Ruangan Carian Isu Lepas dan Terkini Harakah Online

Loading...

Harakah Online || Harakah Daily || Harakah Online Malaysia

Dapatkan berita berkaitan isu politik terkini Harakah Online TERUS KE INBOX emel anda TANPA HALANGAN!!:

Disediakan khas oleh Harakah Online Info dan Google FeedBurner

Oh Sukan : Pusat Lepak Peminat Berita Sukan

Harakah Online Preview: Nik Aziz jadi hos 200 pemimpin agama makan tengahari bersama


Malaysia hari ini mencatat sejarah penting apabila pemimpin lima agama utama negara, Islam, Kristian, Budha, Sikh dan Hindu bertemu dan makan tengahari bersama.

Mereka bertemu di sebuah hotel di Kota Bharu atas inisiatif Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Majlis ini pada asalnya adalah kunjungan hormat dari para paderi Kristian kepada Menteri Besar Kelantan sempena persidangan paderi gereja se Malaysia di Kota Bharu.

Pertemuan muhibbah ini berlangsung ketika negara sedang diadu domba oleh pihak-pihak yang tidak bertangungjawab ekoran permohonan majalah Herald, sebuah majalah Katholik, yang mahu menggunakan perkataan Allah dalam versi bahasa Melayunya bagi menggantikan perkataan 'God' dalam Bahasa Inggeris.

Ekoran isu ini, 11 buah gereja telah diserang termasuk dibakar. Dua hari lepas, kepala babi hutan pula diletak di dalam dua buah masjid di Petaling Jaya, Selangor.

PAS telah mengambil sikap 'Islam tidak menghalang Kristian menggunakan nama Allah tetapi jangan sampai ia bertujuan untuk mengelirukan orang Islam'.

Namun begitu, Umno berpendirian menentang Kristian menggunakan nama Allah dan Menteri Dalam Negeri sendiri pernah berkata, pihaknya tidak boleh menyekat orang ramai untuk berdemo di masjid ekoran keputusan mahkamah menerima permohonan majalah Herald itu.

Hari ini, Jakim dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara mengadakan sessi khas di Putrajaya untuk menerangkan pendirian penggunaan nama Allah oleh Kristian ini.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Pemuda PAS persoal daftar Puteri Umno di sekolah

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mempersoalkan kewajaran tindakan Umno Bahagian Segambut dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut yang membuat kempen pendaftaran Puteri Umno kepada pelajar-pelajar sekolah.

Expo Pendidikan Jalinan Mesra 1 Malaysia yang dianjurkan sebenarnya hanyalah gimik pihak sekolah dan Umno Bahagian untuk mengambil kesempatan ke atas pelajar-pelajar sekolah.

DPPWP kesal dengan kecurangan yang ditunjukan oleh pihak Sekolah yang bersekongkol dengan Umno untuk mempolitikan pelajar sekolah. DPPWP mengesa agar pengetua sekolah berkenaan diambil tindakan tatatertib di atas tindakan beliau membenarkan Umno mendaftarkan Pelajarnya sebagai anggota Puteri Umno.

Jika Pihak Kementerian enggan bertindak, DPPWP mahu pihak Kerajaan memansuhkan larangan ke atas semua kakitangan awam, guru dan pelajar yang selama ini dilarang berpolitik.

Sewajarnya hak yang sama diberikan jika pihak Kerajaan benar-benar ikhlas dalam dasar yang direka mereka.

Sebelum ini Ahli Parlimen Segambut, YB. Lim Lip Eng telah dihalang untuk mengedarkan topeng muka H1N1 kepada pelajar.

Begitu juga yang berlaku kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Yb. Dr. Lo'Lo' Hj. Mohamad Ghazali yang dihalang menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pelajar di dalam kawasan Sekolah hingga terpaksa menyewa Hostel untuk program berkenaan.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Zambry bermain dengan perang haram - Nizar

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin berkata, pihak yang bermain dengan perang saraf (mind games) sebenarnya adalah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

"Dia bukan sahaja bermain dengan mind games (perang saraf) bahkan juga perang haram (illegal games)," kata Nizar kepada Harakahdaily.

Media hari ini melaporkan seruan Datuk Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar BN Perak, agar Pakatan Rakyat di Perak menghentikan perang saraf dengan kenyataan mengatakan ‘Don’t Play Mind Games’.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Nizar berkata bahawa yang bermain ‘mind games’ ialah Datuk Zambry. Bukan setakat itu, dia yang juga sedang bermain ‘illegal games’.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat yang sah digulingkan oleh BN pada 5hb Februari 2009 sehinggalah tarikh keputusan Mahkamah pada 9hb Februari 2010 nanti, jawatan Menteri Besar Negeri Perak telah dikosongkan iaitu tiada siapa pun yang memegang jawatan ini.

“Yang bermain ‘mind games’ sebenarnya ialah Datuk Zambry Abdul Kadir dan EXCOnya yang haram itu,” kata Nizar dengan sinisnya.

Chang Lih Kang, ADUN Teja pula berasa hairan dengan kenyataan Zambry dan berpendapat mungkin Zambry dengan tiba-tiba telah berasa gelisah menunggu keputusan mahkamah pada 9 Februari nanti.

Chang berpendapat bahawa jika perkara ini sudah jelas dan berpihak kepada Datuk Zambry, maka keputusan Mahkamah akan sudah diberi pada 5hb November 2009 yang lalu iaitu ketika mahkamah itu bersidang.
Oleh itu, beliau berasa mungkin keputusan akan berpihak kepada Datuk Seri Nizar. Namun ini adalah jangkaan beliau sahaja.

“Kami tidak bermain apa-apa game pun, mungkin Datuk Zambry berasa bimbang dan resah akan keputusan yang diberi oleh mahkamah nanti, oleh itu beliau membuat kenyataan sedemikian,” ujar Chang lagi.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Suka duka pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar

Subky Latif

DR. ABDUL Aziz Bari dalam tulisannya telah menyebut tentang licinnya peralihan kuasa takhta kerajaan Johor dari Almarhum Sultan Iskandar kepada Sultan Ibrahim Ismail menjelang pekebumian Almarhum Sultan Johor itu.

Putera sulung Almarhum Sultan Iskandar yang menjadi Tengku Mahkota selama baginda bersemayam di atas takhta. Mengikut peraturan sebelum perkebumian seorang sultan, sultan baru dimahkotakan. Tugas pertama baginda memerintahkan perkebumian disempurnakan.

Sejarah pula menyaksikan tidak selicin itu ketika Almarhum menaiki takhta. Semasa persemayaman Almarhum Sultan Ismail, Tengku Mahkota Johor adalah adinda Almarhum Sultan Iskandar dan Almarhum pula adalah Raja Muda. Waris pertama takhta adalah Tengku Mahkota.

Di saat terakhir majlis Pangkuan Raja membuat perubahan, menukar Tengku Mahkota kepada Raja Muda tadi. Seperti ada kekeliruan. Menjelang perkebumian Almarhum Sultan Ismail, majlis Pangkuan Raja memasyhurkan Tengku Mahkota sebagai Sultan yang baru bergelar Sultan Iskandar. Ia berakhir di situ.

Rakyat Johor pula menyaksikan Almahum Sultan Iskandar memulakan pemerintahan baginda dengan satu kejutan. Baginda menaiki mimbar masjid memberikan khutbah Jumaat di hadadpan Perdana Menteri Tun Hussein Onn.

Jarang terdapat seorang pemegang takhta membaca khutbah dalam masa beberapa dekad sebelumnya, tetapi Sultan Iskandar telah memenranjatkan dan mengkagumkan sekalian rakyat jelata, mampu menyampaikan khutbah tanpa sebarang teks.

Sebagaimana rakyat Kelantan sekarang kagum dengan pemangku Sultan, Tengku Faris Petra berupaya mengimankan solat hajat di makmumkan oleh puluhan ribu rakyat di Stadium Tengku Muhammad. Paling menarik antara makmum itu adalah Menteri Besar Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Jaranglah di Kelantan kalau ada Tok Guru Nik Aziz, ada orang lain yang jadi imam. Masing-masing membeli laluan kepada Tok Guru. Tetapi dalam perkembangan terbaru, Tok Guru memberi laluan kepada Pemangku Sultan. Baginda tidak berasa terganggu bahkan baginda juga mengimamkan doa selepas solat hajat dengan diamimkan oleh Tok Guru.

Ia bukan mengkagumkan orang Kelantan, malah mengkagum penduduk negara seluruhnya.

Begitulah juga Almarhum Sultan Iskandar ketika baru menaiki takhta dulu. Bukan rakyat di Johor saja yang terpesona dengan baginda. Rakyat di negeri-negeri lain juga memberi perhatian kepada Sultan Johor.

Lain-lain Sultan yang seangkatan dengan baginda tidak pernah naik mimbar, sedang ia suatu yang sewajarnya dilakukan oleh setiap pemerintah yang mahu dipanggil ulil amri, tetapi baginda melakukan suatu yang tidak dibuat oleh raja lain.

Baginda pun menjelajah ke setiap daerah dan menyampaikan pula khutbah di masjid yang dikunjunginya itu.

Penampilan al-Sultan itu antara yang menambat hati rakyat jelata memberikan perhatian kepada baginda.

Bagaimana pun selepas beberapa bulan tiada berita lagi baginda menyampaikan khutbah.

Sebagai mana rakyat di lain-lain negeri, rakyat Johor memberikan penuh kasih sayang dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada sultannya seperti yang dirakamkan oleh penyiar telivisyen dalam ulasannya di hari pengkebumian baginda.

Almarhum Sultan Iskandar dilihat serius dan menggerunkan tetapi ia menambat kasih sayang rakyat. Semasa baginda menjadi Yang Di Pertuan Agong setiap kali Hari Raya Idil Fitri, Istana Negara mengadakan hari terbuka. Puluhan ribu rakyat jelata dari berbagai keturunan dan agama memberi masa menghadiri hari terbuka.

Jarang terdapat keramaian seperti itu dari sejak pagi hingga ke petang, tetapi ia berlaku semasa baginda bersemayam di Istana Negara.

Ujian besar yang baginda hadapi semasa pemerintahannya ialah berlaku gerakan dari kerajaan pusat bagi mengurangi kekebalan dan kuasa para raja. Banyak perbincangan diadakan bagi meminda perlembagaan dalam bab yang menyentuh kedaulatan raja-raja bertakhta.

Hingga ada ulasan dari pemimpin pembangkang, langkah melucut kekebalan yang ada pada Raja boleh menyebabkan raja hilang kedaulatan, bahkan raja boleh dilihat tinggal gigi dan gusi saja.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Siapa Pegawai Khas Nizar kena tahan?

Awal pagi tadi saya menerima panggilan daripada Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah, Abdul Rahim Mohd Noordin, bertanyakan siapa dia Pegawai Khas Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ditahan bersabit dengan isu pasir.

Saya pun terpinga-pinga mendengarnya. Setahu saya tahu pegawai khas Menteri Besar dahulu ada tiga orang, Amran Haron, Mohamad K.Y. Tiang dan Nadarajah. Saya pun hantar SMS kepada Mohamad Tiang bertanyakan hal itu. Dia jawab, tak tahu siapa yang dimaksudkan itu.

Menurut Abdul Rahim, berita itu ada keluar dalam TV malam tadi. Saya kemudian menghubungi Bendahari PAS Perak, Haji Abdul Rahim Md Arif bertanyakan hal itu. Dia pun tidak berapa pasti, kalau nak tahu, hubungi Ismad.

Saya pun menghubungi Penolong Setiausaha PAS Perak, Ismad Shahril Che Mat. Katanya pegawai khas Menteri Besar Perak semasa Ir Nizar dahulu ada tiga orang sahaja, iaitu Amran Haron, Mohamad K.Y. Tiang dan Nadarajah. Mereka sihat sahaja, tidak kena tangkap pun.

Menurut Ismad, ‘Mamat’ yang kena tangkap itu dikenali sebagai Hamzah, mengaku sebagai Pegawai Khas Menteri Besar, Mohamad Nizar. Mamat upahan mana pulak yang mengaku pegawai khas Nizar?

Saya pun buat satu kesimpulan, ini isu hendak pilihan raya yang dicipta oleh pihak tertentu kerana 9 Februari depan kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin lawan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Umno sekarang sakit `demam panas'. Sekiranya Nizar menang, pastinya Dewan Undangan Negeri(Dun) dibubarkan dan berlakulah pilihan raya di seluruh Dun di negeri ini.

Saya kira ini isu pilihan raya yang sengaja hendak memburuk-burukkan Nizar. Saya cadangkan Pakatan Rakyat khasnya Nizar saman pihak terbabit sekiranya didapati berita itu sengaja direka untuk memburuk-burukkannya.

Sementara itu, Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim yang juga Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Perak turut mengulas perkara itu di dalam blognya.

Sepanjang hari semalam sehingga larut malam, saya masih menerima panggilan dan sms bertanyakan mengenai berita yang didakwa disiarkan dalam berita di TV3 mengenai pegawai khas kepada MB Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri (DS) Mohammad Nizar yang dikaitkan dengan siasatan SPRM yang hangat diperkatakan sekarang.

Secara kebetulan berita kelmarin juga dihangatkan dengan surat yang diterima oleh DS Nizar mengenai tarikh 9 Februari yang akan memutuskan keputusan perbicaraaan di Mahkamah Persekutuan pada 5 November tahun lepas.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kes MB 9 Feb: Nizar minta doakan kemakmuran Perak

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyeru semua pihak mendoakan kepada Allah agar mengembalikan keadilan dan kemakmuran untuk negeri ini.

Ini berikutan Mahkamah Persekutuan akan memutuskan pada 9 Februari depan kes pertikaian berhubung siapakah Menteri Besar Perak yang sah, kata Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat negeri, Drs Khalil Idham Lim.

Menurut Khalil, Mohammad Nizar memaklumkan kepada pihaknya berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan itu dalam satu kenyataan rasmi, sebentar tadi.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: 40 peratus wanita sebagai pembuat dasar di Selangor


Kerajaan Negeri Selangor membuktikan hasrat golongan wanita yang selama ini memperjuangkan nisbah 30 peratus sebagai pembuat dasar telah ditunaikan malah melebihi 40 peratus.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, lihat sahaja di dalam saf exco kerajaan negeri sekarang ini, terdapat lebih 40 peratus dari kalangan wanita yang berperanan aktif.

Abdul Khalid menjelaskan demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Wanita Selangor 2010 yang diadakan baru-baru ini Kompleks Belia Selangor, Seksyen 7, dekat sini.

Untuk rekod, terdapat empat tokoh wanita di dalam kepimpinan kerajaan negeri sebagai exco sekarang; Ahli Dewan Negeri (ADN) N30 Kinrara, Teresa Kok memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, ADN N41 Batu Tiga, Puan Rodziah Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi Dan Inovasi).

ADN N45 Selat Kelang, Dr Halimah Binti Ali (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan) dan ADN N37 Bukit Lanjan, Elizabeth Wong (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Dan Alam Sekitar).

Turut berucap dalam majlis itu adalah Penerima Anugerah Omar Al-Khattab 2009 yang berpusat di California, Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Exco Wanita Selangor, Puan Rodziah Ismail.

Konvensyen kali ini bertemakan Wanita Berdaya, Harapan Negara - Pemberdayaan Wanita dalam Kepimpinan dihadiri oleh 1,500 kepimpinan wanita di segenap peringkat dalam masyarakat dari seluruh Selangor.

Dalam ucapannya juga, Abdul Khalid berkata, apa yang diamalkan di Selangor bukan berdasarkan kouta tetapi lebih kepada mengenengahkan kebolehan, kemahiran dan pengalaman.

“Bagi saya, kejayaan Negeri Selangor bergantung kepada keupayaan 50 peratus golongan wanita yang ada di negeri ini, justeru itu, mereka wajar mengambil peluang yang terbuka luas sekarang jni dalam bidang ekonomi dan teknologi.

“Kini sebagai sebuah negeri maju, Selangor memasuki bidang sektor perkhidmatan yang tiada diskriminasi antara jantina, tiada beza kebolehan antara lelaki dan wanita, apa yang diutamakan adalah kepakaran dan kemahiran termasuk tenaga berfikir.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kedah telah laksana 80% janji manifesto - Exco

Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya melaksanakan 80 peratus janji dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu walaupun belum mencapai tempoh pemerintahan negeri selama 24 bulan.

Menurut Exco Kerajaan Negeri, Siti Aishah Ghazali, ini membuktikan bahawa kerajaan PR yang dipimpin oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak, mampu untuk mentadbir dan mengurus selia negeri dengan baik dalam tempoh yang singkat.

Menurut beliau lagi pada tahun 2009 yang lalu bajet sebanyak 26.5 juta kepada Maktab Mahmud telah ditambah kepada 28.5 juta pada tahun 2010 bagi menambahbaikkan institusi pendidikan agama tersebut di negeri ini.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan berkebajikan kita juga telah memperuntukkan sebanyak RM600 ribu setahun kepada sekolah agama rakyat. Disamping itu sebanyak 12.5 juta telah diperuntukkan kepada guru KAFA dan juga guru-guru Quran di kampung-kampung.

"Kerajaan negeri juga telah menguntukkan sebanyak 8.75 juta kepada Universiti Insaniah bagi pengurusan dan pentadbiran supaya institusi ini akan menjadi salah sebuah institusi yang terbaik setanding dengan IPT yang lain," katanya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: "Terjemahan God Sebagai Allah: Mengenalpasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya"

Kami telah dijemput sebagai mewakili parti masing-masing dan individu dalam Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada 21 Januari 2010.

Laporan beberapa akhbar harian pada 22 Januari 2010 telah menyatakan sebagai berikut :

“Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengambil kata sepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada 'God' tidak tepat.

Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam juga menyalahi hakikat sebenar kerana ia bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di Malaysia”.

Apa yang tidak dinyatakan di dalam laporan berkenaan ialah pendirian konsisten kami bahawa :

1-Penggunaan kalimah nama ”Allah” untuk tujuan amalan agama sesama penganut agama Kristian dan Yahudi adalah dibenarkan oleh Islam, dengan bersumberkan dalil Al Quran dan As Sunnah serta pandangan ulama muktabar.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Bakar surau kerja orang tidak siuman - Idris

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap mereka yang membakar Surau Silaturrahim dan Surau Kampung Parit Beting pagi semalam sebagai orang yang gila dan tidak siuman.

Orang yang waras akan datang ke surau itu untuk beribadat. Jika bukan Islam, mereka juga tidak akan bertindak sedemikian kecuali sudah hilang pertimbangan sebagai manusia yang normal.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataannya.

Menurut Idris, Allah pasti akan menghukum sesiapa sahaja yang cuba memusnahkan rumahNya (Masjid-Surau) sebagaimana yang terkandung dalam Sural Al-Fil ayat1-5 ;

"Tidakkah engkau lihat bagaimana Tuhan bertindak terhadap Tentera- tentera Bergajah? Tidakkah Ia jadikan rancangan jahat mereka (berakhir) dengan kesesatan (kegagalan)? Dan Allah telah melepaskan ke atas mereka burung-burung yang terbang berpasukan-pasukan. Sambil melontar ke atas mereka batu-batu yang pejal. Lalu Allah menjadikan mereka (binasa) seperti daun-daun yang dimakan ulat."

Jika Allah tidak menghukumnya di dunia, Allah telah menyediakan janjiNya untuk menghukum mereka yang melakukan dosa tersebut diakhirat.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Pulau Pinang tambah peruntukan Hal Ehwal Agama Islam

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat negeri menambah peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam pada tahun 2010 berjumlah RM24.3 juta berbanding tahun lalu sebanyak RM20.5 juta.

Menurut beliau, peruntukan tahun lalu pun melebihi apa yang Kerajaan Barisan Nasional (BN) berikan iaitu hanya RM 12.5 juta sahaja.

"Keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat dapat dilihat apabila menambah peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam iaitu meliputi peruntukan pembangunan sebanyak RM7.2 juta, peruntukan mengurus RM13.4 juta dan sebagainya RM3.7 juta, " tegasnya pada Majlis Perlantikan Majlis Syura Kerajaan Negeri, di sini, pagi ini.

Pada majlis itu, lapan orang wakil PAS Negeri dilantik menggangotai majlis itu yang diletakan di bawah kelolaan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Haji Abdul Malek Abul Kasim.

Mereka yang menerima watikah perlantikan daripada Guan Eng ialah dua orang Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Taqiudin Hamzah dan Rosidi Husain, Yang Dipertua PAS Kawasan Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man, bekas Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Ustaz Mazani Abdullah, Ketua dan Setiausaha Dewan Ulama PAS negeri, Ustaz Soid Mohd Amin dan Ustaz Suhaimi Abdullah, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri dan kawasan Bayan Baru , Ustazah Rahmah Md Isa dan Puan Asnah Hashim.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Nik Aziz rai paderi, sami makan tengah hari


Ketua-ketua agama terdiri daripada alim ulama, paderi dan sami dijemput menghadiri makan tengah hari bersama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 28 Januari ini di Kota Darulnaim.

Jamuan tersebut dianjurkan kerajaan negeri sebagai meraikan ketua-ketua agama di negeri ini dan mengeratkan hubungan yang sedia terjalin.

Nik Aziz berkata, dianggar lebih 20 ketua agama dijangka menghadiri majlis tersebut yang berkonsepkan muhibah.

“Setakat ini kita telah dimaklumkan seramai 18 orang daripadanya terdiri daripada paderi menyatakan persetujuan hadir, manakala sami belum dapat pastikan bilangan yang akan hadir,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, jamuan berkenaan diadakan menjelang tengah hari memandangkan sami difahamkan tidak boleh makan selepas jam 12.00 tengah hari.

“Kerajaan negeri meraikan mereka bertujuan mewujudkan suasana tenang dan harmoni di antara agama di negeri ini.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Pilihan Raya Kampus: Pro-Mahasiswa tekad kuasai MPM


Menjelang Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi 09/10 yang dijangka penghujung Januari ini, kumpulan Pro-Mahasiswa kini mula serius menggerakkan jentera mereka dalam usaha memenangi kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) di kampus masing-masing.

Semalam kumpulan yang terdiri dari beberapa front mahasiswa itu melancarkan misi 'Mahasiswa Tawan Kampus' (MiSi-10) dalam satu majlis di Kompleks Perdana Siswa Gazebo Universiti Malaya.

MiSi-10 terdiri daripada gabungan beberapa front yang di ketuai oleh PRO-Mahasiswa bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM) , Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) , Skrikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (BANTAH).

Mereka juga turut disokong olek kumpulan Pro-Mahasiswa di 10 kampus utama seluruh negara.

Dalam satu kenyataan bersama mereka memberitahu, Pelancaran MiSi-10 sebagai isyarat awal mereka menuntut ruang pemilihan yang adil.

"Ini isyarat awal menunjukan bahawa keseriusan kami di peringkat mahasiswa untuk memastikan pilihan raya kampus yang akan berlansung dilaksanakan dalam satu ruang padang yang adil demi melahirkan kepimpinan mahasiswa yang berkualiti bagi membela nasib mahasiswa yang lain khasnya dan nasib rakyat Malaysia umumnya," kenyataan mereka dipetik.

Mereka juga turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada pihak universiti melihat kepada beberapa kronologi kes yang berlaku sepanjang tahun 2009 yang didakwa mereka sebagai kongkongan terhadap demokrasi kampus.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Hadis Harian : Taat setia kepada Pemangku Raja - Nik Aziz


Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru seluruh rakyat termasuk pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat negeri ini menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra demi untuk kesejahteraan, keamanan dan kebajikan semua pihak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin Pemangku Raja telah bertindak dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan iaitu menjalankan segala kuasa dan tanggungjawab Sultan Kelantan mengikut perlembagaan.

Tegasnya lagi, selaras dengan tataurus dan pentadbiran kerajaan negeri yang dijalankan berlandaskan undang-undang, terutamanya Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, maka kerajaan negeri sentiasa mematuhi serta menjalankan segala perkara yang dititah termasuk segala arahan baginda selaras dengan peruntukan Perkara 4 Fasal 1 Perlembagaan.

“Antara lain perlembagaan menyebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia, maknanya Sultan bagi negeri dan termasuk Waris Gantinya dan, jika kebetulan dengan maknanya termasuk Al-Marhum Raja-Raja yang memerintah yang dahulu daripadanya dan jika ada Pangkuan Raja, termasuk Pemangku Raja atau jika ada Majlis Pangkuan Raja, termasuk majlis itu,” ujarnya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Berbahasa dengan Tuhan


Asalnya saya tidak bercadang mahu menulis dan mengulas tentang ini. Andaian saya ia soal berat dan sensitif, maka tidak perlulah saya menyibuk untuk turut cuba melanggan saham popular dengan membicarakannya. Lagipun saya bukanlah dari kalangan alim agama, silap percaturan saya mungkin akan dikata macam-macam. Tempohari bila saya menulis tentang Chin Peng, sudah ada yang menghantar email kepada editor Harakahdaily mengatakan saya layak untuk berdiri di tengah padang dan ditembak mati!

Kali ini isunya bukan lagi Chin Peng atau Ketuanan Melayu, melangkaui soal sosok seorang manusia atau kumpulan kaum. Ini soal Allah, soal bagaimana kita berbahasa dengan Tuhan? Ya, bagaimana anda berbahasa dengan Tuhan ya? Tuhan punya nama, dan namaNya Allah, Allah pula adalah satu dari 99 namaNya, ini kepercayaan orang Islam.

Di sebalik ini, selama ini apakah orang Melayu yang majoriti, orang Islam yang majoriti di negara ini pernah mengambil tahu bagaimana sahabat-sahabat mereka yang bukan Islam berbahasa dengan Tuhan? Bagaimana orang Buddha berbahasa dengan Tuhan, bagaimana orang Hindu berbahasa dengan Tuhan dan bagaimana orang Kristian berbahasa dengan Tuhan? Lalu kerana kedangkalan ilmu, bila tiba-tiba pihak gereja Kristian Katolik mahu menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan membawa keinginan mereka ini ke mahkamah, tindakbalas kita ibarat tercucuk seribu jarum di telapak kaki, melompat dan meroyan bagai orang tidak sedar diri.

Soalnya, bolehkah orang selain Islam menggunakan kalimah Allah untuk tujuan literasi agama mereka? Apalagi untuk agama-agama yang dilihat dekat dengan Islam dan berkongsi banyak perkara dengannya, iaitu Kristian dan Yahudi? Belum pun kita berusaha mencari jawapannya, kita sudah berdemonstrasi, belum pun kita cuba untuk memahaminya, sudah ada kalangan kita menjadi ekstrim membakar dan cuba membakar gereja. Amat menyedihkan, masyarakat kita berfikir dengan otak atau dengan lutut?

Tidak perlulah saya bernas dan berdalil di sini. Cukuplah dengan apa yang telah diterangkan oleh alim ulama sebelum ini sama ada dari sektor politik atau bukan. Majoriti dari mereka hampir sependapat mengatakan bahawa orang bukan Islam boleh merujuk Tuhan sebagai Allah, Cuma pesan mereka jangan disalahgunakan.

Kalau orang biasa macam saya diminta untuk memberi penerangan tentang ini kepada masyarakat yang juga orang biasa yang tidak punya ilmu agama yang tinggi, saya akan membawa contoh yang mudah, senang diingat dan biasa didengar, satu asas agama yang rasanya kita semua belajar. Andaikan anda ke sebuah negara yang tiada atau kurang orang Islam, bagaimana anda mencari bahan makanan? Kalau anda mahu mencari ayam atau daging, dalam ketiadaan orang Islam, sudah tentu anda akan mencari orang Yahudi kerana sembelihan pengikut ahli Kitab halal dimakan. Sebab apa halal? Tiada lain yang terlintas di kepala saya melainkan ahli Kitab juga menyembelih binatang dengan didahulukan nama Allah.

Isu ada paderi yang mahu membahasakan diri Tuhan dengan nama Allah bukanlah isu baru, Tan Sri Murphy Pakiam bukanlah orang pertama. Masalahnya adakah ia senario biasa dan sesuatu yang normal dalam praktis Kristian Roman Katolik seantero dunia?

Seorang bishop Roman Katolik di Belanda yang hampir bersara pada tahun 2007, Tiny Muskens pernah mencadangkan agar Tuhan dirujuk sebagai Allah, walau bagaimanapun cadangannya tidak diterima baik oleh kalangan masyarakat Roman Katolik sendiri. Seperti dilaporkan oleh FoxNews pada tahun tersebut, Muskens mewajarkan cadangannya kerana Allah adalah nama yang cantik dan sesuai untuk Tuhan, dakwanya lagi Tuhan tidak kisah pun bagaimana Dia dipanggil.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: "Kalimah Allah"-Utamakan Keharmonian


oleh Wan Nik Wan Yussof

Isu perkauman, agama, bahasa dan hak istimewa orang Melayu adalah antara isu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka bagi masyarakat Malaysia. Justeru itu, selepas tercetusnya kontroversi isu penggunaan kalimah Allah kepada “the herald” milik gereja Kristian, maka keputusan mahkamah tinggi itu dianggap tidak tepat dalam konteks keharmonian beragama di Malaysia.

Sehubungan itu pelbagai pihak kalangan pemimpin dan umat Islam telah memberi pandangan, malah sanggup berdemonstrasi mempertikaikan keputusan tersebut. Paling malang, muncul pula pihak yang bersifat anti-harmoni, telah melancarkan “serangan” ke rumah gereja.

Bagi menelusuri perkembangan kontroversi isu kalimah Allah ini, penulis ini cuba mempamerkan semula beberapa rentetan peristiwa yang bersejarah ini. Antaranya adalah kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti dilapor dalam mstar.com (5 Januari 2010) berkata bahawa PAS menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

"Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama," kata Hadi.

Mantan Perdana Menteri yang juga pengasas dasar Islamisasi, Dr. Mahathir pula di dalam blognya (5 Januari 2010) menulis, sebenarnya kalimah "Allah" tidak terdapat dalam kitab Taurat atau Talmud Hebrew atau kitab Injil Kristian dalam bahasa Latin, Greek atau bahasa-bahasa Eropah. Nama bagi Tuhan dalam bahasa Yahudi ialah "Yahweh", yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris sebagai "Jehovah".

”Dalam kitab Injil, Jesus (Isa) dan God adalah sama. Tidak ada kalimah Allah dalam kitab Injil dalam bahasa-bahasa yang disebut di atas.

”Dalam usaha menerangkan agama Kristian di kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, perkataan God diterjemah kepada "Allah" supaya mudah difaham oleh pendengar.

”Mungkin juga kalimah "Allah" dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana menyembah Tuhan yang sama. Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah. Terjemahan ini salah. Sepatutnya perkataan "Tuhan" digunakan untuk God.

”Tetapi dalam agama Kristian terdapat konsep "Trinity" yang mana terdapat "God the Father, God the Son and the Holy Ghost".

Jika dalam bahasa Melayu terdapat dalam kitab Injil atau syarahan berkenaan "Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci", maka tentulah ini akan ditentang oleh orang Islam.

Dalam Islam Allah tidak ada bapak, tidak ada anak. Ia tidak dilahirkan dan Ia tidak melahirkan sesiapa. Allah hanya satu. Ia tidak boleh disekutu dengan sesiapa.

”Di Amerika Syarikat, orang Kristian yang sudah tidak teguh iman biasa berkata dan menulis, "God is dead". Apakah perasaan orang Islam apabila ini diganti denagn "Allah is dead"?

”Di Semenanjung Malaysia kita tidak pernah mendengar orang Kristian menggunakan kalimah "Allah" apabila bercakap berkenaan God dalam bahasa Melayu. Kenapa pula kita sekarang akan mengguna kalimah ini?

”Saya harap pihak Kerajaan berhati-hati dalam perkara ini supaya negara berbilang agama yang aman ini tidak menjadi tegang dan tidak stabil secara berterusan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada 9 Januari melahirkan kebimbangan dengan kejadian pengeboman tiga buah gereja di sekitar Lembah Klang.

Kebimbangan itu diluahkan berikutan kemungkinan ia berpunca daripada permainan 'tangan-tangan ghaib' yang cuba mengapi-apikan ketegangan dan mengambil kesempatan untuk tampil sebagai pembela Islam bagi mengembalikan sokongan politik yang kini kian pudar.

baca kupasan lebih lanjut disini

Harakah Online Preview: PAS Kelantan kecam tindakan ancam blogger


PAS Kelantan memandang serius tindakan pihak yang cuba mengancam penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz dengan melemparkan kapak di rumahnya malam tadi.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, tindakan mahu menjadi hakim sendiri dengan menjatuhkan hukuman terhadap orang lain bertentangan dengan prinsip Islam.

Katanya, biar pun tulisan blogger terbabit tidak disukai, namun melakukan tindakan kekerasan terhadapnya amat menyalahi agama dan amalan demokrasi.

(Gambar: Kereta Syed Azidi yang dibaling kapak)

“Kalau kita tidak bersetuju dengan tindakan seseorang ada saluran dibenarkan undang-undang boleh dilakukan. Bawalah ke mahkamah untuk diadili.

“Saya juga percaya insiden seperti itu tidak dilakukan ahli atau penyokong PAS kerana mereka mempunyai kefahaman tentang agama,” katanya di sini.
untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kalimah Allah: Lagi sikap KDN dipertikai


Kementerian Dalam Negeri (KDN) seharusnya menangani isu kalimah Allah sejak awal lagi serta memberi penjelasan dengan baik kepada golongan bukan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Husam Musa, berkata, PAS lebih mengutamakan permesyuaratan termasuk pertukaran hujah bagi melahirkan keharmonian pelbagai masyarakat di negara ini sejak sekian lamanya.

“Sebenarnya perkara ini boleh diatur di luar mahkamah, tetapi KDN amat lemah.

“Antara contohnya, kerajaan tidak pernah memanggil Majlis Fatwa bermesyuarat mengenai isu kalimah Allah ni,” katanya.

“Kalau Majlis Fatwa tidak bermesyuarat, bagaimana KDN tahu kedudukan isu berkenaan dengan kedudukan sebenar dan lebih meluas.

“Jadi saya cadangkan pada kerajaan mulakan dengan mesyuarat Majlis Fatwa, panggil pihak terbabit berbincang dan berikan pandangan dan kekangan sekiranya ada,” ujarnya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Tuntut royalti: Kelantan tidak ikut rentak Umno

Kerajaan Kelantan tidak melatah untuk menyaman kerajaan pusat dalam tempoh terdekat ini bagi menuntut royalti minyak.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, masih ada langkah lain yang boleh dilakukan termasuk rundingan bagi mendapatkan royalti.

“Tuntutan dan perbicangan kita baru bermula, kalau diibaratkan seperti bermain bola sepak, baru memakan masa 15 minit, jadi tak perlulah desak kita supaya kemukakan saman,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.

Sebelum ini ada pemimpin Umno termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mencabar kerajaan negeri membawa isu tuntutan royalti ke mahkamah.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, pemimpin Umno tidak perlu mendesak kerajaan negeri membawa kes terbabit ke mahkamah.

Beliau juga berkata, usaha yang diperjuangkan kerajaan Kelantan kini semakin membuahkan hasil sehingga pemimpin Umno tidak lagi tenteram.

“Apa lagi sekiranya sebahagian rekod lama berupa keratan akhbar kenyataan pemimpin BN sejak tahun 1993 telah dijumpai untuk didedahkan.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Pegawai Gereja terharu terima kunjungan Nik Aziz


Kesediaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tiga gereja petang tadi menimbulkan rasa terharu pihak gereja.

Perasaan terharu itu dinyatakan oleh Pegawai Penyambut Tamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dekat sini, Calvin Jacob yang juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan itu kerana sudi mengunjungi mereka.

Menurut Calvin, Datuk Nik Abdul Aziz telah meluahkan rasa simpati di atas apa yang telah berlaku ke atas gereja itu yang dibaling dengan bom buatan sendiri pada minggu lalu.

“Saya telah mempelawa beliau masuk ke dalam gereja untuk melawat namun kerana ketika itu pengunjung gereja sedang melakukan kegiatan mingguan mereka, beliau menolak dengan baik.

“Jika cuaca tidak hujan saya bercadang untuk membawa beliau meninjau di sekeliling gereja, tetapi saya sempat maklumkan kepadanya tentang keadaan gereja yang tidak mengalami apa-apa kerosakan lantaran bom yang dilontar itu tidak meletup,” jelas Calvin lagi.

Sebelum itu, Tuan Guru telah mengunjungi Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing juga dekat sini untuk meninjau dan menyampaikan rasa simpatinya terhadap kejadian tidak bermoral pihak tertentu yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Gambar: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang berkata sesuatu kepada dua Penyambut Tetamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta, Petaling Jaya ketika lawatannya petang tadi. Calvin Jacob (dua dari kanan).

Terdahulu, sebelum ke Petaling Jaya, Nik Aziz telah ke Gereja Metro Tabernacle di Taman Melawati yang dibakar. Di situ, beliau telah memberikan sumbangan peribadi beliau kepada wakil gereja.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Bakar Gereja: Menteri gagal bertindak awal jadi punca

Kegagalan kerajaan membendung dari awal kemarahan rakyat ekoran mahkamah membenarkan penggunaan perkataan Allah bagi penerbitan Herald, akhirnya mengundang padah.

Media pula seperti dibiarkan mengapi-api isu tersebut dengan memaparkan bantahan orang ramai, tanpa mengambil kira sentimen penganut agama lain.

Kegagalan menteri yang bertanggungjawab ke atas Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mempercepatkan maraknya perasaan tidak senang hati antara kaum.

Anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, kerajaan dilihat hanya bertindak selepas berlaku peristiwa di luar kawalan sehingga gereja dibakar.

“Isu yang berlaku sekarang berjaya menutup kemarahan sebenar rakyat ekoran kenaikan harga barangan dan kos hidup.

“Mungkin juga sebagai satu pelan bagi mengelakkan rakyat terus bercakap kehilangan enjin jet pejuang yang begitu mengaibkan sekali kerajaan,” katanya di sini.

Beberapa gereja menjadi sasaran serangan pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga merosakkan sebahagian prasananya. Antaranya Gereja Metro Tarbenacle, Gereja Assumption dan Gereja Chapel kesemua di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sebelum itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan membenarkan penerbitan milik Katholik menggunakan perkataan Allah sebagai ganti ‘god’ dalam bahasa Inggeris.

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat Kelantan berkata, isu berasaskan sentimen perkauman itu telah diperbesarkan begitu rupa sehingga mencetuskan suasana tidak senang.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Pembangkang Sarawak bersatu di bawah Pakatan Rakyat

Malam 9 Januari lalu menjadi detik bersejarah politik Malaysia khususnya di Sarawak apabila pemimpin PAS, PKR, DAP dan SNAP telah bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat.

Perkara itu dibuktikan dengan berlangsungnya Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat di sini yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Ini merupakan kali pertama para pemimpin keempat-empat parti di Sarawak itu bersama di dalam majlis seumpama itu.

Pengarah Strategi PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar turut sama hadir bagi menyemarakkan gelombang perubahan yang bakal berlaku di negeri ini.

Di dalam ucapannya, Tian Chua menegaskan kini merupakan masa terbaik untuk rakyat melakukan perubahan untuk menyelamatkan negara daripada masalah-masalah yang telah melanda akibat daripada kezaliman kerajaan BN.

Semua wakil daripada parti-parti yang menyertai majlis itu turut menyampaikan ucapan.

PAS Sarawak diwakili oleh Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Abang Addy Ayanni dan Yang Dipertua PAS Kawasan Miri, Haji Jofro Jaraiee.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Umno gelabah bila dibicarakan mahkamah rakyat

Umno tidak lagi dipercayai apabila mahkamah rakyat membicarakannya berikutan serangan ke atas beberapa gereja akibat provokasi dan eksploitasi isu penggunaan nama Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyifatkan reaksi marah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berhadapan dengan persoalan yang berbangkit akibat serangan-serangan itu membuktikan betapa menggelabahnya beliau menghadapi rakyat.

Najib menuntut supaya jangan menuding jari kepada Umno berikutan serangan ke atas gereja-gereja itu sejak Jumaat lalu.

"Saya menyifatkan kenyataan tersebut menggambarkan betapa Perdana Menteri menyedari bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) sedang dibicarakan oleh mahkamah rakyat dan meletakkan parti dan pimpinan Umno di kandang orang salah.

"Perbicaraan dimahkamah rakyat menggambarkan Umno sudah tidak mendapat kepercayaan rakyat lagi," kata Mahfuz.

Beliau mengingatkan Najib pepatah Melayu yang berbunyi 'siapa yang menanam dialah yang menuai hasilnya'.

"Kepada Perdana Menteri, ingin saya nyatakan bahawa (tindakan) rakyat menuding jari kepada Umno dan pemimpinnya adalah berasaskan perangai pemimpin Umno yang perkauman," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Najib, kata Mahfuz, perlu mengimbas kembali peristiwa 22 tahun lalu yang melibatkan beliau sendiri sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan membawa kepada penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melalui Operasi Lallang.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Bakar gereja: Masyarakat hilang sensitiviti dosa pahala - Nik Aziz



Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa kejadian serangan membakar gereja kelmarin berlaku kerana Umno telah menghilangkan sensitiviti dosa dan pahala dalam masyarakat di negara ini khususnya orang Melayu itu sendiri.

Kesan hilangnya sensitiviti itu, katanya telah menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak menghormati agama lain sehingga membakar gereja dan mengarak kepala lembu seperti berlaku di Shah Alam baru-baru ini.

"Tiap-tiap orang nak bakar gereja kena reti (tahu) gereja ini harta kawan kita orang Kristian, bila kita bakar kita lukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak.

"Sama juga arak kepala lembu, melukakan hati orang India (Hindu), ini berdosa. Tapi perasaan dosa pahala tidak ada dalam orang Melayu sekarang kerana telah dibuang oleh Umno, ini kita dukacita," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penutup program Taklimat Penerangan Isu-isu Semasa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) petang tadi.

Selain itu, hilangnya sensitiviti tersebut juga, jelasnya telah mengakibatkan banyak perkara-perkara yang tidak sepatutnya, berlaku dalam negara kita.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online preview: PAS bimbang 'tangan ghaib' dalangi serang gereja

PAS bimbang kejadian pengeboman beberapa gereja di Lembah Klang berpunca 'tangan-tangan ghaib' yang cuba mengapi-apikan ketegangan dan mengambil kesempatan untuk tampil sebagai pembela Islam bagi mengembalikan sokongan politik yang kini kian pudar, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyifatkan perisatiwa tersebut mirip "peristiwa yang bersifat perkauman pada tahun 1987 yang bermula dari pertembungan antara Perdana Menteri yang pada waktu itu merupakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin MCA yang diketuai Datuk Lee Kim Sai".

Pertembungan tersebut, kata beliau, akhirnya mencetuskan kemarahan antara satu sama lain di kalangan orang-orang Melayu dan Cina yang merupakan dua kaum terbesar di negara ini.

"Akhirnya pemimpin pembangkang yang dikambinghitamkan dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di dalam Operasi Lalang sedangkan Najib dan Lee diberi cuti rehat ke Australia dan Umno berjaya mendapat kembali sokongan orang-orang Melayu dan MCA pula mendapat kembali sokongan orang-orang Cina," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang turut ditahan tanpa alasan di bawah operasi tersebut.

Mahfuz menegaskan, PAS mengutuk sekeras-kerasnya kejadian yang menimpa gereja-gereja yang diserang dengan bom petrol itu.

"Tindakkan tersebut bukan sahaja berlawanan dengan Islam malah ia adalah tindakan yang tidak bertamadun," tegasnya lagi.

"Islam sangat mengambil berat soal hak-hak rumah ibadat hatta dalam peperangan sekali pun Islam menjamin keselamatan rumah ibadat agama lain," katanya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Hanya yang merasa dilindungi berani bakar gereja

Pihak yang merasa diri mereka tidak dilindungi tidak berani membakar dan menceroboh beberapa gereja di Lembah Klang semalam, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

"Saya percaya, hanya mereka yang merasa dilindungi yang berani berbuat demikian," katanya sambil merujuk serangan-serangan sedemikian ke atas pejabat-pejabat parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) dan rumah para pemimpin parti-parti tersebut.

Beliau juga mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang disifatkannya memberi kata-kata pembakar semangat kepada mereka yang memilih cara yang provokatif dalam menangani isu antara kaum dan agama yang sangat sensitif.

"Umpamanya, kalau si ayah kata anaknya tidak boleh dihalang apabila si anak hendak memilih provokasi terhadap jiran, tentulah anaknya fikir bakar rumah jiran pun si ayah tak akan halang," katanya.

Mengenai apa yang disifatkannya sebagai kata-kata pembakar semangat itu, Mohamad merujuk berita Bernama yang melaporkan bahawa Najib berkata, kerajaan tidak akan menghalang para penunjuk perasaan jika mereka mahu berhimpun di sekitar kawasan masjid selagi ia di dalam lingkungan batas kawasan itu.

Utusan Malaysia pula melaporkan Najib berkata, mereka yang hendak berhimpun membantah penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan agama lain "tidak boleh dihalang untuk berhimpun asalkan di dalam pagar masjid".

Bernama juga melaporkan Hishammuddin berkata, kerajaan tidak menghalangrakyat untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald ketika diminta mengulas mengenai rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam.

"Sepatutnya mereka mencari jalan meredakan suasana tegang memandangkan Mahkamah Tinggi telah menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Herald itu," kata Mohamad.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Allah untuk semua!




Saya amat insaf isu penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut Katolik Kristian di negara ini bakal menimbulkan pelbagai reaksi buruk seandainya penganut Islam dan penganut agama lain khususnya Kristian gagal mengawal emosi dan tidak faham isunya yang sebenar.

Perasan tersebut menghantui penulis, selaku ahli Lujnah Politik PAS Pusat ketika melangkah masuk ke dewan mesyuarat, Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada malam Isnin, 4 Januari 2010. Silap haribulan, dalam PAS pun boleh berlaku kebrentakan.

Bermain di minda penulis adalah kesan impak dan senario, akan akibat keputusan yang bakal diambil. Berlatarbelakangkan demografi negara atau kependudukan dan pengundi yang bersifat 60-40 atau "Mixed", kesan "senjata dua mata" atau "double-edged sword" ini tidak dapat dielakkan. Ada yang suka dan menyokong dan tentunya ada yang akan kecewa dan marah.

Namun, penulis berazam dan mahukan keputusan yang bakal dicapai adalah satu yang dirumuskan dengan segala pertanggungjawabannya. Ya betul perhitungan politik yang bijak dan waras itu penting, tetapi dasar yang berdasarkan hujjah dan sandaran Al-Quran mesti jelas dan teguh dahulu.

Penulis benar-benar menarik nafas lega dengan keputusan. Keputusan lujnah telah pun diumumkan dan tentunya penulis tak boleh menceritakan apa yang yang berlaku di sebalik dewan tertutup itu untuk hampir tiga jam. Berikut adalah penulisan secara ilmiah sebagai perkongsian untuk tatapan umum.

Kerana kekangan ruang, isu ini wajar dilihat penulis dari 2 aspek penting.
i. Perspektif Al-Quran atau Hukum dan
ii. Perspektif Pentadbiran atau Perundangan dan kalau sisi pandang PAS apa yang dikatakan sebagai perkiraan Siasah Syariah atau Siasah dari kacamata Syariah atau tegasnya kesan baikburuk mengikut pandangan Syariah.

Isu ini timbul kerana pengharaman yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penerbitan mingguan Herald Katolik yang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya dalam Bahasa Malaysia. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa KDN salah dalam pengharaman itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Saya cuba huraikan kemudian secara ringkas.

Untuk pengetahuan umum, penganut agama Kristian Katolik di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah "Allah" sejak 150 tahun lalu. Kalimah Allah juga digunakan oleh penganut-penganut Sikh Gudwara. Dalam konteks negara timur tengah dan negara umat Islam lain, penggunaan nama "Allah" oleh penganut lain, tidak menimbulkan masalah sejak berzaman.

Persoalan penting yang ummat Islam di negara ini perlu faham ialah, Apakah Al-Quran mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut selain Ummat Islam? Dan apa pula pendirian ulama-ulama besar terkini atau kontemporari terhadap isu ini, khususnya dalam konteks Islam dalam dunia kini?

Jawapan ini penting dan dapat mengelakkan isu ini dipolitikkan bahkan diekspolitasi sehingga mengeruhkan suasana perhubungan baik antara-agama dan antara-budaya.

Para Ulama kerap merujuk kepada beberapa ayat di dalam Al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT sendiri mengiktiraf, bahawa orang-orang muskrik (yang menyembah berhala) pun mengakui bahawa Allah adalah Rabb atau Tuhan yang Mencipta atau Al-Khaliq. Bermakna mereka menerima Tuhan Yang Menjadikan Semesta Alam ini (Tauhid Rububiyah). Islam secara lengkapnya dalam bab Keimanan atau Aqidah Tauhid menerima Allah selaku Pencipta (Rububiyah) dan Pentadbir/Pemberi Hukum (Uluhiyah).

Contohnya ayat dalam Surah Luqman ayat 25 : "Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?", Tentu mereka akan jawab "Allah". Katakanlah "Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui".

Tegasnya mereka mengiktiraf Allah tetapi hanya dari sifat "Rububiyah"(Pencipta) dan tidak selengkapnya termasuk Allah selaku Yang Mentadbir dan Memberi Hukum (Tauhid Rububiyah).

Saya merujuk kepada pandangan dua tokoh besar ulama terkini, Sheikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H. Kedua-dua berpandangan bahawa penggunaan nama "Allah" adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism.

Kedua-dua berpandangan bahawa ia adalah baik untuk menjalinkan kesatuan dan perpaduan di peringkat "persaudaraan agama samawiyat", paling tidaknya. Mereka tidak mengambil sikap sempit macam sesetengah orang Islam di negara ini, bahawa Allah hanya untuk orang Islam secara eksklusif dan penganut lain tak boleh guna nama Allah atau macam suruh cari Tuhan lain pulak. Berapa banyak Tuhan yang ada? Bukankah Islam menganjurkan semua ummat manusia mengiktiraf Tuhan itu Esa atau Satu.

Perhatikan ayat di seterusnya ini. Allah sebutkan dalam Al-Quran: "....kami beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu, satu dan hanya kepadanya kami berserah diri".....Surah Al-Angkabut:46.

Bukankah lebih baik, mengikut logik akal waras, di samping hujah dari al-Quran dan kata Ulama tadi, supaya kita galakkan mereka juga menerima "Allah", walaupun Tauhid dan Aqidah mereka tak sempurna macam kita. Memanglah, itulah sebabnya mereka Kristian atau Yahudi atau selainnya.

Kalau mereka percaya macam aqidah kita tentang Allah, jadilah mereka orang Islam, bukanlah lagi Kristian dan Yahudi. Namun bolehkah kita paksa Aqidah kita itu kepada mereka? Tentunya tidak. Tidak ada paksaan dalam Islam.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Pakatan kutuk serangan ke atas gereja

Pakatan Rakyat mengutuk keras tindakan pihak-pihak tertentu yang menyerang tiga gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi.

Demikian kenyataan pemimpin tertinggi Pakatan yang dikeluarkan petang ini. Kenyataan itu ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Pakatan.

KENYATAAN AKHBAR PIMPINAN TERTINGGI PAKATAN RAKYAT

8 JANUARI 2010

Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.

Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Penggunaan kalimah “ALLAH”


Penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja katholik mengguna-pakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan ALLAH adalah sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan ALLAH tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama ?. Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu di fahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab ?. Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini ?. Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat islam di serata dunia yang terdiri dari berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah di sebut oleh orang arab atau pengguna bahasa arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut yahudi, kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

61. Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Muslimat PAS kutuk serangan gereja

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengutuk perbuatan menyerang dua buah gereja iaitu Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya.

Ketua Penerangannya, Salbiah Abdul Wahab dalam satu kenyataan berkata, DMPP yakin perbuatan provokatif itu sengaja dirancang pihak tertentu untuk mewujudkan kekecohan di kalangan masyarakat .

"DMPP juga bersimpati dengan apa yang terjadi, kerana kejadian merobohkan masjid dan surau oleh pihak berkuasa telah dialami sedikit masa dahulu. Perbuatan provokatif kali ini pula sengaja dirancang bagi menimbulkan kekecohan dan rasa tidak aman di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.,"katanya.

Sikap seperti ini juga tegas DMPP menyalahi prinsip Islam dan bercanggah dengan perlembagan Negara yang mengamalkan kebebasan beragama dan Islam sebagai agama rasmi.

"Perbuatan ini sama-sekali menyalahi prinsip Islam dan tidak mencerminkan kesucian Islam. Kerana Islam menjamin kesejahteraan ummah dan menghormati penganut agama lain.,"katanya lagi.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Anwar mohon tuntutan qazaf tidak dilengahkan lagi


Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini pagi ini untuk mendapat perintah terhadap Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan (KPS) supaya menggunakan kuasanya bagi mendakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan di atas kesalahan jenayah qazaf.

Selain Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsudin Husin yang dinamakan sebagai responden pertama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Che Mat Che Min dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal Agama Islam, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom dinamakan sebagai responden kedua dan ketiga.

“Permohonan saya adalah untuk mendapat suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap KPS supaya menggunakan kuasanya bagi mendakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan di atas kesalahan jenayah qazaf di bawah Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997,” ujarnya dalam kenyataan media selepas memfailkan permohonan itu dan berharap tuntutan qazaf itu tidak dilengahkan lagi.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu juga memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Pengarah Jawi dan menteri tersebut supaya tidak menghalang dan/atau mempengaruhi KPS daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap Mohd Saiful.

Menurutnya, permohonan itu adalah lanjutan daripada qazaf beliau bertarikh 9 Julai 2008 kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan Jawi terhadap Mohd Saiful yang telah membuat suatu pengataan palsu bahawasanya beliau telah melakukan perbuatan liwat ke atas Saiful pada 26 Jun 2008.

“Saya telah disiasat sebanyak dua kali dan saya telah menyerahkan kepada Jawi kesemua bukti-bukti, di antaranya laporan polis, Sumpah Laknat Saiful, laporan perubatan dan senarai saksi-saksi yang bersama saya pada waktu kejadian.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Gubal undang-undang cegah murtad jika benar Umno sayang Allah

Jika para pemimpin Umno benar-benar sayangkan Allah, mereka hendaklah menggubal undang-undang mencegah murtad untuk diluluskan oleh Parlimen, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

"Dalam Dewan Rakyat kini terdapat 132 Ahli Parlimen yang beragama Islam. Saya yakin, kesemua mereka akan memberikan sokongan padu jika kerajaan yang diterajui Umno membentangkan rang undang-undang mengenai kesalahan murtad.

"Saya juga berharap mereka yang mahu berdemonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain turut mengemukakan tuntutan kepada kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) supaya menggubal undang-undang mencegah murtad," kata beliau ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai demonstrasi tersebut.

Ketika diminta mengulas mengenai rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain, Hishammuddin berkata, kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah Herald-The Catholic Weekly.

"Oleh kerana kerajaan tidak menghalang demonstrasi tersebut dan tidak ada operasi seperti Operasi Lallang 1987 di mana saya dan rakan-rakan lain tidak fasal-fasal menjadi mangsa, tentulah kerajaan juga tidak menghalang mereka yang berdemonstrasi itu menuntut penggubalan undang-undang mencegah murtad," kata Mohamad.

PAS, kata beliau, bukan sahaja dizalimi ketika demonstrasi dan majlis-majlis ceramah, malah tidak dibenarkan membentang usul mengenai murtad atau rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad di Parlimen.

Menurut beliau, pada 25 Mac 1988, Presiden PAS kini, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Kemalangan: Nizar ditahan di Hospital Raja Perempuan Bainun



IPOH: Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sedang ditahan di Wad 8C Hospital Raja Perempuan Bainun setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya di hadapan Hotel Cassuarina, di sini pagi ini.

Menurut pembantu peribadinya, Amran Harun, semasa kejadian, Nizar yang memandu sendiri cuba mengelak sebuah kereta yang keluar dari simpang dan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

Katanya, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu hanya mengalami luka-luka di bahagian siku kanan walaupun kenderaannya rosak teruk.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Agenda jatuhkan imej kerajaan Kelantan


oleh WAN NIK WAN YUSSOF

Keratan akhbar yang saya lampirkan adalah contoh jelas, betapa sekarang ini telah berjalannya agenda halus dan tersirat yang ditaja oleh pihak tertentu.

Ia bertujuan untuk menjatuhkan imej dan memudarkan keyakinan rakyat Kelantan dan warganegara amnya terhadap kredibeliti Tok Guru Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar Kelantan.

Sudahlah sebelum ini, berlakunya tindakan dari dalam untuk mencelarukan Kerajaan Negeri melalui pelbagai report, saman dan penulisan tidak bertanggungjawab dalam akhbar dan blog.

Kesemua itu ada hubungkait dengan perancangan agenda setting pihak tertentu untuk memberi keredit mahupun political mileage kepada UMNO Kelantan untuk bengah memanipulasikan isu dan perkembangan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Tok Guru.

Selain laporan kepada SPRM, terbaru pula sebuah akhbar mainstream (Utusan Malaysia, 6 Januari 2010) turut menyiarkan rencana wartawannya sendiri (di sebelah) yang jelas cuba memanipulasikan perkembangan kesihatan Tuanku Al-Sultan Kelantan ke kancah pentadbiran Kerajaan Negeri.

Begitu pula, pada hari sama Sinar Harian (6 Januari 2010) turut melaporkan tindakan seorang peniaga yang membuat report polis berhubung dengan isu yang diputar oleh Utusan Malaysia itu (di sebelah).

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Seleweng Konsesi Balak: Tubuh Suruhanjaya Siasatan

Kenyataan Dewan Pemuda PAS Perak

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengalu-alukan hasrat ikhlas Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menyiasat dan mendedahkan kepada rakyat isu penyelewengan pengagihan konsesi balak yang telah ditimbulkan oleh Kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) bagi tujuan memburukkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

DPPN Pk amat bersetuju jika benar Datuk Seri Zambry telus di dalam isu ini, DPPN Pk mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Bebas ditubuhkan bagi menyiasat isu penyelewengan pengagihan konsesi balak dari 50 tahun dahulu sehingga sekarang bagi kerajaan yang telah memerintah supaya rakyat boleh bernilai keadaan sebenarnya. DPPN Pk mencabar Datuk Seri Zambry untuk membuka siasatan terbuka sepanjang 50 tahun Kerajaan Negeri Perak yang telah di tadbir oleh UMNO/ BN.

DPPN Pk melihat semasa perbentangan bajet 2009 oleh Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin yang menyatakan Kerajaan Negeri PR telah menjana hasil sebanyak RM40 juta berbanding hanya RM17 juta yang dikutip oleh Kerajaan Negeri BN sebelum ini. Ini kerana Kerajaan Negeri PR telah melaksanakan sistem tender kawasan balak dengan telus

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Lapor SPRM: Usaha terancang bermotif politik– Nik Amar

Kerajaan negeri menyedari ada usaha terancang bermotif politik dilakukan pihak tertentu bagi menggugatkan kerajaan negeri.

Antaranya mengadakan demontrasi, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis bertujuan mencemarkan imej Kelantan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, jika dinilai dari sudut politik segala tindak tanduk mereka bertujuan politik semata-mata.

“Jika seorang menerima dokumen mengenai dakwaan penyelewengan yang diposkan ke rumahnya, ini sudah memperlihatkan ada agenda politik di situ,” katanya kepada pemberita selepas program masakan asyura di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang aktivis kebudayaan membuat laporan kepada SPRM mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beberapa individu lain.

Mohd Amar berkata, dakwaan seperti itu biasa didengari, namun apakah dia ada asas dan bukti yang kukuh sehingga sanggup membuat laporan kepada SPRM.

“Aduan atau dakwaan seperti ini seolah-olah seperti ada suatu perancangan politik untuk mengganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri,”ujarnya.



untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: PAS seru ahli sertai bantah Mesir esok, bukan demo lain

PAS mengingatkan seluruh ahlinya agar tidak terlibat dalam mana-mana demonstrasi berhubung penggunaan kalimah Allah yang dianjurkan pihak tertentu di masjid-masjid atau di mana-mana tempat selepas solat Jumaat esok.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, penganjuran demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah esok, bukan pendirian PAS namun yakin ianya adalah perancangan pihak tertentu khususnya Umno.

"Kita menyeru seluruh ahli PAS agar tidak terheret sama dalam demonstrasi yang didalangi Umno itu," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

PAS, jelasnya telah membuat pendirian jelas berhubung perkara itu melalui kenyataan Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas menyuarat khas lajnah politik parti itu, Isnin lalu.

Selain itu, katanya PAS telah membuat keputusan untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan zalim kerajaan Mesir yang telah menghalang kemasukan pasukan konvoi Viva Palestina ke Gaza.

Sehubungan itu, semua ahli PAS diminta turun ke perhimpunan aman tersebut di hadapan bangunan Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat esok dan bukannya menyertai demonstrasi berhubung penggunaan kalimah Allah.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Umno raih simpati rakyat isu 'Allah'


Mengapa pemimpin Umno menjadi kelam kabut dengan isu penggunaan nama Allah oleh Herald, sedangkan dalam masa yang sama mereka memisahkan agama dan politik.

Persoalan tersebut dilontar Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat setelah melihat Umno tiba-tiba nampak serius dengan isu tersebut.

“Tahukah mereka pengertian nama Allah itu sendiri sedangkan pegangan pemimpin Umno memisahkan agama dan politik.

"Mereka sanjung perkataan Allah swt tak boleh guna sembarangan, tetapi dalam pada yang sama mereka menyebut agama lain dan politik lain,” katanya pada ceramah isu semasa di Medan Ilmu malam tadi.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Ketua Penerangan, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan nama Allah dalam penerbitan Herald ‘The Catholic Weekly’.

Ekoran itu Kementerian Dalam Negeri memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, pemimpin Umno sebenarnya ada agenda di sebalik isu tersebut bagi meraihkan sokongan daripada rakyat.
”Kalau mereka mengatakan agama lain, politik lain, maka siapa yang menjaga politik semasa Nabi saw masih hidup dahulu,” katanya.

untuk berita lanjut, sila klik disini

Harakah Online Preview: Siar artikel Teoh dibunuh, polis siasat pengarang Suara Keadilan


Akibat melaporkan 'Pornthip sahkan Beck Hock dibunuh', Pengarang bagi akhbar Suara Keadilan (SK) Dzulkarnain Taib petang tadi disoalsiasat oleh polis di IPD Shah Alam.

Beliau yang ditemui kemudian, mengaku tidak bersalah ketika ditanya wartawan berhubung penulisannya itu.

Ekoran siasatan polis, beliau turut menjelaskan bahawa tulisannya itu tidak memberi sebarang kesulitan kepadanya.

Tambahnya lagi, tanggungjawab melaporkan berita sensitif berkaitan mendiang Teoh Beng Hock yang dijumpai mati di depan Plaza Masalan yang menempatkan pejabat SPR merupakan tugasan asas wartawan demi kepentingan awam.

(Gambar: Dzulkarnain (tengah) bersama peguamnya selepas memberikan keterangan kepada polis di IPD Shah Alam)


"Saya hanya buat kerja saya sebagai wartawan," jelas beliau menjawab soalan wartawan.

"Peranan media tidak boleh dipisahkan dari membincangkan apa-apa isu demi kepentingan awam secara umumnya."

Beliau juga enggan mengulas lanjut tentang artikel tersebut, kerana bimbang mengganggu siasatan polis.

"Seperti mana yang saudara bacalah, saya tidak mahu komen lanjut sebelum ini," jelasnya.

Bercakap pada sidang media yang sama, peguam bagi Dzulkarnain, Sanjit Singh berkata:

untuk berita lanjut, sila klik disini