurkan tanggal 13 Mei setiap tahun sebagai Hari Perpaduan Rakyat Menolak Politik Perkauman sempena memperingati tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei, 1969 lalu.

"Supaya 13 Mei di mana pihak tertentu mencetuskan rusuhan yang akhirnya mengheret orang Melayu dan Cina saling bergaduh tidak lagi berulang, elok 13 Mei dijadikan Hari Perpaduan Rakyat Menolak Politik Perkauman," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, amalan politik perkauman secara melampau oleh pihak tertentu merupakan punca utama tercetusnya tragedi berdarah tersebut.

"Sesiapapun tidak boleh menolak kebenaran sejarah bahawa pergaduhan segelintir rakyat Melayu (dan) Cina ini berpunca politik perkauman.

"Mereka tidak bergaduh atas nama agama, jauh lagi atas nama parti Islam PAS," ujar beliau.

Disebabkan itu, menurut beliau, walaupun rusuhan kaum berlaku di ibu negara dan beberapa negeri tertentu, tetapi tidak berlaku di Kelantan yang pada ketika itu diperintah oleh PAS.

Katanya lagi, pembabitan pemimpin Umno waktu itu menggembleng orang-orang Melayu yang dipercayai umum adalah ahli-ahli Umno seakan mencerminkan amalan politik Umno sendiri.

Menurut beliau, Umno serta parti-parti perkauman yang lain pun perlu meninggalkan politik perkauman sekiranya mereka jujur mahu melihat perpaduan di kalangan rakyat.

"Hari Perpaduan Rakyat di sini ialah rakyat diajak berpadu menentang politik perkauman termasuk yang diperjuangkan oleh Umno secara salah, zalim," ujarnya lagi.

untuk berita lanjut, sila klik disini