Wahai ustaz-ustaz PAS sekalian,
Diharap ustaz-ustaz dapat membantu saya dalam mencari jawapan-jawapan terhadap beberapa kebuntuan dan persoalan saya mengenai agama Islam dan juga isu hangat yang sedang dibincangkan sekarang mengenai kalimah Allah.
Untuk makluman ustaz-ustaz, saya pernah membaca buku al-Quran demi memahami intipati saranan ajaran Islam yang dipeluk oleh beribu juta manusia ciptaan Tuhan (Bolehkah saya menggunakan perkataan Allah di sini?). Walaupun pernah membacanya, masih ada banyak perkara yang saya tidak faham mengenai ajaran Islam; mungkin sebab itulah sehingga kini saya tetap tergolong dalam kategori seorang yang kafir.
Soalan 1: Perkara-perkara haram.
Mengapa umat Islam mempunyai perasaan berbeza terhadap perkara-perkara dan benda-benda yang dikelaskan sebagai haram di dalam ajaran Islam? Umpamanya – mengapa umat Islam lebih senang merasa jijik dan mempunyai ketahanan diri yang jauh lebih tinggi terhadap binatang haram seperti khinzir daripada perkara-perkara seperti rasuah, berjudi, berminum arak dan berzina sedangkan perkara-perkara ini sama haramnya di sisi agama Islam?
Adakah fenomena ini berlaku disebabkan budaya kita yang suka untuk membezakan bangsa atau kesilapan proses pengajaran dan penghayatan terhadap agama Islam itu sendiri? Bagaimana ustaz-ustaz sekalian boleh memperbetulkan keadaan ini supaya umat-umat Islam boleh menjauhkan diri dan merasa jijik terhadap benda-benda haram secara sama rata tanpa ada tafsiran tersendiri?
Soalan 2: Persoalan mengenai khutbah.
Di sini saya ingin memberikan satu senario untuk dibahaskan bersama ustaz-ustaz sekalian. Setahu saya, ramai ustaz yang memberikan ceramah agama di masjid-masjid. Persoalan pertama saya, adakah ustaz-ustaz menyediakan khutbah-khutbah itu sendiri ataupun khutbah ini telah disediakan oleh orang lain untuk dibaca ustaz-ustaz sekalian sahaja?
Andai kata jikalau khutbah yang disediakan (sama ada sendiri ataupun orang lain) itu bermasalah dan mempunyai unsur menyeleweng daripada agama Islam, apakah hukum dan tahap dosanya terhadap ustaz-ustaz yang masih sanggup membacanya kepada para hadirin solat sekalian kerana takut dikenakan hukuman manusia seperti penarik-balikan sijil tauliah mereka?
Jika benar perkara di atas berlaku, apakah yang perlu dilakukan oleh ustaz-ustaz untuk mengatasi masalah di atas dalam membendung terlahirnya lebih banyak umat Islam yang berfikiran sempit di dunia ini?
Soalan 3: Kalimah Allah dan nama baik Islam.
Pada pendapat saya, sebuah negara yang majoritinya Muslim perlu sentiasa kelihatan bersih, amanah, cekap dan berintegriti di mata rakyat dan juga dunia. Sebarang kecalaran pada imej negara tersebut akibat amalan rasuah yang berleluasa, kroniisme, nepotisme dan tidak menghormati undang-undang patut dilihat sebagai satu penghinaan besar terhadap nama baik Islam. Sedihnya, sehingga kini tidak banyak pertubuhan gerakan Islam (selain PAS) menggerakkan jentera untuk membantah atau memboikot parti pemimpin yang merosakkan nama baik Islam.
untuk berita lanjut, sila klik disini





0 comments:
Post a Comment