21 april 2010
DATO' ZAID IBRAHIM tidak terkejut dengan serangan peribadi yang disasarkan kepadanya oleh Barisan Nasional. Walaupun beliau sedar usaha Umno-BN itu boleh membunuh karier politiknya, beliau bersikap profesional, tidak mahu membalas balik dengan menyebut nama-nama menteri Umno yang kaki botol serta tahi judi.
Baginya, beliau sudah sedar dan insaf dari kesalahannya. Kesedaran itu mungkin tidak timbul jika beliau masih bersama Umno. Ikuti pengakuan ikhlas beliau dalam wawancara eksklusif bersama Harakah, di kediamannya, di Tropicana, Damansara 19 April lepas.
HARAKAH: Nampaknya dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor ini, Dato' diserang dengan begitu hebat. Umno-Barisan Nasional melalui media tali barutnya membuat serangan peribadi dengan mendakwa Dato' seorang 'kaki botol', apa komen Dato'?
DATO' ZAID IBRAHIM: Ingin saya perjelaskan bahawa pendirian saya dalam hal ini, saya suka berterus terang. Saya sebenarnya tidak suka mengungkit kisah yang lama. Semasa saya dalam Umno, ramai pemimpin Umno yang meminum minuman keras, tetapi semua ini, semasa dalam Umno tidak dipersoalkan.
Tetapi selepas saya keluar Umno, menyertai Pakatan Rakyat, peribadi dan karektor saya mula dipersoalkan.
Saya sudah berubah, perkara-perkara yang tidak baik semasa dalam Umno, sudah saya tinggalkan.
Saya sudah membentuk keperibadian yang baik dan saya mahu menjadi wakil rakyat yang bertanggungjawab dalam menjalankan amanah.
Saya serahkan kepada rakyat, khususnya di Hulu Selangor, untuk menilai sikap saya dan sifat saya.
Dalam kehidupan ini bagi saya, yang pentingnya ialah, adakah kita sudah sedar dan insaf. Itulah beza saya dengan menteri Umno. Saya berterus terang dan saya bukan hipokrit.
Umno-BN juga menuduh saya sebagai kaki judi. Ini sesuatu yang tidak benar. Yang kuat berjudi di kasino adalah menteri-menteri Umno. Sehingga ada yang berhutang berjuta-juta ringgit tidak bayar. Mereka terlepas kerana mereka ini Umno. Tolong jangan cabar saya dedahkan nama-nama mereka ini.
Saya tidak mahu menyebut nama-nama bekas kawan-kawan saya ini. Saya tidak mahu mengaibkan mereka kerana saya tidak mahu mengikut jejak langkah Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan rakan-rakannya, yang giat menyerang peribadi saya.
Itulah jawapan saya terhadap perkara-perkara yang ditimbulkan oleh media BN.
Apakah yang mendorong mereka membuat serangan peribadi terhadap Dato'? Apakah ianya manifestasi dari kebimbangan mereka (BN)?
Mereka bimbang sebenarnya (ketawa). Jika mereka tidak bimbang, tak akanlah mereka menyerang peribadi saya sedemikian rupa. Mereka juga menyerang peribadi Anwar (Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Mereka menaikkan poster Anwar, poster saya, dengan pelbagai cacian. Seolah-olahnya Zaid melawan Najib (Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak). Bukan Zaid lawan MIC.
Jelas, jentera BN yang diketuai sendiri oleh Muhyiddin, mahu mematikan karier politik saya. Cuma saya berharap rakyat di Hulu Selangor dapat memahami dan menolak usaha-usaha jahat yang dilakukan oleh BN.
Dato', sewaktu Dato' bertanding mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum 2004 di Kota Bharu. Pada ketika itu PAS dan KeADILan, dilihat tidak langsung menyerang peribadi Dato', walaupun dikatakan masyarakat di sana agak konservatif. Apa komen Dato'?
Ya. Saya amat menghargai sikap gentleman PAS dan KeADILan. Walaupun, saya tahu, PAS pun mengenali dan tahu latar belakang saya. Tiada pucuk pimpinan PAS yang menyerang saya, walaupun mungkin di akar umbi isu ini mungkin timbul.
PAS tidak menggunakan taktik menghina peribadi calon lawan. Ini amat berbeza dengan budaya politik Umno, terutama yang mereka lakukan sekarang.
Mereka menyerang peribadi saya kerana mereka takut kalah, takut kuasa mereka hilang.
Inilah petanda bahawa mereka berada dalam keadaan yang takut dan cemas dengan kuasa rakyat. Mereka tahu bahawa rakyat menolak mereka.
Pada hari penamaan calon, calon BN P Kamalanathan berkata beliau tidak mahu membuat serangan peribadi, namun TPM sendiri yang mengatakan ianya penting untuk kempen BN, komen Dato'?
Sebab itu saya katakan, saya bukan melawan MIC. Saya lawan PM dan TPM. Sebab itu juga MIC tidak berminat untuk mencungkil isu-isu peribadi. Malah saya tidak langsung mendengar sebarang cemuhan dari MIC sendiri.
Malah yang bersungguh-sungguh mencemuh saya ialah Umno. Disebabkan ketakutan mereka, mereka sanggup berceramah memaki hamun saya, mengupah media talibarut membuat beritadan rencana, mengupah bloggers Umno, seolah-olah mereka tahu benar tentang peribadi saya.
Kebanyakan serangan mereka adalah fitnah. Sehingga ada blog Umno yang mendakwa di firma guaman saya ada bar. Lebih 22 tahun saya di pejabat, tiada langsung bar seperti yang didakwa. Dituduh pula di rumah saya ada wine dan macam-macam lagi.
Isteri saya yang menguruskan rumah tangga, tak kanlah dia benarkan keadaan ini berlaku dalam rumah saya. Dia tahu peribadi saya.
Tetapi saya tidak boleh menghalang kejahatan mereka (BN). Mereka pamerkan poster, billboard yang saya memegang botol arak. Memang ini kerja jahat mereka yang takut kepada kekalahan.
untuk berita lanjut, sila klik disini
