oleh Wan Nik Wan Yussof
Isu perkauman, agama, bahasa dan hak istimewa orang Melayu adalah antara isu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka bagi masyarakat Malaysia. Justeru itu, selepas tercetusnya kontroversi isu penggunaan kalimah Allah kepada “the herald” milik gereja Kristian, maka keputusan mahkamah tinggi itu dianggap tidak tepat dalam konteks keharmonian beragama di Malaysia.
Sehubungan itu pelbagai pihak kalangan pemimpin dan umat Islam telah memberi pandangan, malah sanggup berdemonstrasi mempertikaikan keputusan tersebut. Paling malang, muncul pula pihak yang bersifat anti-harmoni, telah melancarkan “serangan” ke rumah gereja.
Bagi menelusuri perkembangan kontroversi isu kalimah Allah ini, penulis ini cuba mempamerkan semula beberapa rentetan peristiwa yang bersejarah ini. Antaranya adalah kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti dilapor dalam mstar.com (5 Januari 2010) berkata bahawa PAS menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.
"Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
"Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama," kata Hadi.
Mantan Perdana Menteri yang juga pengasas dasar Islamisasi, Dr. Mahathir pula di dalam blognya (5 Januari 2010) menulis, sebenarnya kalimah "Allah" tidak terdapat dalam kitab Taurat atau Talmud Hebrew atau kitab Injil Kristian dalam bahasa Latin, Greek atau bahasa-bahasa Eropah. Nama bagi Tuhan dalam bahasa Yahudi ialah "Yahweh", yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris sebagai "Jehovah".
”Dalam kitab Injil, Jesus (Isa) dan God adalah sama. Tidak ada kalimah Allah dalam kitab Injil dalam bahasa-bahasa yang disebut di atas.
”Dalam usaha menerangkan agama Kristian di kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, perkataan God diterjemah kepada "Allah" supaya mudah difaham oleh pendengar.
”Mungkin juga kalimah "Allah" dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana menyembah Tuhan yang sama. Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah. Terjemahan ini salah. Sepatutnya perkataan "Tuhan" digunakan untuk God.
”Tetapi dalam agama Kristian terdapat konsep "Trinity" yang mana terdapat "God the Father, God the Son and the Holy Ghost".
Jika dalam bahasa Melayu terdapat dalam kitab Injil atau syarahan berkenaan "Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci", maka tentulah ini akan ditentang oleh orang Islam.
Dalam Islam Allah tidak ada bapak, tidak ada anak. Ia tidak dilahirkan dan Ia tidak melahirkan sesiapa. Allah hanya satu. Ia tidak boleh disekutu dengan sesiapa.
”Di Amerika Syarikat, orang Kristian yang sudah tidak teguh iman biasa berkata dan menulis, "God is dead". Apakah perasaan orang Islam apabila ini diganti denagn "Allah is dead"?
”Di Semenanjung Malaysia kita tidak pernah mendengar orang Kristian menggunakan kalimah "Allah" apabila bercakap berkenaan God dalam bahasa Melayu. Kenapa pula kita sekarang akan mengguna kalimah ini?
”Saya harap pihak Kerajaan berhati-hati dalam perkara ini supaya negara berbilang agama yang aman ini tidak menjadi tegang dan tidak stabil secara berterusan.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada 9 Januari melahirkan kebimbangan dengan kejadian pengeboman tiga buah gereja di sekitar Lembah Klang.
Kebimbangan itu diluahkan berikutan kemungkinan ia berpunca daripada permainan 'tangan-tangan ghaib' yang cuba mengapi-apikan ketegangan dan mengambil kesempatan untuk tampil sebagai pembela Islam bagi mengembalikan sokongan politik yang kini kian pudar.
baca kupasan lebih lanjut disini